Rabu, 25 November 2015

Habuan RM73,000 buat Johan Futsal Piala Tengku Mahkota Pahang

http://www.sinarharian.com.my/ultras/habuan-rm73-000-rebut-piala-tengku-mahkota-pahang-1.454100








SEBANYAK 84 pasukan mewakili Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang bakal berentap dalam Kejohanan Futsal Piala Tertutup Negeri Pahang bagi merebut piala pusingan bernilai RM53,000 serta tunai RM20,000.
Kejohanan yang dijalankan bersempena bulan keputeraan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, iaitu Julai telah dibuka penyertaannya kepada seluruh Dun Negeri Pahang sejak 7 November lalu.
Majlis perasmian kejohanan tersebut yang dijalankan di Hotel MS Garden Kuantan telah disempurnakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman, Datuk Johari Hussain mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri DiRaja Adnan Yaacob.
Johari, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pahang berkata, setiap Dun dibenarkan menghantar dua kumpulan masing-masing bagi merebut piala pusingan yang mana acara kemuncak akan diadakan pada bulan Julai tahun hadapan.
“Walau bagaimana pun kejohanan tetap dibuka kepada institusi pengajian tinggi dan jabatan kerajaan untuk menghantar pasukan terbaik masing-masing bagi bertanding di kejohanan ini.
“Kita menjangkakan penyertaan akan melebihi 84 pasukan yang mewakili 42 Dun tersebut, sebelum tarikh tutup, Jun tahun depan,” katanya pada sidang media.

Usaha sama kerajaan Pahang
Menurut Johari, kejohanan yang dibuka bagi kategori lelaki berumur 25 tahun ke atas ini merupakan usaha sama erat antara kerajaan Negeri Pahang menerusi Jabatan Belia dan Sukan Pahang, di bawah perkenan istana bersama Persatuan Peniaga Melayu Bersatu Pahang, selaku penganjur utama.
“Kerajaan negeri menyambut baik kejohanan ini kerana ia merupakan satu perlawanan berprestij dan kita mengalu-alukan cadangan bagi menambah baik serta penglibatan badan-badan korporat dalam bentuk tajaan.
“Kerajaan negeri menerusi Jabatan Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Pahang akan membantu dari segi kewangan dan perkara-perkara berkaitan serta persediaan padang-padang futsal. Kita mempunyai 163 gelanggang futsal di seluruh mukim dalam negeri Pahang,” katanya.

Erat silaturahim
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Melayu Bersatu Pahang, Rosli Awang berkata, kejohanan futsal ini bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim anak-anak desa menerusi sukan berprestij yang mendapat naungan Tengku Mahkota Pahang.
“Dengan kepimpinan dan penyertaan di semua peringkat Dun persatuan berasa bangga kerana dapat memperluaskan kejohanan futsal ke arah yang lebih tinggi.
“Ranking futsal negara kita sedang ke arah kejohanan dunia. Kategori lelaki kini berada di tempat kelima di Asia manakala di peringkat dunia negara kita berada di tempat ke 56. Itu maklumat yang saya dapat dan ini jelas menunjukkan perjalanan futsal dalam negara kita amat luas dan berprestij.
“Saya harap dengan bantuan kerajaan dan ahli dewan undangan negeri, exco dan ahli korporat akan membantu melancarkan kejohanan ini. Kejohanan akan dilangsungkan di Kuantan bermula 20 hingga 26 Julai 2016 dan satu majlis gilang-gemilang sempena upacara penyampaian hadiah akan dijalankan selepas kejohanan,” katanya