Isnin, 9 Disember 2013

UNDI HANTU: WUJUD ATAU DONGENG?

H: Undi hantu – Dongeng atau wujud?


NOR KHALILAH GUSTI HASSAN


Ada perbezaan antara pengundi hantu dan undi hantu. Pemahaman rakyat sering dikaburi dengan penggunaan istilah tiada pengundi hantu bagi menutup kewujudan undi hantu.

Persoalannya, apakah kewujudan undi hantu ini dapat dibuktikan dan  seterusnya dihapuskan?

Mengulas isu ini, Ikuti soal jawab khas wartawan Nor Khalilah Gusti Hassan bersama penganalisis tempatan yang juga merupakan pakar Matematik Gunaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Abdul Hamid Yeop Zainuddin.

Beliau yang menggunakan pendekatan matematik (teori nombor) dalam mengesan kewujudan undi hantu telah berjaya mencipta mekanisme baru dalam pilihan raya.



SH: Boleh Prof jelaskan apakah sebenarnya yang dikatakan undi hantu?

Abdul Hamid: Istilah hantu dirujuk kepada apa-apa yang bersifat negatif dan tidak nampak. Ertinya, undi hantu itu dilakukan tetapi tidak dapat dikesan secara rambang. Dengan kaedah matematik, undi hantu boleh dibuktikan.

Undi hantu digunakan untuk mengalahkan atau memenangkan seseorang calon dengan cara mengurangkan atau menambah bilangan undi calon tersebut di samping menggunakan teknik tipu helah. Banyak kajian yang telah saya lakukan bagi membuktikan undi hantu telah digunakan. Ia berbentuk perbandingan dan teorem yang biasanya digunakan dalam kajian ruang vektor iaitu hubungan bersandar secara linear.


SH: Undi hantu adalah kesalahan jenayah yang boleh ditangkap polis. Bagaimanakah Prof menggunakan pendekatan matematik untuk mengenal pasti undi hantu ini?

Abdul Hamid: Ya, ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 3.1(h) dan Seksyen 6.2 Akta 5 (Akta Kesalahan Pilihanraya 1954).

Analisis yang dibuat adalah berdasarkan keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-12 sebagaimana yang disiarkan dalam laman web SPR di www.spr.gov.my serta yang disiarkan melalui media arus perdana. Bagi orang awam, mungkin tidak ada yang pelik dengan data-data yang dikeluarkan tetapi bagi seorang pakar matematik, sekali imbas sahaja boleh tahu terdapat sesuatu yang tidak kena dengan data tersebut.

Saya berikan contoh yang paling mudah,  ramai yang tidak mengetahui atau menyedari bahawa Parlimen dan DUN sepatutnya tidak ada perbezaan.

Pada hari membuang undi, setiap pengundi atau pemilih diberikan dua kertas undi iaitu satu untuk DUN dan satu untuk parlimen. Ini bermakna jumlah kertas undi untuk semua DUN mestilah sama dengan jumlah kertas undi untuk Parlimen.

Oleh itu, tidak sepatutnya wujud perbezaan antara jumlah undi setiap kawasan Parlimen dengan kawasan-kawasan DUN tersebut  (kecuali bagi Parlimen yang tidak ada DUN atau yang menang tanpa bertanding). Jika ada, itulah yang dikatakan undi hantu. Undi hilang juga boleh menjadi undi hantu.

Orang awam masih tidak tahu betapa pentingnya perbezaan antara undi DUN dan Parlimen. Ini kerana sebarang perbezaan akan memberi implikasi bahawa data atau bilangan undi tersebut adalah palsu . Sebarang pengisytiharan kemenangan calon berdasarkan bilangan undi palsu sudah tentu boleh dipertikaikan dan menjadikannya sebagai tidak sah.

Bilangan sebenar undi hantu hanya boleh diketahui sebaik kiraan undi disahkan tetapi siapa yang “mewujudkan” undi hantu tersebut (iaitu pengundi hantunya) boleh dikenal pasti jika rekod bilangan kertas undi yang telah dikeluarkan secara sah dibandingkan dengan bilangan pengundi/pemilih yang mengambil kertas undi. Maklumat ini hanya boleh dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sahaja.


SH: Apakah sebenarnya kelemahan pilihan raya yang menyebabkan boleh berlakunya undi hantu ini?

Abdul Hamid: Dalam PRU-12 yang lalu, terdapat dakwaan bahawa kertas undi yang dikeluarkan tidak ditandakan. Ini membolehkan kertas undi lebih mudah menjadi “hantu”.  Sedangkan kertas undi yang ditandakan pun boleh menjadi undi hantu inikan pula jika tidak ditandakan.

Sebelum PRU-12, jika sesuatu kertas undi itu disyaki menjadi undi hantu, maka mudah untuk dibuktikan benar atau tidak dengan menyemak siapakah pengundinya berdasarkan tanda tersebut.

Memang undi adalah rahsia tetapi rahsia tidak bermakna tidak ada sesiapa yang boleh mengetahuinya. Undi adalah rahsia bagi orang awam tetapi tidak bagi pihak berkuasa dan bagi petugas kiraan undi.

Sebagai seorang pengundi berdaftar, saya sendiri tidak bersetuju apabila dakwat hitam sebagai penanda seseorang itu telah mengundi, dibatalkan.

Pada hemat saya penandaan tersebut dibatalkan kerana penggunaannya walaupun tidak dapat mengelakkan kewujudan undi hantu 100 peratus tetapi terjamin dapat meminimumkan kebarangkalian penambahan undi hantu. Dengan kata lain, ia dibatalkan supaya undi hantu boleh diwujudkan dengan mudah tanpa dapat dikesan.

SH: Kertas undi bagaimanakah yang boleh dijadikan undi hantu?

Abdul Hamid: Contohnya adalah undi yang diklasifikasikan sebagai undi rosak dan undi hilang. Teorinya begini, undi yang rosak tidak mempengaruhi kesahihan kiraan undi kerana bilangannya telah diambil kira, sekali gus tidak mempengaruhi keputusan pilihan raya. Cuma persoalannya sekarang bagaimana boleh terdapat sebegitu banyak undi rosak? Adalah sesuatu yang sukar diterima logik bahawa undi rosak di Semenanjung Tanah Melayu jauh lebih banyak berbanding di Sabah dan Sarawak!

Undi hilang atau undi yang tidak dikembalikan boleh mempengaruhi kesahihan keputusan pilihan raya. Dari segi istilah, undi hilang ini merujuk kepada kertas undi yang telah dikeluarkan di bilik atau tempat mengundi tetapi telah tidak dikembalikan. Cakap mudahnya hilanglah.

Satu lagi ialah undi  hantu jenis yang mulanya tiada tetapi kemudiannya tiba-tiba ada pula. Kertas undi ini tidak dikeluarkan di tempat mengundi tetapi wujud semasa kiraan undi dijalankan dan diterima sebagai undi yang sah.

Seksyen 3.1(h) itu jelas menyatakan bahawa kertas undi tidak boleh dibawa keluar dari tempat atau bilik mengundi kecuali seseorang telah diberi kuasa melakukannya. Begitu juga jika memiliki sesuatu kertas undi di luar tempat mengundi. Jika disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun penjara atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

SH: Berdasarkan seksyen yang disebutkan tadi, apabila terdapat undi hilang, jelas telah berlakunya perlanggaran seksyen?

Abdul Hamid: Ya, tetapi tidak pernah pula mendengar sesiapapun disabitkan atas kesalahan ini.

Malah, tidak ada dalam laporan mana-mana pihak menjelaskan mengenai undi hilang dan undi hantu. Seolah-olah semua pihak mendiamkan diri. Sedangkan terdapat, petugas, ejen atau pegawai pilihan raya yang akan memastikan kertas undi dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam peti undi lutsinar yang diletakkan di tengah bilik.

Malah anggota polis juga ditempatkan di setiap tempat mengundi. Pemerhati dan wakil parti juga ada di tempat mengundi. Bagi pengundi yang tidak mahu mengundi tetapi kertas undi telah diambil, ia boleh memilih untuk merosakkannya atau tidak memangkahnya, tetapi kertas undi tersebut tetap mesti juga dimasukkan ke dalam peti undi.

Semua fakta ini menunjukkan bahawa adalah mustahil untuk membawa keluar kertas undi secara tidak sah tanpa disedari. Dengan kata lain mustahil kertas undi boleh hilang, tetapi kertas undi hilang juga. Bagaimanakah kertas undi boleh hilang?



SH: Justeru, apakah pendekatan terbaik yang patut digunakan dalam pilihan raya bagi mengelakkan wujudnya undi hantu ini?


Abdul Hamid: Telah lama kemelut ini berpanjangan seolah-olah tidak ada kesudahannya. Maka saya mengambil inisiatif untuk mencipta mekanisme dan formula yang boleh digunakan dalam memantau pilihan raya.

Sebagai usaha pertama, saya telah membuat analisis melalui kaedah matematik untuk membuktikan kewujudannya. Setelah terbukti ia wujud, saya mencipta pula satu sistem yang dapat mengelakkan berlakunya undi hantu ini. Kaedah itu telah siap sepenuhnya dan boleh diguna pakai atau dicuba dalam pilihan raya peringkat parti atau di dalam pilihan raya kecil untuk melihat keberkesanannya.

Ia dinamakan Sistem Pemantauan Pilihan Raya (SPPR). Bagaimanapun ia menuntut kerjasama banyak pihak.

SH: Bagaimanakah SPPR boleh membantu dalam pilihan raya dan sejauh manakah keberkesanannya?

Abdul Hamid: Sistem ini boleh digunakan oleh semua pihak seperti SPRM sendiri, pemantau, wakil parti atau lain-lain. Semasa proses pembuangan undi berlangsung, pihak pemantau perlu berada dalam tempat atau bilik mengundi kerana itulah detik yang paling kritikal dalam sesuatu pilihan raya.

Dengan kaedah SPPR di bilik mengundi, kerja-kerja pemantauan dapat dilakukan dengan mudah, cepat, tepat, berkesan dan bebas dari ralat.

Sebelum kertas undi diberikan kepada pengundi, SPPR mampu menyemak serta mengesahkan status dan kelayakan seseorang. Ia boleh mengesan sama ada individu itu berdaftar atau tidak, boleh mengundi atau tidak, apakah ia hilang kelayakan mengundi atas sebab perintah mahkamah atau sebagainya.

SPPR mampu mengesan apakah individu itu mengundi di tempat yang betul mengikut daftar undinya.

Ia akan bertindak merekodkan nombor pengundiannya atau nombor kertas undi yang telah dikeluarkan kepadanya dan merekodkan kertas undi yang tidak dimasukkan atau dikembalikan ke dalam peti undi.

Pemantauan SPPR ini boleh mengeluarkan signal Boleh atau Tidak Boleh mengundi secara automatik, selepas semakan nama individu itu dibuat serta-merta. Barulah dapat dipastikan bahawa pemilih benar-benar layak sahaja dibenarkan mengundi. SPPR dapat mengelakkan berlakunya pengundian berulang di mana kaedah manual yang dilakukan sekarang dipercayai sesetengah pemilih boleh mengundi lebih daripada sekali dan tidak ada pengesahan boleh dilakukan.

Dengan ini, SPPR mampu bertindak untuk menyekat pengundian terhadap mereka yang hilang kelayakan mengundinya.

Ia juga dapat mengelakkan seseorang yang telah mengundi di tempat lain daripada mengundi di kawasan tersebut.

SPPR juga boleh mengesan serta-merta jika pemilih tersebut telah tersalah tempat mengundi. Malah ia juga boleh mempamerkan ke manakah sepatutnya pemilih tersebut mengundi.

SH: Apakah keistimewaan SPPR yang boleh dimanfaatkan semasa pilihan raya?

Abdul Hamid: Menariknya, SPPR membenarkan pengundi untuk mengundi di mana-mana sahaja. Kaedah manual yang digunakan pada masa ini tidak membenarkan mana-mana pemilih mengundi di tempat lain selain daripada yang telah ditetapkan SPR.

Ini menyebabkan sering berlakunya tersalah atau tidak tahu tempat mengundi yang boleh menimbulkan sedikit kecelaruan di tempat mengundi.

Ia juga boleh mempercepatkan proses pembuangan undi apabila pemilih boleh memilih mana-mana tempat pembuangan undi yang tidak sibuk.

Alasan pengagihan saluran mengikut umur pemilih juga sudah tidak relevan kerana senarai maklumat dan statistik berkaitan dengan pemilih boleh dihasilkan SPPR.

Melalui SPPR, semua maklumat yang direkodkan dalam tempat atau bilik mengundi boleh disemak semula semasa proses pengiraan undi dijalankan.

SPPR juga telah direka bentuk dengan kebolehan memantau kertas undi sekali gus menjamin ketepatan bilangan kertas undi.

Semua maklumat pemantauan yang dikumpulkan SPPR juga boleh dipaparkan dalam masa sebenar.

SH: Apakah SPPR boleh memantau undi pos?

Abdul Hamid: Ya. Sebagaimana ciri-ciri yang dijelaskan, penggunaan SPPR dapat memantau undi pos yang dijalankan sebagaimana sepatutnya.

Kerjasama dengan SPR amatlah diperlukan kerana semua data berkenaan pilihan raya adalah di bawah tanggungjawab SPR serta kerajaan yang memerintah. Namun demikian adalah lebih baik jika pilihan raya dikendalikan pihak bebas atau pihak yang mewakili ke dua-dua parti pemerintah dan pembangkang. Kombinasi antara SPR dan SPPR adalah yang terbaik pada masa akan datang sekiranya kaedah ini diterima pakai. Ia melengkapkan teori “Check and Balance”.

Dalam jangka panjang, penggunaan mekanisme SPPR boleh dilakukan secara elektronik yang tentunya menjimatkan kos kerana hanya memerlukan talian internet. Kerajaan telah dan sedang membelanjakan berbilion ringgit untuk talian internet dan sedang menaik taraf ke 4G. Sudah sampai masanya ianya digunakan sepenuhnya. Dengan adanya SPPR menjadikan Malaysia sebagai satu contoh dalam pengendalian pilihan raya yang adil, bebas dan telus. Tambahan pula mekanisme SPPR ini adalah satu-satunya seumpamanya di dunia ketika ini.

=Tamat=




Tiada ulasan: