Khamis, 27 Mac 2014

Oleh: KHALILAH GUSTI HASSAN

USAH kita meletakkan kesalahan kepada seseorang sekali pun insan itu telah dihadapkan ke mahkamah.
Sucikan hati, lebih-lebih lagi di bulan ramadan penuh berkat ini. Apa yang sebenar-benarnya berlaku adalah hanya diketahui oleh Allah, orang yang dituduh, dan mangsa.
Hakim, peguam, timbalan pendakwa raya, orang awam dan wartawan langsung tidak mempunyai pengetahuan yang hakiki tentang sesuatu kejadian.
Realitinya, masyarakat kita sering salah tafsir kepada orang kena tuduh (OKT) yang baru dihadapkan ke mahkamah atau yang sedang menjalani perbicaraan.
Semua perlu sedar, akhbar dan blog bukan penentu dalam sesuatu kes. Kami hanyalah menjalankan tugas sebagai pemberita.
Wartawan Mahkamah, KHALILAH GUSTI HASSAN menemu bual seorang tertuduh wanita yang sedang menjalani perbicaraan bersabit perbuatan memalsukan dokumen dan menggunakan cek palsu bernilai lebih RM1 juta.
Ikuti rintihan ibu kepada empat anak ini, menjalani kehidupan sebagai orang kena tuduh (OKT).

“Jangan hukum saya sebelum mahkamah”

PERTEMUAN dan perbualan antara saya dan Wini (bukan nama sebenar) berlaku secara tidak sengaja.
Hari itu, saya dan rakan-rakan media lain terserempak dengan Wini di mahkamah.
Biasanya, kami tidak melaporkan kes bicara tapi kerana Wini telah dua kali didakwa di mahkamah berbeza, saya menunggu juga kalau-kalau Wini menghadapi pertuduhan baru.
Wini mendekati saya seperti ada sesuatu yang amat penting untuk diberitahu. Ada masa, saya melihat kelopak mata Wini digenangi air mata.
“Reporter ramai ni nak tulis fasal saya ke? Tolonglah dik, lepas muka keluar surat khabar semua orang tak mahu kawan saya,” luah Wini perlahan.
Saya tersenyum. Bicara seperti itu acap kali saya terima daripada OKT dan keluarga mereka. Seboleh-bolehnya mereka akan memujuk pemberita untuk tidak melaporkan mengenai mereka.
Yang bersikap kasar pun tidak kurang juga, malah ada pemberita yang kena sepak dan terajang. Mujur saya belum lagi!
Bukan saya tidak simpati, tapi itu tugas saya. Saya wartawan mahkamah dan saya perlu melaporkan kes mahkamah. Hanya kes tertentu seperti rogol dan sumbang mahram sahaja tidak boleh ditulis nama.
“Kalau puan kena dakwa kes baru, kami tulis, kalau tidak kami ambil tarikh sebutan untuk rekod,” jawab saya.
Wini diam. Mungkin dia masih fikir kami akan melaporkan mengenai dia.
“Oh ya, kalau tak silap puan mengandung masa mula-mula kena dakwa, macam mana anak puan?
Wini tidak lokek bercerita mengenai bayi barunya, termasuk mengenai dua anaknya yang kini belajar di sekolah asrama penuh di Kuala Lumpur.
“Begini puan, kalau puan izinkan saya boleh tulis mengenai puan,”
Wini memandang peguam pemerhati di sebelahnya. Kemudian saya terangkan mengenai sisi penulisan laporan khas ini, barulah peguam mengukir senyum.
“Oh, kalau mengenai pengalaman dan perasaan puan, itu tidak apa-apa. Puan boleh jawab asalkan tidak menyentuh prosiding mahkamah,” kata peguam.
Wini kembali memandang saya. Wajah ibu berusia 39 tahun itu polos tanpa mekap. Dia lega mendengar jawapan peguamnya.
Cerita Wini, dia merupakan bekas eksekutif di sebuah syarikat swasta. Dia seorang muallaf berbangsa Cina dan memeluk Islam pada umur 20 tahun.
Pada 1997, dia mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki Melayu, iaitu empat tahun selepas dia memeluk Islam.                                                                                                               
Dahulu, hidupnya bahagia ditemani tiga anak dan suami yang penyayang. Dua anaknya yang belajar di asrama penuh itu berumur lapan dan sembilan tahun.
Dia dan suami serta seorang lagi anak berumur setahun lebih tinggal di Johor.
Sebelum diberhentikan kerja, dia telah beberapa kali dipanggil polis untuk memberi keterangan.
“Waktu itu, saya sedar yang saya akan dihadapkan ke mahkamah. Cuma saya tidak sangka cara saya ditangkap itu mengejutkan,”

