Selasa, 24 Februari 2015

Susahnya nak manage blog

bab tulis blog saya memang failed. tapi bab nak merapu kat FB kat paper, cepat je idea datang. Kekadang tu mencurah-curah macam hujan....

ada juga saya google google and godek godek blog manusia lain kot kot dapat ceduk ilmu. 
Persoalan saya: Macam mana nak memantapkan blog saya yang bersawang ni? hehehehe...

takpe la.. kita pelan pelan eh. walau pun dah lama berblogging tapi still tak le mantapkan penguasaan ilmu blogging. Ternyata, blogger dan journalis dua dimensi berbeza.

Mereka yang hebat akan mampu menemukannya!

Tahniah!

peace yo!!


Khamis, 5 Februari 2015

H: Bahana suami penagih dadah

“Bahana bersuamikan seorang penagih dadah, akibatnya kekadang tak tercapai dek akal fikiran. Memang tidak waras!” Tegas Rasya sewaktu saya menemuinya baru-baru ini. Intonasinya tegas, penuh penyesalan dan kemarahan.

Rasya (bukan nama sebenar) tidak sekali pun terfikir bahawa keterbukaannya menerima suami yang dikatakan sudah insaf daripada menjadi penagih itu telah menjerat dirinya sendiri. Dia bukan sekadar menjadi hamba seks dan wang suaminya, malah menjadi punching bag suami sendiri sekiranya keinginan tak dipenuhi.

“Hati ikhlas terima dia. Terima kisah silamnya. Konon sebab cinta. Sebab dia dah berubah dan mahu jadi suami yang baik. Tapi hakikatnya itu kebodohan saya. Bodoh sebab cinta...” Sambung Rasya lagi. Kali ini nadanya mendatar, lebih menyerah. Ada air mata mengalir di pipi mulus milik Rasya. Saya memegang bahunya. Sebagai orang luar, saya hanya mampu mendengar, memberikannya bahu untuk bersandar dan meluahkan derita hati yang berolak dan berputar.


“Sepatutnya selepas dia mengaku bekas penagih dadah dulu, saya kena undur diri dan batalkan rancangan perkahwinan. Saya masih belum terlambat. Tapi entah kenapa saya jadi bodoh. Saya abaikan semua ciri-ciri penting seorang suami tanpa fikirkan kesan hari ini. Sungguh menyesal. Sampai mati pun saya akan kesal...”


Rasya, seorang wanita berusia lewat 20 an kini terpaksa menjalani rawatan intensif di sebuah hospital swasta bagi menangani masalah tekanan yang teruk atau depressi. Rasya jadi begitu selepas dipaksa untuk turut sama-sama mengambil dadah oleh bekas suaminya dalam tempoh yang lama; lebih-lebih lagi ketika mahu menjalinkan hubungan intim.


Wanita tersebut, yang saya namakan Rasya di kolum ini pernah dirawat di hospital di Kuala Lumpur dan kemudiannya dibawa pulang oleh keluarganya ke negeri Pantai Timur untuk menjalani rawatan alternatif. Dia juga pernah mengalami kemurungan setelah bercerai dengan suami atas campur tangan keluarga yang menyedari perubahan drastik terhadap tubuh dan personaliti Rasya.


Itu kisah Rasya; yang boleh dikategorikan sebagai wanita bernasib baik meski pun tepaksa melalui tempoh tragik sepanjang bergelar isteri dengan seorang bekas penagih dadah yang kemudiannya menjadi penagih semula.


Ramai lagi wanita, dan banyak lagi kisah wanita yang tidak terungkap di luar sana. Barangkali masih belum terbela nasibnya atau masih belum terfikir kesudahan kisahnya dek kerana dihimpit dengan pelbagai faktor dan situasi lain.


Rasya diselamatkan keluarga. Masih terlihat cerah masa hadapannya kerana keluarganya mengambil berat. Ada ekonomi dan kewangan kukuh untuk membantu memulihkan semangat dan jati diri Rasya. Tapi bagaimana dengan wanita lain yang tidak berkemampuan seperti keluarga Rasya? Semoga ALLAH SWT melindungi semua wanita yang tidak berdaya.









x