Daily Calendar

Jumaat, 29 Ogos 2014

NOVEL 2 - PELANGI SELEPAS HUJAN -BAB- WARTAWAN MENYAMAR KERJA KELAB

NOVEL 2 - PELANGI SELEPAS HUJAN

Bab 1

Dua kali diasak ajakan teman yang bekerja di sebuah kelab eksklusif di ibu kota, akhirnya Zulia bersetuju dengan syarat keselamatan dan identiti dipelihara. Wati nampaknya tidak main-main menerima permintaan Zulia untuk melalui dan merasai sendiri beberapa hari pekerjaan sepertinya.


Ya, beberapa minggu lalu sewaktu bertemu gadis Sabah berkulit sawo matang itu, Zulia secara berseloroh mengutarakan cadangan kepadanya. Tidak sangka, Wati mengaturkan sesuatu untuk Zulia bersama pengurus kelab yang juga rakan baiknya. Pelayan hidmat pelanggan atau lebih dikenali sebagai GRO??? Biar betul??? Zulia seorang wartawan. Mana mungkin Zulia mampu menyamar menjadi pekerja di bidang itu. Bagaimana jika ada pelanggan yang mahu lebih? Bagaimana jika Zulia terperangkap? Kalau wartawan menyamar pelanggan, itu biasa, tapi wartawan menyamar GRO, itu luar biasa!


Zulia masih mengurut dada. Zulia takut. Tapi Wati memberikan jaminan. Zulia dimintanya bertemu dahulu dengan pengurusnya. Tiba pada jam 12.30 malam pada hari Jumaat malam Sabtu, Zulia diperkenalkan dengan James. Lelaki berbangsa China itu telah berkhidmat hampir 13 tahun. Penampilannya segak, tidak seperti kebanyakan pengurus atau bouncer-bouncer kelab malam lain yang boleh dilihat di beberapa kelab sekitar Kuala Lumpur. Ada yang kelihatan bengis dan berbadan gempal tanpa senyuman.


Degupan jantung yang maha hebat tidak pernah berhenti walau sesaat. Aduhai... takut benar bila berada dalam dimensi baru melibatkan golongan-golongan kelab malam dan bouncer. Mungkin sekali sesiapapun yang berselisih dengan mereka bertiga adalah ketua kongsi gelap yang mempunyai pistol atau bom di pinggang. Mungkin juga mereka handal bermain pisau dan pedang seperti dipertontonkan dalam filem-filem.


Ya, sepanjang penyamaran Zulia kerap hayal dan bermonolog dalam hati. Meski pun diberikan pekerjaan sebagai pembantu kaunter yang bertugas sebagai penunjuk bilik karaoke kepada tetamu yang datang, kehidupan dari sisi gelap pelayan wanita yang bekerja di kelab itu masih dapat Zulia hidu.


Peluh suam merenik di dahi dan bahu meski pun kedinginan aircond masih terasa. Zulia panas, rimas dan berasa sesak dengan asap rokok, ditambah bunyi bingit dari celah-celah bilik karaoke kelab eksklusif dua tingkat itu.


“Ti, kalau ada yang raba aku, siap kau!” Zulia memberikan amaran. Sakit hati apabila Wati respons dengan ketawa kecil.


“Kau kategori lain. Bawa tetamu ke bilik karaoke. Ambil pesanan dan hantar. Itu saja. Kalau kena raba, kau ketuklah kepala customer. Itu pun kalau tak nak kena buang kerja hari pertama!” dan Wati ketawa lagi. Zulia tahu, Wati yakin Zulia tidak akan mendapat layanan seperti itu.


Ya, nasib Zulia baik apabila James hanya mencadangkan Zulia sebagai pembantu kaunter. Jika tidak, Zulia khuatir tidak dapat menjaga tingkah laku dengan baik; kerana kemampuan Zulia menangkis serangan tangan-tangan gatal ketika melatah, amat hebat!


Malam itu Zulia lihat sendiri cara kerja Wati dan kawan-kawannya. Kebanyakan berbangsa Melayu dan Vietnam. Ternyata untuk kelab eksklusif seperti ini, wanita Melayu mendapat rating utama. Mungkin kerana gaya berpakaian yang lebih daring dan manja, serta kelebihan berbahasa Inggeris, mereka disenangi. Pelanggan terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ini berdasarkan pemerhatian zULIA melalui kepelbagaian warna kulit, bangsa dan warganegara berdasarkan lenggok bahasa.


Rakan-rakan sekerja Wati masih belum mesra dengan Zulia. James hanya memperkenalkan Zulia sebagai gadis part time di kelab karaoke itu. Selain Zulia, ada beberapa lagi gadis Melayu yang membuat kerja sambilan di situ seperti Zulia. Ada di bahagian bar, ada juga yang memilih menjadi pelayan seperti Wati.


Setiap kali keluar dari bilik karaoke, Wati mengenyitkan mata sambil menayangkan tips pelbagai mata wang ke arah Zulia. Zulia mencebik.


“Tak semua kerja kelab melibatkan seks. Macam di sini. Ia memang kelab eksklusif. Tapi kami ada bahagian tertentu. Di tingkat ini, bahagian karaoke. Tingkat atas, kelab. Sana lebih bingit. Aku pernah naik tingkat atas. Kerja jadi perempuan kelab. Macam biasalah, jadi pelacur. Tapi lepas tu tak suka kerja sana. Aku tukar sini. Lebih santai dan tak tertekan.



“Pelanggan pilih pakej karaoke berdasarkan bilik dan jika pakej yang mereka pilih ada menyediakan pelayan wanita, aku akan masuk. Kerja aku, menyanyi, dengar mereka menyanyi. Duduk tepi pelanggan. Hidangkan air. Berikan air. Kalau mereka nak lebih, boleh runding dengan pelayan lain. Aku tak tawar khidmat seks. Pengurus pun tahu.” Cerita Wati di waktu sengkang.



“Baguslah. Tapi, tak takut ke kalau-kalau kau terperangkap dan dijadikan mangsa pemerdagangan orang. Maksudnya, dihantar ke negara lain? Jadi pelacur?.” Soal Zulia. Kali ini lebih terperinci.

“Hish. Di sini tak ada. Sini pekerja bebas keluar masuk. Nak kerja, kerja. Tak nak kerja, berhenti. Yang berhenti dan kerja semula pun ramai. Sebab itu aku berani ajak kau datang di sini. Biar kau tengok sendiri.” Jawab Wati selamba. Esoknya, dia berjanji perkenalkan Zulia dengan rakan sekerjanya yang memberikan khidmat seks selepas waktu bekerja.

BAB

Ahad. 12.30 malam. Tidak ada waktu kerja yang spesifik untuk Zulia dan Wati memandangkan James tahu tujuan sebenar Zulia mengikuti Wati ke kelab itu. Dia hanya senyum menyambut kedatangan Zulia, tapi segera berbisik dan mengingatkan Zulia agar tidak terlalu menonjolkan diri.

James kata, kadangkala sifat kewartawanan Zulia agak terserlah kerana biasanya pekerja baru lebih-lebih lagi pekerja sambilan, tidak banyak bertanya. Dia bimbang kalau-kalau Zulia tersilap dan orang yang ditanya mengesyaki sesuatu. Pasti dia menjadi sasaran dan Zulia pula akan terima sesuatu yang lebih buruk. "Dunia gelap, siapa boleh menduga bukan?" Kata James. Zulia mengangguk perlahan.

Rose (bukan nama sebenar) duduk bersimpuh di deretan kerusi yang dikhaskan untuk pelayan. Rambut ikal mayangnya diwarnakan dengan warna perang. Rose mengenakan gincu merah terang, menyerlahkan lagi wajah putih mulus miliknya. Solekan alis mata disapu tebal dengan warna pekat hitam. Pandangannya menikam. Rose agak sombong pada awalnya, tapi selepas dibisikkan sesuatu oleh Wati, dia sudi bersuara.

“Dah empat tahun saya kerja di sini. Sejak saya menjanda. Bekas suami, berjawatan besar di jabatan kerajaan. Tapi tak pernah fikir soal nafkah anak. Saya pilih jalan ini. Lucunya, bekas suami tahu dan pernah jadi pelanggan di sini.” Luah Rose seakan telah lama memendam dan menanti masa untuk meluahkan.

“Saya sakit hati dengan dia. Sebab itu saya kerja kelab. Lagi pun saya perlu banyak duit. Sewa rumah, insurans anak-anak, sekolah, bil perubatan dan banyak lagi. Saya penat tanggung seorang. Sebelum pilih kerja kelab, saya meniaga di rumah. Tapi tak banyak membantu.” Kata janda tiga anak ini.

Skirt paras peha dengan padanan t shirt putih ketat berlengan sendat, menampakkan lagi kecantikan Rose meski pun bertubuh agak berisi. Senang cakap, bodynya mantap. Boot hitam separas lututnya juga menarik perhatian Zulia. Lupakan soal pakaian. Semua perempuan GRO telah terbiasa membuat ‘self grooming’ untuk meraih perhatian pelanggan. Kalau dah namanya perempuan, wajah tidak secantik mana pun jika dikenakan make up, pasti cantik juga Eh! Tutup cerita Rose. Dia banyak merintih mengenai kejahatan suaminya.

Jam 3.30 pagi. Isnin. Wati membawa Zulia ke sebuah kelab di Klang. Kata Wati, pemiliknya Melayu. Kelab ini mempunyai sebuah lagi cawangan dengan menggunakan nama yang hampir sama, juga terletak berdekatan. Ia bersaiz sederhana dengan di hadapannya tersergam sebuah restoran, dipercayai untuk menutupi kegiatan kelab, juga mengaburi pihak berkuasa.

Di sebelah restoran, ada tangga kecil menghala ke tingkat atas, juga dikatakan letaknya bilik-bilik karaoke dan sebuah hotel. Premis hotel itu pula tidak diketahui sama ada milik orang yang sama, atau individu lain yang merasakan relevan membuka perniagaan berdekatan kelab malam itu.

Melangkah ke dalamnya, konsep kelab agak santai dengan ruang terbuka di tengah-tengah. Beberapa tiang di kiri dan kanan kelab merupakan tempat terletaknya deretan sofa-sofa empuk untuk pelanggan bersantai bersama-sama GRO.

Di hujung sudut, ada pentas kecil KIRA-kira setinggi dua kaki untuk band jemputan membuat persembahan nyanyian dan tarian ala eksotik. Selain penyanyi band, pengunjung juga dijemput hadir untuk menyampaikan lagu. Ada yang sumbang, ada yang bagus suaranya. Rata-rata pelanggan saya lihat berumur lebih 40-an atau lewat 30-an. Mereka segak. Ada kerja bagus barangkali.

Atau mungkin juga pelanggan di sana dalam kalangan navi (tentera laut) dari negara seberang atau negara lain yang berlabuh di Pelabuhan Klang. Ternyata, telahan Zulia mengena. Suzi, rakan Wati mengiakannya. Pelanggan tetapnya juga seorang tentera.

Suzi duduk di sebelah Zulia sambil menghidangkan segelas coke. Zulia menggelengkan kepala sambil tersenyum, sebagai tanda menolak lembut coke yang dihulurkannya. Berdekatan kami, ada kaunter deejay dan speaker yang membingitkan.

“Sini ramai GRO Indonesia. Persaingan sengit. Bergaduh sesama GRO kerana rebutkan pelanggan itu biasa. Tapi sebab owner Melayu, tak berkira soal duit, saya fikir banyak kali nak berhenti.” Suzi memulakan bicara. Dia janda anak empat. Tapi lebih kurus berbanding Rose dan Wati.
Ironinya, ketika masih bersuami, Suzi sememangnya bekerja sebagai GRO. Suami pula bekas bouncer kelab tersebut.

“Dulu masa bekas suami kerja sini, selamat sikit. Tapi bila saya bercerai dan suami kerja di kelab lain saya kena lebih hati-hati. GRO Indonesia ada yang pakai ilmu. Tak tahulah nak cakap macam mana tapi dalam dunia kelab malam ni macam-macam boleh berlakukan?.

“Saya pernah menari bogel belakang kaunter deejay. Masa tu saya tak sedar apa saya buat. Yang saya tahu saya memang kepanasan. Saya buka baju seluar. Menari sambil menangis. Nasib baik kawan-kawan nampak. Mereka tangkap saya bawa ke bilik air belakang premis. Jirus air dan pegang saya sampai pitam. Lepas tu bawa balik. Esoknya baru saya tahu, ada yang letak ‘ice’ (syabu) dalam coke saya.” Cerita Suzi.
-tamat-


Tiada ulasan: