Isnin, 22 September 2014

https://www.facebook.com/pages/Sinar-Harian-Wanita-Oh-Wanita-WOW/653323521366512

Rabu, 17 September 2014

H: Diduakan kerana jelik

H: Diduakan kerana jelik

Pengakuan ini diharapkan menjadi iktibar buat para isteri di luar sana. Untuk pengetahuan rumah tangga saya dan suami sudah retak menanti belah. Saya sudah memfailkan penceraian di mahkamah tetapi prosiding masih berlarutan kerana suami enggan melepaskan saya secara baik.

Hati ini sudah tawar, hati ini sudah jemu... apa salah saya sehingga saya diduakan. Bagi saya, punca keretakan rumah tangga kami amat mudah dan ia boleh selesai jika suami mempunyai sikap terbuka dan berterus-terang terhadap saya, tidaklah sehingga berlaku curang dan menghancurkan hati saya.
Demu Tuhan, saya sayangkannya. Tapi saya sudah lelah menjaganya sepenuh hati dan cinta. Saya isterinya yang amat setia. Para isteri perlu tahu apa yang tersirat di fikiran sesetengah suami dengan mengetahui bagaimana mereka melihat kita isterinya. Di hadapan kita mungkin dia berlagak baik, tapi di belakang kita, ada wanita lain yang lebih menghiburkan hatinya.

Saya tahu kerana saya melaluinya. Suami saya amat baik. Dia lelaki yang boleh dikatakan warak dan mempunyai sikap seorang pemimpin. Tegas dengan anak-anak dan berlembut dengan saya dalam soal rumah tangga. Mudah dibawa berbincang jika bertelagah tetapi sedikit pendiam soal peribadinya.

Dia tidak pernah komplen apa-apa tentang perwatakan saya tetapi jauh di sudut hati, rupa-rupanya dia menilai saya dan membandingkan saya dengan perempuan lain di tempat kerjanya. Bengkak hati saya bila mengetahui suami curang dengan rakan sepejabatnya hampir dua tahun kebelakangan ini.
Saya berumur 29 tahun dan sedikit gempal setelah melahirkan tiga anak, zuriatnya. Dari segi rupa paras, saya bukan dalam kategori tidak cantik tetapi biasa-biasa sahaja. Maklumlah badan berisi kerana anak ada yang masih menyusu badan. Saya bekerja sebagai eksekutif syarikat swasta tetapi sejak mempunyai anak saya sudah kurang bergaya seperti zaman bujang dek kerana kekangan waktu dan ada masa, sudah tak berminat untuk bersolek lagi.
Tambahan pula, wang haru dijaga demi kemaslahatan rumah tangga. Saya sudah tidak boleh suka-suka hati membelanjakan duit ke arah perkara yang kurang penting, seperti alat solek dan wangian. (Ingatlah, sebenarnya kurang penting bagi kita para wanita, tetapi amat penting bagi sesetengah lelaki). Upah menjaga anak-anak, belanja sekolah, insurans dan lain-lain keperluan ditanggung oleh saya. Manakala suami membayar keperluan asas seperti rumah, ansuran kereta, barang dapur dan bil-bil rumah.

Suami saya boleh dikatakan menarik dan berkulit cerah dan saya tahu, pasti ada wanita mudah terpikat dengannya. Namun atas dasar percaya dan setia, saya mengabdikan seluruh hidup untuknya dan anak-anak. Memasak, menyediakan keperluannya untuk ke pejabat, dan menyediakan dan menyiapkan segala keperluan rumah tangga walau pun seharian penat bekerja. Saya pasti ramai perempuan seperti saya.

Saya seorang yang bertudung dan berpakaian biasa-biasa sahaja. Di rumah saya perasan suami bukan jenis yang suka memeluk atau mencium saya pada bila-bila masa. Kami akan bersama pada waktu malam sahaja dan pada waktu dia perlukan saya. Kecewa ini amat dalam bila mengetahui skandal suami berusia lebih tua daripada saya. Suami sering ke rumah wanita itu semasa waktu bekerja. Hubungan mereka telah sampai ke tahap yang terlarang.

Saya ingin tahu kenapa dia menjalinkan hubungan. Apa kekurangan saya yang menjaganya sepenuh hati. Terus-terang, suami mengakui saya tiada kekurangan dan menjaga rumah tangga dengan baik namun, dia tiada rangsangan bila melihat saya.

Saya dilihatnya tidak menarik, memiliki rambut yang berbau busuk saat menanggalkan tudung dan bentuk badan gempal. Sedangkan teman wanitanya kelihatan bergaya, memiliki kuku yang cantik dan tangan yang lembut. Ketika berjalan dengan teman wanita, dia dapat merasakan lelaki lain cemburu kepadanya.

Dia dengan berani memberitahu saya tidak menarik di rumah dan hanya mengenakan baju Tshirt. Tiada apa-apa yang boleh dia banggakan tentang saya. Dengan teman wanitanya, dia merasa seperti lelaki bijak dan berjaya kerana teman wanitanya boleh bersembang soal politik, isu semasa dan kareer sednagkan saya hanya tahu minta perbelanjaan rumah dan bil.

Begitulah hati budi lelaki. Hati saya hancur kerana telah berbakti sebaiknya untuk dia tetapi dia lebih mementingkan fizikal. Kini dia menyesal atas perbuatannya tetapi, saya rela meninggalkan dia dan berharap dia akan bernikah dengan teman wanitanya. Biarlah dia tahu membezakan mana intan mana permata. Apakah fizikal cantik yang boleh membahagiakan dia, atau ketulusan hati dan cinta sebenar yang mampu menjaganya hingga ke akhir hayat.

-          SALMI, 29, EKSEKUTIF SWASTA.


Selasa, 9 September 2014

Wanita gempal; fesyen, jodoh dan karier

H: Wanita gempal; fesyen, jodoh dan karier

NOR KHALILAH GUSTI HASSAN nor.khalilah@sinarharian.com.my

Dilema wanita berbadan besar atau gempal bukan lagi suatu yang tidak asing dalam kalangan masyarakat. Keupayaan mereka sering kali diperlekehkan dan dipersendakan oleh sebilangan yang tidak punya nilai sensitiviti.


Walaupun wanita sejenis makhluk tuhan yang boleh multi-tasking, sebenarnya wanita zaman sekarang banyak berdepan dengan pelbagai dilema.


Ada wanita berpengaruh, punya kerjaya besar dan berpangkat tinggi. Hidupnya mewah dan penampilannya elegen. Memiliki gaya dan petah melaungkan hak namun hakikat, hidupnya sunyi kerana tiada lelaki yang berani mendampingi. Ternyata, hidup gah duduk di kerusi boss atau ketua dalam syarikat belum tentu memberikan kebahagiaan naluri bagi wanita di pihak ini.


Kedudukan dan pengaruh dalam jawatan tinggi seorang wanita boleh membuatkan lelaki berasa rendah diri untuk mendampingi wanita dalam kategori ini. Bimbang dikatakan mengikis wanita pula.
Walau pun wanita di kategori ini sebenarnya tidak memilih soal pasangan kerana telah memiliki segala-galanya, saya percaya, sedikit sebanyak dalam perhubungan antara pasangan, ada ketika ego mereka akan terserlah. Wanita berasakan mereka punya ideologi tepat dalam menentukan hala tuju rumah tangga. Ketahuilah sebenarnya, wanita tidak pernah memandang rendah jodohnya, hanya mereka sudah terbiasa memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar dan baik.  Apa nak dikata, sikap mereka sering disalah tafsir. Dan itulah yang menjadi dilema golongan ini untuk mencari pasangan hidup. Dilema juga kepada lelaki yang berkira-kira untuk menyunting mereka.


Dari sudut lain pula, ramai juga wanita berusia yang masih single dan belum punya kekasih hati. Kalau pun jodohnya sampai, kemungkinan apabila kitaran haidnya sudah hampir sampai ke penghujung atau menopause, sudah tentu masalah lain bersabit zuriat atau kedinginan terhadap seksual pula timbul. Dilema usia.

SH: Imej dan penampilan

Kepelbagaian dilema inilah sebenarnya yang menjadikan wanita suatu bentuk ciptaan yang amat kompleks. Perasaannya, fizikalnya, psikologinya, merupakan suatu sistem yang unik. Dari segi rupa paras dan fizikal, juga mendatangkan dilema bagi wanita. Yang kurus dengan dilemanya, yang gemuk perihal lain pula. Ada juga disebabkan situasi dan jika kita tarah sehingga ke akar umbi, ia sebenarnya bergantung pada diri sendiri.


Tidak semua wanita gempal menjadi gemuk secara tiba-tiba. Ada yang sudah sedia dilahirkan comel dan begitulah cara mereka dibesarkan sehingga apabila mereka sedar dan celik akal, badan sudah bersaiz XXL. Ketika di peringkat ini, sulit sekali untuk mereka menguruskan badan melainkan dengan cara yang amat drastik atau menggunakan kos yang mahal. Kita tidak tahu, mungkin ada ibu bapa yang memang suka anak mereka bertubuh gempal dan sihat sehingga mereka terus dibesarkan sebegitu. Bukan kehendak mereka sendiri atau bukan kehendak kita.
Inilah manusia. Fitrahnya berbeza.


Wanita moden hari ini lebih bersikap terbuka baik dari segi pemikiran, pemakaian dan cara hidup. Jika dahulu wanita gempal tidak mengekspresikan diri, kini ternyata dunia berubah. Mereka tampil bergaya malah diterima menjawat jawatan meski pun dalam bidang berkaitan imej dan penampilan. Ya, sesiapapun memerlukan imej dalam kerjaya. Pendek kata, yang membentuk diri dan peribadi bukanlah saiz fizikal semata-mata, tetapi terletak kepada cara kita mencorak perwatakan diri. Biarlah keikhlasan kita yang berbicara.
-tamat-

Jumaat, 29 Ogos 2014

NOVEL 2 - PELANGI SELEPAS HUJAN -BAB- WARTAWAN MENYAMAR KERJA KELAB

NOVEL 2 - PELANGI SELEPAS HUJAN

Bab 1

Dua kali diasak ajakan teman yang bekerja di sebuah kelab eksklusif di ibu kota, akhirnya Zulia bersetuju dengan syarat keselamatan dan identiti dipelihara. Wati nampaknya tidak main-main menerima permintaan Zulia untuk melalui dan merasai sendiri beberapa hari pekerjaan sepertinya.


Ya, beberapa minggu lalu sewaktu bertemu gadis Sabah berkulit sawo matang itu, Zulia secara berseloroh mengutarakan cadangan kepadanya. Tidak sangka, Wati mengaturkan sesuatu untuk Zulia bersama pengurus kelab yang juga rakan baiknya. Pelayan hidmat pelanggan atau lebih dikenali sebagai GRO??? Biar betul??? Zulia seorang wartawan. Mana mungkin Zulia mampu menyamar menjadi pekerja di bidang itu. Bagaimana jika ada pelanggan yang mahu lebih? Bagaimana jika Zulia terperangkap? Kalau wartawan menyamar pelanggan, itu biasa, tapi wartawan menyamar GRO, itu luar biasa!


Zulia masih mengurut dada. Zulia takut. Tapi Wati memberikan jaminan. Zulia dimintanya bertemu dahulu dengan pengurusnya. Tiba pada jam 12.30 malam pada hari Jumaat malam Sabtu, Zulia diperkenalkan dengan James. Lelaki berbangsa China itu telah berkhidmat hampir 13 tahun. Penampilannya segak, tidak seperti kebanyakan pengurus atau bouncer-bouncer kelab malam lain yang boleh dilihat di beberapa kelab sekitar Kuala Lumpur. Ada yang kelihatan bengis dan berbadan gempal tanpa senyuman.


Degupan jantung yang maha hebat tidak pernah berhenti walau sesaat. Aduhai... takut benar bila berada dalam dimensi baru melibatkan golongan-golongan kelab malam dan bouncer. Mungkin sekali sesiapapun yang berselisih dengan mereka bertiga adalah ketua kongsi gelap yang mempunyai pistol atau bom di pinggang. Mungkin juga mereka handal bermain pisau dan pedang seperti dipertontonkan dalam filem-filem.


Ya, sepanjang penyamaran Zulia kerap hayal dan bermonolog dalam hati. Meski pun diberikan pekerjaan sebagai pembantu kaunter yang bertugas sebagai penunjuk bilik karaoke kepada tetamu yang datang, kehidupan dari sisi gelap pelayan wanita yang bekerja di kelab itu masih dapat Zulia hidu.


Peluh suam merenik di dahi dan bahu meski pun kedinginan aircond masih terasa. Zulia panas, rimas dan berasa sesak dengan asap rokok, ditambah bunyi bingit dari celah-celah bilik karaoke kelab eksklusif dua tingkat itu.


“Ti, kalau ada yang raba aku, siap kau!” Zulia memberikan amaran. Sakit hati apabila Wati respons dengan ketawa kecil.


“Kau kategori lain. Bawa tetamu ke bilik karaoke. Ambil pesanan dan hantar. Itu saja. Kalau kena raba, kau ketuklah kepala customer. Itu pun kalau tak nak kena buang kerja hari pertama!” dan Wati ketawa lagi. Zulia tahu, Wati yakin Zulia tidak akan mendapat layanan seperti itu.


Ya, nasib Zulia baik apabila James hanya mencadangkan Zulia sebagai pembantu kaunter. Jika tidak, Zulia khuatir tidak dapat menjaga tingkah laku dengan baik; kerana kemampuan Zulia menangkis serangan tangan-tangan gatal ketika melatah, amat hebat!


Malam itu Zulia lihat sendiri cara kerja Wati dan kawan-kawannya. Kebanyakan berbangsa Melayu dan Vietnam. Ternyata untuk kelab eksklusif seperti ini, wanita Melayu mendapat rating utama. Mungkin kerana gaya berpakaian yang lebih daring dan manja, serta kelebihan berbahasa Inggeris, mereka disenangi. Pelanggan terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ini berdasarkan pemerhatian zULIA melalui kepelbagaian warna kulit, bangsa dan warganegara berdasarkan lenggok bahasa.


Rakan-rakan sekerja Wati masih belum mesra dengan Zulia. James hanya memperkenalkan Zulia sebagai gadis part time di kelab karaoke itu. Selain Zulia, ada beberapa lagi gadis Melayu yang membuat kerja sambilan di situ seperti Zulia. Ada di bahagian bar, ada juga yang memilih menjadi pelayan seperti Wati.


Setiap kali keluar dari bilik karaoke, Wati mengenyitkan mata sambil menayangkan tips pelbagai mata wang ke arah Zulia. Zulia mencebik.


“Tak semua kerja kelab melibatkan seks. Macam di sini. Ia memang kelab eksklusif. Tapi kami ada bahagian tertentu. Di tingkat ini, bahagian karaoke. Tingkat atas, kelab. Sana lebih bingit. Aku pernah naik tingkat atas. Kerja jadi perempuan kelab. Macam biasalah, jadi pelacur. Tapi lepas tu tak suka kerja sana. Aku tukar sini. Lebih santai dan tak tertekan.



“Pelanggan pilih pakej karaoke berdasarkan bilik dan jika pakej yang mereka pilih ada menyediakan pelayan wanita, aku akan masuk. Kerja aku, menyanyi, dengar mereka menyanyi. Duduk tepi pelanggan. Hidangkan air. Berikan air. Kalau mereka nak lebih, boleh runding dengan pelayan lain. Aku tak tawar khidmat seks. Pengurus pun tahu.” Cerita Wati di waktu sengkang.



“Baguslah. Tapi, tak takut ke kalau-kalau kau terperangkap dan dijadikan mangsa pemerdagangan orang. Maksudnya, dihantar ke negara lain? Jadi pelacur?.” Soal Zulia. Kali ini lebih terperinci.

“Hish. Di sini tak ada. Sini pekerja bebas keluar masuk. Nak kerja, kerja. Tak nak kerja, berhenti. Yang berhenti dan kerja semula pun ramai. Sebab itu aku berani ajak kau datang di sini. Biar kau tengok sendiri.” Jawab Wati selamba. Esoknya, dia berjanji perkenalkan Zulia dengan rakan sekerjanya yang memberikan khidmat seks selepas waktu bekerja.

BAB

Ahad. 12.30 malam. Tidak ada waktu kerja yang spesifik untuk Zulia dan Wati memandangkan James tahu tujuan sebenar Zulia mengikuti Wati ke kelab itu. Dia hanya senyum menyambut kedatangan Zulia, tapi segera berbisik dan mengingatkan Zulia agar tidak terlalu menonjolkan diri.

James kata, kadangkala sifat kewartawanan Zulia agak terserlah kerana biasanya pekerja baru lebih-lebih lagi pekerja sambilan, tidak banyak bertanya. Dia bimbang kalau-kalau Zulia tersilap dan orang yang ditanya mengesyaki sesuatu. Pasti dia menjadi sasaran dan Zulia pula akan terima sesuatu yang lebih buruk. "Dunia gelap, siapa boleh menduga bukan?" Kata James. Zulia mengangguk perlahan.

Rose (bukan nama sebenar) duduk bersimpuh di deretan kerusi yang dikhaskan untuk pelayan. Rambut ikal mayangnya diwarnakan dengan warna perang. Rose mengenakan gincu merah terang, menyerlahkan lagi wajah putih mulus miliknya. Solekan alis mata disapu tebal dengan warna pekat hitam. Pandangannya menikam. Rose agak sombong pada awalnya, tapi selepas dibisikkan sesuatu oleh Wati, dia sudi bersuara.

“Dah empat tahun saya kerja di sini. Sejak saya menjanda. Bekas suami, berjawatan besar di jabatan kerajaan. Tapi tak pernah fikir soal nafkah anak. Saya pilih jalan ini. Lucunya, bekas suami tahu dan pernah jadi pelanggan di sini.” Luah Rose seakan telah lama memendam dan menanti masa untuk meluahkan.

“Saya sakit hati dengan dia. Sebab itu saya kerja kelab. Lagi pun saya perlu banyak duit. Sewa rumah, insurans anak-anak, sekolah, bil perubatan dan banyak lagi. Saya penat tanggung seorang. Sebelum pilih kerja kelab, saya meniaga di rumah. Tapi tak banyak membantu.” Kata janda tiga anak ini.

Skirt paras peha dengan padanan t shirt putih ketat berlengan sendat, menampakkan lagi kecantikan Rose meski pun bertubuh agak berisi. Senang cakap, bodynya mantap. Boot hitam separas lututnya juga menarik perhatian Zulia. Lupakan soal pakaian. Semua perempuan GRO telah terbiasa membuat ‘self grooming’ untuk meraih perhatian pelanggan. Kalau dah namanya perempuan, wajah tidak secantik mana pun jika dikenakan make up, pasti cantik juga Eh! Tutup cerita Rose. Dia banyak merintih mengenai kejahatan suaminya.

Jam 3.30 pagi. Isnin. Wati membawa Zulia ke sebuah kelab di Klang. Kata Wati, pemiliknya Melayu. Kelab ini mempunyai sebuah lagi cawangan dengan menggunakan nama yang hampir sama, juga terletak berdekatan. Ia bersaiz sederhana dengan di hadapannya tersergam sebuah restoran, dipercayai untuk menutupi kegiatan kelab, juga mengaburi pihak berkuasa.

Di sebelah restoran, ada tangga kecil menghala ke tingkat atas, juga dikatakan letaknya bilik-bilik karaoke dan sebuah hotel. Premis hotel itu pula tidak diketahui sama ada milik orang yang sama, atau individu lain yang merasakan relevan membuka perniagaan berdekatan kelab malam itu.

Melangkah ke dalamnya, konsep kelab agak santai dengan ruang terbuka di tengah-tengah. Beberapa tiang di kiri dan kanan kelab merupakan tempat terletaknya deretan sofa-sofa empuk untuk pelanggan bersantai bersama-sama GRO.

Di hujung sudut, ada pentas kecil KIRA-kira setinggi dua kaki untuk band jemputan membuat persembahan nyanyian dan tarian ala eksotik. Selain penyanyi band, pengunjung juga dijemput hadir untuk menyampaikan lagu. Ada yang sumbang, ada yang bagus suaranya. Rata-rata pelanggan saya lihat berumur lebih 40-an atau lewat 30-an. Mereka segak. Ada kerja bagus barangkali.

Atau mungkin juga pelanggan di sana dalam kalangan navi (tentera laut) dari negara seberang atau negara lain yang berlabuh di Pelabuhan Klang. Ternyata, telahan Zulia mengena. Suzi, rakan Wati mengiakannya. Pelanggan tetapnya juga seorang tentera.

Suzi duduk di sebelah Zulia sambil menghidangkan segelas coke. Zulia menggelengkan kepala sambil tersenyum, sebagai tanda menolak lembut coke yang dihulurkannya. Berdekatan kami, ada kaunter deejay dan speaker yang membingitkan.

“Sini ramai GRO Indonesia. Persaingan sengit. Bergaduh sesama GRO kerana rebutkan pelanggan itu biasa. Tapi sebab owner Melayu, tak berkira soal duit, saya fikir banyak kali nak berhenti.” Suzi memulakan bicara. Dia janda anak empat. Tapi lebih kurus berbanding Rose dan Wati.
Ironinya, ketika masih bersuami, Suzi sememangnya bekerja sebagai GRO. Suami pula bekas bouncer kelab tersebut.

“Dulu masa bekas suami kerja sini, selamat sikit. Tapi bila saya bercerai dan suami kerja di kelab lain saya kena lebih hati-hati. GRO Indonesia ada yang pakai ilmu. Tak tahulah nak cakap macam mana tapi dalam dunia kelab malam ni macam-macam boleh berlakukan?.

“Saya pernah menari bogel belakang kaunter deejay. Masa tu saya tak sedar apa saya buat. Yang saya tahu saya memang kepanasan. Saya buka baju seluar. Menari sambil menangis. Nasib baik kawan-kawan nampak. Mereka tangkap saya bawa ke bilik air belakang premis. Jirus air dan pegang saya sampai pitam. Lepas tu bawa balik. Esoknya baru saya tahu, ada yang letak ‘ice’ (syabu) dalam coke saya.” Cerita Suzi.
-tamat-


Rabu, 13 Ogos 2014

H: Perjuangan hati si ibu tunggal



NOR KHALILAH GUSTI nor.khalilah@sinarharian.com.my

Definisi sunyi bagi seorang anak gadis yang tidak pernah berkahwin tidak sampai beberapa peratus berbanding kesunyian seorang wanita yang pernah berkahwin lalu keseorangan.
Analoginya sama dengan keadaan ketika kita memperoleh sesuatu yang amat berharga. Kita perlu dan kita sayanginya sepenuh hati lalu kita kehilangan sedangkan kita sudah terbiasa memilikinya.



Separuh hati kita telah pergi. Sebahagian daripada tubuh yang melengkapi kita telah tiada. Lalu siapa yang akan melakukan banyak perkara yang selama ini dilakukan sebahagian daripada tubuh kita itu?



Hebatnya dugaan kerana wanita itu pernah melalui fasa hidup yang dipenuhi hilai tawa dan kasih mesra seorang teman dalam suatu tempoh yang mungkin sekali panjang dalam hidupnya. Lebih hebat sekiranya dalam perhubungan itu telah lahir zuriat yang diharapkan menjadi pengikat kasih sehingga hujung usia.



Soalnya, bagaimana menjadi seorang ibu tunggal yang tidak bodoh dan tidak merisikokan diri sendiri serta masa depan zuriatnya? Situasi peralihan di mana seseorang wanita itu mengetahui dia keseorangan baik bercerai hidup atau bercerai mati adalah situasi di mana fikirannya lebih hebat teruji bak dilanda strok.



Tentu sekali dia sering tersekat membuat tafsiran mengenai pandangan dan penerimaan individu sekelilingnya. Dalam keserabutan yang maha luas tika mengawal pergolakan hati, mampukah seorang ibu tunggal membuat perhitungan yang tidak memakan diri?


Tidak hidup kerana lelaki


Saya percaya manusia yang paling penting dalam hidup seorang ibu tunggal ialah anak-anaknya. Namun, ibu tunggal perlu cekap untuk tidak mendahului kepentingan diri dan hati berbanding kepentingan anak-anaknya. Dengan kata lain, jangan sesekali dalam keadaan apa jua pun, membiarkan anak-anak bersendirian dengan seorang lelaki yang dipercayai seratus peratus.


Terlalu banyak kes dimana kanak-kanak dibunuh dan/atau didera kerana ibunya tanpa berfikir panjang, meninggalkan anak-anak dengan lelaki yang dikatakan teman. Si ibu tunggal yang gagal sering kali tewas dengan helah lelaki yang mudah sahaja mengambil kesempatan di atas kekalutan yang melanda.


Ibu tunggal yang bijak haruslah meletakkan sedikit curiga terhadap orang lain, lebih-lebih lagi lelaki baru dikenali.


Menjadi seorang ibu bukan sekadar menjaga makan dan pakaian anak-anak. Luangkan masa untuk mengenali mereka dengan lebih dekat. Mereka adalah cahaya mata yang memerlukan perhatian tidak berbelah bagi. Tanyalah pendapat mereka tentang sesuatu perkara yang berlaku. Jika mereka masih bayi atau kanak-kanak, ajaklah mereka berbual mengenai rutin harian mereka. Biarkan mereka berkata-kata sehingga mungkin sekali mereka meluahkan apa yang terbuku di hati.


Kanak-kanak adalah penyimpan perasaan paling bijak. Dari perbuatan dan perilakunya, mereka cenderung menyampaikan apa yang tersimpan dan anda perlu sama-sama bijak membuat tafsiran.


Menjatuhkan maruah bekas suami


Cenderung mengingati dan mengimbau kisah perit dalam hidup itu menjadi perkara normal dalam jiwa seorang wanita yang sarat dengan kecelaruan. Usah biar perkara itu menghambat kebahagiaan yang sepatutnya anda raih setelah sekian lama menderita.



Sebagai ibu tunggal, sikap berhati-hati agar tidak menghina dan mencaci bekas suami di hadapan anak-anak perlu dilakukan. Ini penting agar anak-anak tidak merasa rendah diri atas keburukan ayahnya dan supaya mereka tidak merasa bahawa mereka sebagai pembawa masalah dalam hidup si ibu.



Perbuatan menengking dan memarahi anak-anak di khalayak ramai juga boleh merendahkan maruah anak-anak dan menyebabkan mereka menjadi sangat pemalu dan akan menjauhkan diri mereka daripada tempat awam.



Bagi mereka yang berada di sekeliling kehidupan si ibu tunggal. Belajarlah untuk menjadi seorang yang amat memahami. Berat mata memandang, berat lagi bahu si ibu tunggal menggalas bebanan yang dihadapi. Mereka tidak minta anda masuk ke dalam hidup mereka untuk melihat seratus peratus kesusahan yang mereka alami, cukup sekadar jika anda memberi empati yang tinggi. Usah menuding jari atau mempersoal itu dan ini. Realitinya, anda hanya seorang pemerhati.

-tamat-




H: Apabila simpati mulai sirna


Penemuan ini bukan penemuan biasa. Saat pintu terkuak, dia mengesot dari kurungannya dalam keadaan terpinga-pinga. Bibirnya ingin menjerit, tapi dia tidak bersuara. Dia memandang sekeliling. Kaku, bisu, tiada satupun daripada wajah-wajah di ruang itu yang dia kenal. Suara-suara beristighfar kerana terkejut melihat wajahnya berlegar-legar memenuhi suasana. Penemuan apakah ini?
Menelusuri setiap saat dan inci putaran video yang dikongsikan rakan di Facebook, mengundang sarat remuk dan sentuhan pedih di naluri wanita ini. Adik Muhamad Firdaus mungkin sekali dalam kadaan kelaparan, kesakitan, tertekan, asing dan hairan. Pada minit-minit terakhir video terdengar jeritan lemah remaja itu sepertinya memanggil-manggil perkataan emak. Aduhai... air mata siapakah yang tidak menitis?
Betapa sebaknya melihat seseorang dikurung sebegitu rupa. Kurus kering, baju rabak mereput dan busuk. Dikurung pula di tempat kotor dengan najis dan sampah bergelimpangan. Bagaimana ya jika kita ditempatkan dalam kurungan kedap udara sebegitu? Apakah kita bisa tidur bersama najis dan air kencing sendiri? Apa kita punya kekuatan untuk bertahan selama Muhammad Firdaus bertahan?
Tidakkah kesabaran dimiliki remaja itu suatu keistimewaan yang tiada bandingan? Dan apakah benar Muhammad Firdaus yang ditemui beberapa hari lepas adalah remaja sama seperti gambar dalam Facebook Imashima Lola yang dikatakan milik ibunya?
Maaf jika beremosi. Harapan WOW agar kita tidak mempertikaikan kekhilafan sesiapa. Kita tidak berada di mana-mana posisi, lantaran itu kita tidak tahu apa yang tersurat dan tersirat. Hanya tanam dalam diri agar kejadian serupa tidak dilakukan dalam kehidupan kita
H: Bangkit kemarahan
Kisah remaja malang berusia 15 tahun yang ditemui terkurung dalam sebuah bilik perumahan jenis flat beberapa hari lalu, begitu menggemparkan rakyat Malaysia. Dari fizikalnya yang compang-camping menggambarkan bahawa anak ini dibiarkan sekian lama tanpa perhatian dan tindakan, sehingga dia kurus kering dan trauma.
Firdaus ditemui pihak berkuasa yang menyerbu masuk ke rumah tersebut dalam usaha membanteras pendatang asing. Penemuan Firdaus membangkitkan kemarahan seluruh rakyat Malaysia yang bersimpati atas nasibnya. Banyak respons diberi lebih-lebih lagi apabila mengetahui anak tersebut punyai ibu. Ada yang memaki, mengeji, memerli, mengutuk tindakan ibunya malah, tak kurang juga yang bersimpati dan mengharap orang lain untuk tidak menuduh sembarangan selagi siasatan pihak berkuasa tidak selesai.
.
Dari mana-mana sudut pun, baik ibu, ayah, tetangga dan orang lain yang ada berhampirannya; apabila simpati mulai sirna dari sanubari manusia, maka itulah yang terjadi.
Ibu tidak lagi mengulit anaknya dengan sentuhan lembut. Suami tidak lagi mendidik isterinya dengan ilmu. Adik-beradik tidak lagi berkasih sayang sesama sendiri. Tetangga tidak lagi punya sikap ambil tahu.
Saya bersembang dengan seorang kenalan yang punya anak OKU. Katanya, perasaan seorang ibu yang punyai anak OKU begitu berbeza daripada mereka yang punya anak sempurna. Persepsi dan dilemanya sukar diungkapkan dengan kata-kata, lebih-lebih lagi jika dia ibu tunggal. Mungkin juga ada unsur-unsur mental traumatize di pihak yang melaluinya.
H: Talian Nur 15999
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berkata, ibu remaja lelaki OKU jenis 'celebral palsy' itu berasal dari Sabah dan sudah berpisah dengan suaminya. Bekas suaminya meninggal dunia pada 2012.
Beliau menzahirkan rasa dukacitanya kepada media dan mengesahkan tindakan susulan KPWKM menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat telah pun dilakukan.
Rohaini dalam lawatannya menemui Firdaus di Hospital Tuanku Jaafar Seremban mengesahkan remaja tersebut akan terus dipantau untuk diberikan makanan yang berzat, tempat tinggal yang selesa dan rawatan fisioterapi serta terapi-terapi lain yang bersesuaian seperti yang disyorkan pegawai perubatan.

Tidak ada sebab untuk kita kehilangan punca sekiranya menemui kesusahan. Rakan-rakan, jiran tetangga dan banyak pihak lain boleh dijadikan rujukan. Talian Nur 15999 adalah rujukan terbaik bagi wanita-wanita yang menghadapi kesusahan. Cubalah hubungi dan dapatkan nasihat atau pandangan.

Tidaklah manusia itu berkahwin demi penceraian

Tidaklah manusia itu berkahwin demi penceraian. Rumah tangga yang dibina atas dasar cinta pasti ingin dipertahankan waima masalahnya setinggi gunung mencakar awan. 
.
Baik pasangan muda mahupun dewasa, perkahwinan semestinya medan menguji kesetiaan dan keutuhan kasih sayang.
.




Perkahwinan juga mengajar manusia mengunci nafsu terhadap banyak perkara yang tidak mampu kita lakukan secara bersendiri. 
.
Bagi yang memandang ujian itu suatu tusukan positif dalam diri, pasti melihat perkahwinan sebagai platform melengkapi di antara satu sama lain.
.
Anehnya, kepincangan tetap juga berlaku. Puluhan tahun sekalipun perkahwinan itu dibina, manusia sering tewas dengan percaturan hidup sendiri. Jika sudah tersurat olehNya perpisahan, maka yang bermula dengan keindahan, akan ternoktah jua.. 
.
Dewasa ini, pasangan muda sering memilih tindakan mudah iaitu mengakhiri perkahwinan di awal usia. Kebanyakannya berpendapat; untuk apa ditunggu lagi jika sudah tidak sehaluan. Di tunggu sehingga tua pun, jika sudah tiada jodoh, tidak guna juga. Bernarkah telahan itu?
.
Isu kahwin-cerai dilihat seperti semudah menyalin pakaian. Jika mahu, ia dipakai. Jika tidak mahu, ia dibuka dan dibuang jauh-jauh. Kemudian bila rindu, merujuk semula. Tiada penyelesaian.
.
Kalau dikaji kadar penceraian di Malaysia, memang wajar untuk kita berasa gusar. Anda mungkin tiada contoh dari kalangan keluarga terdekat dan saya berdoa mudah-mudahan anda pembaca semua dijauhkan daripada cabaran berumah tangga sehingga membawa kepada penceraian ini. .
Kita masih boleh belajar dan ambil iktibar daripada berita-berita yang terpapar di akhbar mahupun di media elektronik.

Merujuk kepada statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2009, kadar perceraian di kalangan pasangan suami isteri Islam di negara ini berlaku setiap hari. 
.
Usaha untuk mendapatkan statistik terbaru dari jabatan itu tidak berhasil apabila pegawai dihubungi enggan bekerjasama dalam memberikan komen. Menurutnya, bimbang angka dan statistik penceraian negara ini disalah tafsir sesetengah pihak. Kami menghormati pendapat itu.

Wanita: Dilema jadi ketua




Lepas habis belajar dulu saya pernah kerja kontrak di sebuah syarikat penyiaran terkenal yang juga memiliki stesen radionya sendiri. Boss saya; seorang perempuan. Dikategorikan agak tegas dan jika ada yang tidak kena memang dia akan tegur secara terang-terangan. Kerja saya memang banyak kerana ada masa saya ditempatkan di bahagian berita televisyen dan pada masa sama diarah buat promo radio dan sunting slot saya sendiri untuk selingan info di radio.
Terus-terang, saya suka dengan kerja-kerja yang dilakukan. Maklumlah baru lepas daripada suasana belajar sepernuh masa yang menekan. Apabila dah dapat kerja, saya kerja dengan penuh semangat.
Namun, saya pasti perasaan ini dirasakan kebanyakan kakitangan di luar sana, iaitu tidak suka apabila boss ada di pejabat. Kalau boss cuti atau bertugas luar kawasan, alangkah indahnya rasa dunia kita. Walhal, boss ada atau tidak, kita tetap bekerja dengan baik dan sesungguh hati. Hanya ketika boss ada kita rasa kurang selesa dan selalu diperhatikan. Lebih-lebih lagi boss perempuan saya ini memang suka tawaf dari satu departmen ke satu department. Kalau dia  tak ada pendek kata boleh berkerja dangan gembira. Pernah tak? Betul tak?
Kenapa ya? Saya pasti, ada sesetengah sikap dari boss sebegini yang kita tidak senangi. Bukan sepenuhnya tapi mungkin seperkara yang sulit untuk kita jelaskan. Kakak senior saya di unit berita pernah berkata, saya boleh dikategorikan sebagai manusia yang bertahan kerja di situ. Sebelum saya masuk sudah ramai pekerja kontrak berhenti kerja kerana tidak tahan malah, ada antara mereka yang berpakat untuk berhenti serentak.
Perempuan vs lelaki
Pengalaman saya berhadapan boss lelaki di sebuah syarikat pengurusan majlis lain pula kerenahnya. Dia lebih garang dan tegas soal kerja tapi lembut dan prihatin soal kesihatan. Kalau setakat lempar fail dan kertas depan muka staff itu perkara biasa. Salah eja atau salah info sedikit pun memang kena maki sampai keluar pejabat dengan tangisan!
Nah, mana satu yang sanggup kita hadapi? Lelaki mahupun perempuan; jika dinilai semula dengan mata hati, tidak ada manusia yang sempurna. Cerewet, tegas, pemarah, rasional, manis, lembut atau bengis, itu semua fitrah kejadian manusia. Hanya kita yang gagal menterjemah atau mengadaptasikan perangai dan sikap-sikap tersebut di hadapan orang lain.
Jika tidak, kenapa ada orang menyukai seseorang yang kita benci? Dan kenapa pula kita suka pada seseorang yang orang lain benci? Anehkan? Tapi itulah hati manusia.
Seseorang pernah berkongsi cerita dengan saya mengenai boss perempuannya yang cerewet. Sampai  sampah sekecil biji sawi pun dia nampak contohnya staple atau bullet stapler yang melekat di celah karpet. Kalau dia jumpa, habis satu pejabat dia membebel. Bossnya juga bersikap kalut sampai semua orang bawahan pun jadi kalut.
Tapi bab kerja atau kecemasan melibatkan rumah tangga dan anak-anak, bossnya sangat prihatin pula. Kiranya tidak semua sikap boss perempuan membebankan mereka. Wanita sarat dengan emosi. Jika anda pandai mengambil hatinya, mendekatinya, tentu masalah besar tidak mudah timbul. Minggu ini, WOW membawa isu Wanita; Dilema menjadi ketua. 
-tamat-


H: Dilema bermadu


SH: Wanita banyak pendam rasa

NOR KHALILAH GUSTI

DIA wanita kental yang semangatnya amat saya sanjungi. Ketika mengunjunginya yang baru sahaja melahirkan anak kedua, madunya Ina, sibuk di dapur menyediakan makanan berpantang dan air mandian herba. Dari riak wajahnya yang polos bertempelkan pilis di dahi, saya lihat sebuah duka yang amat kencang berputar di fikirannya. Mata kami saling bertaut. Siti ada sesuatu yang ingin diluahkan.
“Itulah Ina, madu Ti yang Ti ceritakan dulu. Sejak kahwin dengan abang lima bulan dulu, terus tinggal dengan Ti. Baik budaknya. Baru 20 tahun.” Siti membetulkan duduk. Entah marah entah simpati, saya seakan mahu mencekik leher Ina yang sedang sibuk di dapur tanpa mempedulikan kami berdua.
Ketika Siti menceritakan dilema hidupnya lima bulan dulu, marah penulis lebih meluap. Tapi hari ini, melihat tindak tanduk Siti yang tenang dan bersahaja, penulis sabarkan diri untuk tidak beremosi di hadapan kenalan rapat yang sedang berpantang itu.
Ina gadis Melayu berketurunan Kedah yang asalnya bekerja di restoran suami Siti. Rambutnya merah, lehernya jinjang dan kakinya panjang persis model. Dibandingkan dengan wajah Siti, Ina tidaklah cantik tetapi Siti bertubuh gempal. Mungkin kurus itu yang menjadi aset dambaan suami Siti sehingga memilih Ina untuk dijadikan isteri kedua.
Dilema Siti menyentuh hati wanita saya. Kisah cinta suaminya dengan ramai gadis selalu diceritakan kepada saya setahun dulu.
“Apabila suami ada masalah dengan teman wanitanya, dia akan telefon Ti dan meluahkan perasaan sedihnya. Apabila putus cinta, Ti jugalah yang menjadi tempat suami meluah rasa. Bayangkan betapa remuk hati Ti saat suami tercinta meluahkan rasa sedihnya kehilangan kekasih hati.
“Bayangkan betapa terlukanya jiwa Ti saat mendengar suami menangisi pemergian perempuan lain, yang bukan isterinya. Sebagai isteri, hak apakah yang Ti ada? Ti sedih. Ti berduka sepanjang masa. Anak dikandung seakan mengerti dan menendang-nendang dinding rahim saat Ti merintih hiba. Tapi apa nak buat, ini nasib Ti dan Ti terima Ina seadanya.” Sambung Siti lagi. Air mata sudah tak dapat ditahan.
Saya dan Siti sedar, selepas habis berpantang ini, dugaan Siti lebih berat. Hati Siti mungkin juga akan lebih hancur dan terhimpit, namun hati ini mendoakan, Siti mendapat ganjaran pahala yang melimpah ruah. Sebagai sahabat doa saya juga mahukan Siti beroleh kebahagiaan di penghujungnya nanti.
Begitulah kisah wanita bermadu. Ada yang dapat menerima kehadiran orang ketiga, dan ada pula yang mungkin memilih untuk berpatah arang, berkerat rotan. Apa pun pilihannya pasti ada kesan dan natijahnya tersendiri. Hidup mesti diteruskan. Semoga bertemu hikmahnya.



H: Wanita OKU dan ibu tunggal jadi inspirasi

NOR KHALILAH GUSTI nor.khalilah@sinarharian.com.my 


Tiada siapa pernah menafikan kehebatan kaum wanita. Ketabahan dan kegigihannya menjadi seorang anak, pelajar, isteri, ibu, sahabat dan pendidik dalam satu-satu masa adalah inspirasi mengagumkan. Di luar sana ramai nama-nama besar terdiri dalam kalangan wanita hebat yang telah mencapai kedudukan tertentu di mata dunia.

Tidak hanya wanita biasa, malahan Wanita OKU (orang kurang upaya), ibu tunggal dan miskin juga mampu mencipta nama dan populariti tersendiri. Siapa tidak kenal personaliti dunia bernama Oprah Winfrey? Dia adalah contoh wanita yang tidak mahu meratapi nasib. Dia berjuang keras untuk kejayaan hidupnya, dan perjuangannya berhasil. Dia telah mengubah nasibnya dari kehidupan nestapa menjadi bahagia, sukses dan punyai karektor.
Wanita ini antara wanita kulit hitam yang memiliki kekayaan jutaan dolar manakala rancangan telivisyen berbentuk bual bicara kendaliannya; “The Oprah Winfrey Show” telah diputar hampir seluruh penjuru bumi ini.
SH: Tahukah anda?
Lahir di Mississisipi dari pasangan Afro-Amerika dengan nama Oprah Gail Winfrey. Oprah diasuh oleh neneknya di lingkungan kemiskinan yang ketara. Pada usia sembilan tahun Oprah diperkosa oleh saudara sepupu ibunya serta teman-temannya berulang kali. Di usia 13 tahun Oprah harus menerima kenyataan hamil dan melahirkan, namun bayinya meninggal dua minggu setelah dilahirkan.
Oprah lari ke rumah ayahnya di Nashville di mana lelaki itu kemudian mendidiknya dengan keras ala tentera seperti pekerjaan ayahnya. Namun didikan itu menjadikannya sebagai wanita yang tegar, percaya diri dan berdisiplin tinggi.
Tidaklah artikel ini berkehendakkan wanita menjadi seperti beliau, sebaliknya ingin membawa anda menghayati akan kejayaan insan-insan yang mempunyai latar belakang menyedihkan sepertinya. Ada wanita ibu tunggal yang berjaya bangkit dari kejatuhan hidup, dan ada wanita OKU yang mampu mengharumkan nama negara dengan kejayaan yang tersendiri.
Tidak mereka pinta dilahirkan dalam kemiskinan, kesusahan, kecacatan atau bergelar janda. Akan tetapi kepayahan dan ujian yang diterima telah mereka jadikan sandaran menjadi kekuatan untuk terus mempertingkatkan diri.
Bagi mereka, kata nista dan cerca masyarakat dihadam lumat menjadi sindiran picisan yang tidak harus diambil pusing. Kekuatan dalam diri selalu berkata ‘aku tidak mahu terus jatuh seperti mereka dan aku tidak mahu orang yang gagal mengheret aku bersama kegagalan mereka!’
Hakikatnya, yang menata rias kehidupan anda adalah tangan anda sendiri. Pilihan dan kehendak itu milik anda. Tiada sesiapa boleh menentukan tanpa izin anda dan keizinanNya. Orang sekeliling boleh memaksa tetapi tidak menentukan. Hidup ini singkat dan hanya pinjaman. Hiasi dan nikmatinya dengan penuh pengisian bermakna.


-tamat-

H: Suka dan duka si anak emas




Melayani seseorang yang menjadi kesukaan dengan perhatian maksimum bererti memperlakukannya seperti anak emas.  Baik daripada seorang majikan kepada pekerja, mahupun ibu bapa kepada anak-anak; perlakuan sebegini memberi impak tersendiri.

Apa pun pilihan mereka yang mempunyai anak emas, pasti mempunyai persepsi dan tujuan masing-masing. Di rumah misalnya, ada ibu bapa yang memberi perhatian lebih kepada anak pertamanya kerana itu adalah buah cinta pertama dalam hubungan rumah tangga. Siapa tahu mungkin pasangan itu terpaksa menunggu lama untuk memiliki cahaya mata. Atau mungkin juga kehadiran anak pertama itu dipenuhi ranjau duri dan ujian maka setelah memilikinya mereka menghargainya sepenuh hati.

Ada pula yang melayani anak kedua mahupun ketiga melebihi segala-galanya atas faktor anak itu dilihat memerlukan lebih bimbingan dan perhatian. Sebagai adik-beradik atau anak lain, anda seharusnya memandang positif perkara sebegini. Kerana sebagai ibu yang melahirkan, atau sebagai ayah yang mendewasakan, mereka lebih tahu kelebihan dan kelemahan anak masing-masing.

Tiada ibu bapa yang mahukan anak-anaknya berasa kurang kasih sayang. Jikalau ada, WOW berani bertaruh bahawa jumlahnya terlalu kecil. Justeru, belajarlah untuk memahami tindakan ibu bapa anda.

S/h: Pasti bersebab

Usah berdengki jika ada kakak atau adik yang sehingga dewasa ibu bapa masih menelefon bertanyakan khabar, atau sehingga kini dikirimkan duit belanja; sedangkan anda pula tidak. Lihat dulu sejarah diri anda. Mungkin anda telah menonjolkan sikap matang dan berdikari semenjak kecil menyebabkan ibu merasa tenang dan tenteram membiarkan anda hidup sendiri di perantauan. Sedangkan kakak, abang atau adik anda itu sejak kecil tidak melihatkan kematangan dalam tindakan. Perkara sebeginilah yang perlu anda telusur sebelum membuat telahan membabi buta.

Nora (bukan nama sebenar) berkongsi cerita kepada WOW mengenai pengakuan bapanya yang mengaku sayang anak pertama melebih 11 anak yang lain. Ini kerana, anak pertama melalui susah payah kehidupan mama dan papanya sejak dari awal. Semenjak mama dan papa susah hingga kini, anak pertama itulah saksi segala-galanya.

Pengakuan papa itu akhirnya menjadi penutup kepada hasad dengki mereka adik-beradik kerana sebelum ini mereka melihat kakak selalu mendapat keistimewaan seperti dibelikan kereta, dibayar kursus yang pelbagai dan dibawa bercuti ke luar negara.

Status kakak sebagai bujang terlajak juga merupakan faktor utama yang menjadikan mama dan papanya lebih rapat kepada anak sulung.

S/h: Ada udang di sebalik batu

Cerita di tempat kerja lain pula kisahnya. Ada anak emas yang memperoleh kebaikan dan manfaat, namun ada pula yang menjadi sebaliknya. Bermula dengan menerima habuan dan layanan mesra, seseorang mula merasakan dirinya terlalu istimewa sehingga mudah sekali mendapat jawatan dan kenaikan yang diingini.

Namun awas, tindakan sebegini sememangnya mengundang pelbagai kebarangkalian. Ada manusia yang sabar menunggu bertahun-tahun untuk melembutkan hati seseorang hingga jadi percaya dan senang didekati; sebelum akhirnya menjerat diri.

Pengakuan Amira (bukan nama sebenar) mengesahkan kenyataan ini. Majikannya terlalu ambil berat dan sering kali membawanya masuk ke dalam mesyuarat syarikat yang tidak ada kena mengena dengan bahagiannya bertugas.

Sikap baik majikannya itu amat ketara hingga dirasakan kawan-kawan lain yang pernah menegur. Amira cuba menafikan namun suatu hari, sewaktu dibawa ke luar daerah untuk satu lawatan tapak projek, boss Amira membuat tindakan tidak bermoral dengan meraba tubuhnya di dalam kereta.

Amira melawan dan nekad berhenti kerja. Tindakan majikannya itu mengundang trauma sehingga lima tahun lamanya. Amira tidak berani mendekati majikan lelaki.

S/h: Terpulang kepada individu

Begitulah suka duka hidup si anak emas. Ada yang indah dan ada yang menakutkan.
Begitu pun, tidak semua individu yang memberikan layanan istimewa kepada seseorang atas niat jahat tersembunyi. Perasaan kasih dan suka terbit kemungkinan juga kerana diawalkan dengan sikap baik dan tertib yang ditonjolkan seseorang.

Fitrah manusia, suka kepada kecantikan dan kebaikan. Jika anda baik, tentu sekali ramai yang ingin mendekati malah bukan sahaja anak emas, lebih daripada itu pun anda layak terima.

Apa pun, tepuk dada tanya selera. Siapa anda dan siapa dia yang menjadi anak emas seseorang, kita bukan selayaknya untuk menilai dan membuat andaian.
-tamat-



H: Color Block, transformasi fesyen terkini


Nor Kalilah Gusti

Fesyen warna kontra atau color block menyinari dunia fesyen tahun 2014. Ia merupakan gabungan warna terang pada penampilan dan aksesori seperti warna merah jambu dan kuning, hijau dan merah, biru dan oren serta pelbagai lagi gabungan berbeza.
Biarpun sebelum ini fesyen warna kontra dilihat sebagai suatu yang pelik, kini tidak lagi kerana bukan sahaja menjadi kegilaan selebriti, malahan menjadi ikutan kerana pemilihan warna secara sesuka hati ini tidak memerlukan kita mengeluarkan belanja yang besar.
Pada masa kini, ramai wanita yang semakin berani mengenakan fesyen dengan warna kontra tanpa mempedulikan lagi pandangan ortodoks mengenai perbezaan warna dalam berfesyen.
Malah, warna-warna terang bermotifkan luar daripada kebiasaan ini sememangnya menangkap pandangan dan memberikan aura berganda yang memberikan gambaran bahawa si penggayanya sebagai seorang yang bijak, sofistikated, berani dan pandai memancing tumpuan umum.
Seperti mana corak dan rekaan pakaian, warna juga mengalami perubahan dan transformasi dari semasa ke semasa, sesuai dengan kematangan dan kemajuan pemikiran masyarakat masa kini. Yang sebenarnya mudah untuk menggayakan pakaian yang mempunyai warna kontra asalkan anda tahu teknik padanan rona yang sesuai.
Aksesori yang digunakan juga bolek menimbulkan impak blocking atau kontra. Ia tidak semestinya pada pakaian malah jam, tas tangan, rantai leher atau gelang juga boleh digayakan dengan warna kontra dengan rona pada pakaian asalkan tidak terlihat padat dan berserabut.

Jangan takut untuk melakukan percubaan kombinasi warna kerana dengan cara yang betul, ia mampu menghasilkan kelainan pada penampilan dan personaliti diri.

H: Wanita dan persiapan raya





Jari telunjuk kanan menggosok-gosok alis mata yang seakan liat untuk terbuka. Tangan satu lagi pula masih memintal anak rambut yang mengurai ke bahu. Kusut masai. Malam tadi tidur lewat. Kalau boleh tak mahu tidur langsung selepas dengar pengumuman raya di televisyen tadi. Entah bila tertidur pun tidak sedar. Tahu-tahu, bersama sepupu sepapat enak tergolek tidur bergelimpangan di ruang tamu.
“Bangunlah anak-anak bertuah oi, hari ini raya!” jerit mak dari dapur. Tangan kanan mak dan siap pegang kain batik untuk dilibas ke arah kami yang liat bangun Subuh. Belum sempat emak sampai, masing-masing melompat sambil menjerit “Yeay!!!” langsung berasak-asak lari ke dapur, berebut bilik air.
Ahh, itulah momen indah zaman kanak-kanak saya menyambut hari raya Aidilfitri. Anda juga tidak terkecualikan? Masa kecil, lazimnya setiap kali musim perayaan keluarga saya sudah balik kampung di Sungai Burong Kuala Selangor sehari atau dua hari lebih awal. Sepupu-sepapat saya juga begitu.
Emak dan ibu-ibu saudara akan sibuk membantu nenek buat ketupat sebelanga. Periuk besar dan kawah turut digunakan untuk memasak rendang dan ketupat. Kami orang Banjar keluarga besar. Adik-beradik emak yang tujuh orang semuanya beranak ramai. Keluarga saya sahaja dah 12 adik-beradik! Kami berkumpul di rumah nenek ibarat sebuah kampung. Meriah!
Saya, kakak-kakak dan abang- abang sepupu pula akan ambil lebihan buluh yang digunakan abah dan bapa saudara untuk buat lemang. Kami buat jamung, buat meriam dan lampu pelita guna buluh. Susun banyak-banyak dan nyalakan. Terang benderang halaman rumah nenek.
 Lepas main mercun dan bunga api warna warni, tenaga kami dikerah pula untuk tunggu lemang di bara sampai jam 2,3 pagi. Walau pun nenek tahu kami cuma main-main dan bukan tunggu sangat pun, nenek arah juga. Sekurang-kurangnya esok bolehlah nenek kata, ini lemang Lala, ini lemang Khairil, ini lemang Angah. Tersengeh-sengehlah kami kerana dipuji. Hihihi...
SH: Berubah setiap tahun
Terlalu rindu momen itu. Sekarang, nenek dah tiada. Bapa saudara dan ibu saudara pun ada yang dah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah untuk mereka yang pernah membahagiakan. Raya saya pada zaman kanak-kanak tidak pernah sepi dari keriuhan dan gurau senda saudara mara. Dan saya percaya pembaca juga begitu. Punya kenangan masing-masing.
Seiring perjalanan waktu, sesungguhnya saban tahun, sambutan dan persiapan Aidilfitri itu berubah mengikut perkembangan teknologi dan kemajuan infratruktur negara.
Kalau dahulu biskut raya dan juadah utama seperti rendang dan ketupat dimasak sendiri oleh ibu bapa dan keluarga, namun kini ia lebih senang dibeli kerana kemajuan negara menuntut setiap ibu juga bekerja.
Masa itu menjadi amat berharga bagi setiap wanita berkerjaya. Di saat-saat akhir Ramadhan, kaum ibu bekerja mula mencuri masa dan tumpuan untuk persiapan raya. Membeli pakaian untuk anak-anak dan diri sendiri serta suami. Juga ada yang berbelanja untuk biskut raya. Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India dan sekitar Chow kit pastinya menjadi lokasi tumpuan paling popular di ibu kota setiap kali musim perayaan.
Murah, cantik dan segala-galanya ada! Tapi, punyalah sesak. Nasib baik pada zaman millenium ini corak dan gaya perbelanjaan berubah merentasi sempadan. Masyarakat mula membeli belah menerusi talian maya. Kaedah membeli barang-barang persiapan hari raya menjadi mudah dan pantas apabila membeli belah menerusi internet.
Banyak laman web perdagangan diwujudkan bagi golongan yang memilih untuk berbelanja menggunakan kaedah ini. Terpulang anda menyesuaikkan diri dengan kaedah mana yang menjadi pilihan. 

H: Digantung tak bertali


SH: Ketahui hak anda

Dia mempunyai suami, hidup sendiri tapi tidak ditalak. Suaminya hilang tanpa berita. Lama... malah tak pernah muncul bertahun-tahun. Perbuatan suami itu mengundang derita kepadanya, lalu hadir seorang lelaki yang dahulunya hanya seorang tetangga. Lelaki itu menghulurkan bantuan kewangan dan makanan, mencurahkan simpati dan memberikannya peluang mengadu resah.

Dari simpati bertukar sayang, dari sayang bertukar cinta. Dan gelora dua jiwa manusia biasa itu sudah tidak dapat ditahan lagi. Syaitan menggoda jiwa. Gelora rasa membuatkan mereka diulit noda Akhirnya, si tetangga kini bertindak menjadi pengganti suami. Di pandangan orang ramai dan anak sulungnya, tetangga itulah ‘suami’ dan ‘bapa’. Sedangkan hakikat sebenar, mereka tidak pernah menikah dan si wanita tidak pernah diceraikan suami sebenar.

Salah siapa? Feesha (bukan nama sebenar) membuka pekung di dada. Dia sahabat penulis ketika menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta di Kuantan beberapa tahun lalu. Kisah wanita digantung tidak bertali yang bersekedudukan dengan jiran sehingga melahirkan anak-anak luar nikah tetapi dibinkan dengan suami sebenar itu adalah kisah ibunya. Ibu yang amat disayanginya!

Kini Feesha tak tahan lagi. Puluhan tahun dia melihat ibu dan ‘bapa’ tetangganya itu diulit dosa dan noda. Hari semakin bergerak dan Feesha semakin dewasa untuk mengenal kesalahan dan perbuatan mungkar ibunya itu. Feesha kasihan melihat adik-adik yang memanggil lelaki itu ayah sedangkan nama yang dibinkan dengan mereka itu adalah nama bapanya seorang! Lelaki lain dan bukan lelaki yang berada dalam rumahnya itu!

Salah siapa? Kenapa wanita sering dijadikan mangsa? Apa pula yang perlu dilakukan oleh kaum wanita di luar sana jika perkara ini berlaku kepada anda semua. Tidak guna mencari kesalahan, kerana hanya apabila anda menyedari diri ditinggalkan, barulah hidup terasa gerap. Barulah tahu tinggi rendahnya cubaan dunia.
Kenapa suami tegar menggantung status isterinya? Dendam kerana si isteri pernah meminta cerai? sengaja tidak mahu isterinya itu dipinang dan berkahwin dengan lelaki lain? Berpoligami yang tidak adil?
Lelaki sesungguhnya lupa dengan firman ALLAH yang bermaksud:

“... dan peliharalah isteri kamu dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan cara yang baik juga...” (Surah al-Baqarah ayat 229).

Wanita yang melalui dilema seperti ini menjadi keharusan memohon cerai dari mahkamah secara taklik atau fasakh. Usah biar diri teraniaya dan seterusnya mengulit dosa kerana jatuh cinta atau menjalin hubungan dengan lelaki lain.
-tamat-

H: Pelaburan jangka panjang


SH: Wanita rancang masa depan

O: NOR KHALILAH GUSTI nor.khalilah@sinarharian.com.my


Wanita adalah perancang masa depan keluarga yang hebat. Simbiosis yang erat antara wanita dan keluarga menjadikan mereka satu tunggak utama dalam membentuk sesebuah mahligai bahagia.
Sering kali kita mendengar orang menyebut bahawa di sebalik kejayaan seorang lelaki adalah wanita. Ini kerana, di sebalik kejayaan seorang wanita adalah keluarga dan manusia di sekelilingnya. Wanita punyai sifat juang yang tinggi kerana pengaruh dan peranan mereka yang menjadi kesayangannya. Wanita cenderung mendahulukan kepentingan orang lain berbanding kepentingan peribadinya.
Justeru, sebagai perancang masa depan keluarga, wanita seharusnya membuat persediaan terutama dari segi keperluan rumah tangga dan keluarga, di samping membantu para suami dan bapa.
Rentetan daripada Isu Hangat Minggu Ini keluaran Ahad lepas, (Derita di Hujung Usia) WOW minggu ini membawakan isu terbaru mengenai Pelaburan Jangka Panjang buat mendidik para wanita di luar sana dalam mengharungi masa depan yang penuh pancaroba.
Dalam kesibukan untuk mempersiapkan keperluan orang lain, beringatlah untuk diri sendiri. Wanita perlu memahami dengan jelas apa yang perlu menjadi keutamaan dalam hidupnya. Suami, anak-anak, ibu bapa, adik-beradik, kekasih dan sesiapa pun. Ini penting untuk memenuhi hal-hal yang tidak terduga supaya nanti wanita tidak berada dalam kategori mereka yang menderita di hujung usia.
Ada banyak pilihan persiapan diri di masa hadapan. Insurans, pelaburan hartanah, Amanah Saham Bumiputera, Unit Amanah atau Public Mutual, sijil simpanan premium dan macam-macam lagi adalah contoh persediaan kewangan. Wanita boleh membuat pelaburan dalam pelbagai sektor dan cara. Tidak secara besar, kecil pun tidak mengapa. Yang penting, dedahkan diri dahulu dengan perkara-perkara sebegini.
Tambahkan ilmu kewangan anda dari semasa ke semasa. Rebutlah peluang ketika anda masih sihat dan mampu untuk melakukannya dengan kudrat yang ada. Terokai pelbagai peluang dalam menjana pendapatan untuk memaksimumkan keupayaan anda dalam mengukuhkan kedudukan kewangan.
Rancang kewangan untuk jangka masa panjang adalah strategi yang baik. Contohi mereka yang telah berjaya dengan cara memperbanyakkan membaca mengenai mereka. Buku-buku motivasi kewangan an dan pelaburan perlu dijadikan teman harian.
Semoga perkongsian pada kali ini dapat menjadi panduan wanita di luar sana dalam mempersiapkan diri ke arah masa depan yang lebih baik.

-tamat-

H: Menangkis lelaki miang



Aduhai lelaki... akalnya beribu, nafsunya satu. Apabila sampai pada peringkat umur tertentu, perangai miang mula menonjol. Barat kata, Life begin at 40. Ketika peringkat inilah kaum lelaki mula berada pada kedudukan kewangan yang paling stabil malah berlebihan. Mereka ada kuasa di tempat kerja dan tidak kurang juga yang mencapai taraf hebat dalam perniagaan masing-masing.

Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan tahap ‘macho’ dan kegagahan lelaki. Apabila kuasa dan kestabilan hidup berada di tangannya, hormon testosterone yang mendorong dia menjadi sang pemburu mula berlebihan. Minat memburu semakin membara tidak kisah ke arah apa pun baik dari segi hobi memancing, mengumpul barangan antik, motor kuasa besar dan macam-macam lagi termasuklah memburu nafsunya yang satu, iaitu wanita.

Dia akan memburu wanita cantik dan muda terutama sekali yang paling sukar untuk ditawan. Jika perkara ini tercapai, dia akan merasakan kepuasan yang tidak terhingga. Dia akan berbangga menceritakan kepada kawan-kawan mengenai kejayaannya memburu wanita-wanita cantik di luar.

Ini kerana, sang pemburu akan jadi lebih bermotivasi apabila dia berjaya meletakkan diri melebihi pencapaian saingan-saingannya. Dia akan berusaha untuk menangkap mangsa dengan pelbagai cara dan taktik. Dengan semua kelebihan ada terutama sekali kewangan dan hormon yang tinggi, maka mudahlah dia melakukan pemburuan. Dorongan untuk bermiang-miang juga semakin hebat, meski pun ada isteri cantik di rumah!

Itulah lelaki. Lelaki miang setepatnya. Bagi kaum wanita, belajarlah cara menangkis usaha golongan ini. Usah hairan jika anda salah seorang mangsa gangguan-gangguan lelaki miang di tempat kerja. Mereka hanya perlu ditebak dengan sikap tidak ambil peduli. Jika perlu, laporkan kepada pihak berkuasa atau majikan.

Dan bagi para isteri, ketahui bagaimana mengawal lelaki miang. Pelajari dan buat persediaan melangkah ke satu peringkat di mana suami anda bakal berada di tahap paling stabil dalam kehidupannya. Apabila perubahan mula berputik, mulakan pelan kawalan anda. Tawan hatinya dan tenteramkan dia di syurga rumah tangga anda.

Jika segala-galanya telah anda lakukan namun tidak menampakkan jalan, muhasabah diri dengan kenyataan ini;

Tak perlu teman sehebat Sulaiman, andai tidak secantik Balqis; tak perlu diharap yang setampan Yusof, andai kasih tak setulus Zulaikha; usah damba seteguh Ibrahim, andai tak sekuat Siti Hajar; Mengapa mahu bak Rasullullah, andai hati tak sesempurna Siti Khadijah.

Hargai apa yang kamu ada. Cari kebaikan dan kelebihan yang tersembunyi. Ada sebab mengapa dirimu dijodohkan dengan dia, meskipun fitrahnya mengejar sesuatu yang lain.

-tamat-

Si dia jatuh cinta dengan anda?



Membaca perilaku lelaki yang straight to the point adalah salah satu daripada ribuan kepakaran kita para wanita. Akan tetapi, bersabit hal perasaan dan dalamannya, aduh, kadangkala lebih senang belajar matematik tambahan daripada membuat rumusan tentang perasaan mereka terhadap kita.

Tidak seperti wanita yang mudah menzahirkan emosi, lelaki sebenarnya lebih complicated dan rumit untuk dimengerti. Lima cara ini mungkin boleh membantu anda mengenali kehendak si dia, adakah dia jatuh cinta pada anda?

1 – 24 jam ada

Lelaki, kalau dia suka dan nakkan sesuatu, susah macam mana pun dia akan tempuh demi matlamatnya untuk bersama-sama anda. Cuba cari masa sesuai untuk melihat ke ‘gentleman’ nya. Pura-pura telefon dan katakan kereta anda rosak di pejabat. Lihat, apakah dia ada di sisi anda untuk membantu? Jika dia tidak beralasan dan beria-ia membantu anda, sah, anda dalam perhatiannya!


2 – Pasang muka cute

Lelaki, walaupun berwajah ghostbuster tapi bila dengan kekasih hati serta merta wajah boleh berubah jadi cute macam ikan dholphine. Perhatikan ekspresi mukanya ketika bersama anda. Adakah dia terlebih romantik dan terlajak friendly? Jika ya. Itulah petanda dia sukakan anda kerana dia tahu, ekspresi menyenangkan pasti akan membuat kekasihnya selesa bersamanya.

3 – Tak nak letak telefon

Baru berjumpa tadi, hampir 12 jam bertemu janji, dia masih mahu telefon anda semata-mata nak beritahu dia dah sampai rumah. Kalau boleh, lepas mandi dan gosok gigi nanti pun dia nak update.

4 – Asyik curi pandang

Kalau lelaki menunjukkan tingkah laku sebegini, bibit-bibit cinta di hatinya sudah mula berputik. Lebih-lebih lagi apabila dia buat-buat tak nampak bila anda mula perasan dengan sikap curi-curi pandangnya itu.

5 – Respectful

Ketika anda nak duduk, dia tarikkan kerusi. Ketika anda nak makan, dia hulurkan sudu dan pinggan. Ketika nak keluar kereta, dia bukakan tapi pinggang keledar dan pintu. Ketika membeli belah, dia bawakan beg-beg shopping. Nah, jika ada sikap-sikap respectful sebegini, hanya ada satu sebab sahaja – CINTA!

6 – Cemburu
Ada riak cemburu di wajahnya saat anda berbual-bual dengan lelaki lain hatta sahabat baiknya. Lelaki yang mempunyai sikap ini sudah mula serius menjadikan anda hak mutlaknya. Lebih serius jika anda diminta menukar penampilan seksi kepada yang lebih sopan dan manis. Ini bermakna, dia jujur dengan anda.


-tamat-