Ditangkap polis

Selang beberapa hari selepas memberi keterangan kepada polis, dia diminta ke balai semula untuk memberikan keterangan tambahan. Ketika itu dia hamil lima bulan.
“Sebelum ke balai, saya minta jiran sebelah jaga anak ketiga. Sampai di balai rupa-rupanya saya terus ditangkap dan bukan untuk semata-mata beri keterangan tambahan.
“Saya telefon suami untuk maklumkan saya ditangkap malangnya suami tidak jawab. Bila saya sms, dia jawab ‘padan muka’ kepada saya.
Wini berhenti bercakap. Dia kelihatan sebak sebelum meneruskan bicara.
“Bayangkan apa perasaan saya waktu itu. Saya mengharapkan suami beri sokongan tapi lain pula jadinya. Bila saja kaki menjejak ke dalam lokap, saya menangis. Serta-merta teringat anak di rumah,” katanya.
Hanya kawan-kawan yang membantu membebaskan Wini selepas lima hari ditahan di lokap dengan jaminan polis.
“Lima hari dikurung dalam dinding besi dan simen saya rasa macam berbulan-bulan lamanya. Saya tertanya-tanya apa jadi pada anak di rumah. Suami pula langsung tidak menjenguk.”
Menurut Wini, selepas dibebaskan dari lokap, dia pulang ke rumah di Johor. Ketika itu dia mendapati ada pembantu rumah warga Indonesia di rumahnya. Wanita itu tidak membenarkan dia masuk kerana suami mengarahkan begitu.
Akibat hilang tempat bergantung, Wini tekad membawa anak ketiganya ke Pahang dan tinggal bersama nenek dan ibu saudaranya, berbangsa Cina.
Dari situ, Wini berulang-alik ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan membuat kerja-kerja sambilan di beberapa syarikat yang tidak mengenali dirinya.
“Muka saya sudah masuk surat khabar, sebab itu susah cari kerja. Banyak kali saya minta kerja tapi mereka kata saya ada kes mahkamah jadi tak mahu ambil kerja.
“Saya sedih dengan tanggapan masyarakat kerana saya masih belum didapati bersalah tapi mereka telah hukum saya.
“Bayangkan kesusahan saya mencari duit untuk anak dan bayi dalam kandungan. Waktu itu, cuma tinggal dua bulan saja lagi saya hendak bersalin tapi saya tidak mampu buat persediaan. Mujur ada nenek,” tambahnya.
Wini dihadapkan di dua mahkamah berasingan dan dibenarkan ikat jamin bercagar selepas membuat rayuan.


Digantung tak bertali


Menurut Wini, selepas beberapa bulan dia dan suami duduk berasingan, dia pulang ke Johor untuk cuba bertemu suami.
Malangnya, dia gagal lagi dan daripada jiran-jiran; dia mendapat tahu suami tinggal berdua dengan orang gaji warga Indonesia.
“Hancur luluh hati saya apabila dapat tahu cerita itu. Sebagai isteri, bukankah saya dan anak-anak masih tanggungannya? Saya bukan mahu percaya bulat-bulat tapi bagaimana saya nak dapatkan pengesahan suami kalau dia sendiri enggan bertemu saya?
“Pernah sekali; saya membeli kad sim baru untuk menelefon suami. Peliknya suami jawab telefon dan bila dia tahu yang telefon itu saya, dia marah-marah dan tanya kenapa cari dia...
“Saya tidak tahu kenapa suami jadi begitu, tapi saya betul-betul kecewa dengan perubahannya. Masa kami senang dan bahagia, dia tidak begitu,” cerita Wini.
Dalam tempoh itu Wini berkata, dia ada memfailkan permohonan fasakh di Mahkamah Syariah Johor.
Dia terpaksa berulang alik di dua mahkamah berbeza pada masa sama, iaitu Mahkamah Jenayah Perdagangan / Sivil di Shah Alam dan Mahkamah Syariah di Johor, sedangkan dia dan anak menumpang di rumah nenek di Pahang.
Semasa prosiding syariah, suaminya mendakwa dia kafir kerana tinggal dengan orang kafir.
“Saya tidak sangka suami memfitnah saya begitu sedangkan dia tahu saya tinggal dengan keluarga saya dan keturunan saya memang orang Cina.
Di hadapan hakim syarie, suami beritahu hendak berpisah secara baik, namun setelah Wini menarik balik permohonan fasakh, suaminya menghilangkan diri.
Kini, hati Wini sudah tawar. Dia tekad mahu menyara sendiri keempat-empat anaknya. Hubungan dengan suami tergantung begitu sahaja.
Di akhir sesi, Wini memohon agar rintihannya ditulis sebaik mungkin. Dia benar-benar berharap masyarakat faham dan tidak menjatuhkan hukuman kepada insan sepertinya.
Dia mungkin dibuktikan tidak bersalah atau mungkin juga dibuktikan bersalah.
“Tapi izinkan saya dan anak-anak hidup seperti orang biasa selagi mahkamah tidak menentukan apa-apa. Buat suami, jika perpisahan jalan terbaik, lakukanlah demi masa depan bersama,” katanya.
Loceng mahkamah tiba-tiba berbunyi menandakan hakim bakal masuk ke kamar prosiding. Perbualan kami terhenti di situ dan Wini sempat memberikan senyuman sebelum masuk ke kandang tertuduh.
-tamat-


DALAM  undang-undang kita, seseorang itu tidak bersalah selagi ia tidak dibuktikan bersalah.
Harus ada mahkamah yang menentukan samada mereka bersalah atau tidak bersandarkan bukti-bukti yang sahih.
Sebab itu mereka di hadapkan ke mahkamah. Proses untuk meletakkan seseorang dalam penjara itu bukan bermula setelah dia ditangkap polis. Banyak lagi peringkat termasuk perbicaraan dan bela diri.
Oleh itu, beban adalah pada pendakwa raya, yang mengumpul dan mengemukakan bukti meyakinkan melampaui keraguan munasabah untuk membantu hakim membuat keputusan.

-tamat-

Tiada ulasan: