Rabu, 17 September 2014

H: Diduakan kerana jelik

H: Diduakan kerana jelik

Pengakuan ini diharapkan menjadi iktibar buat para isteri di luar sana. Untuk pengetahuan rumah tangga saya dan suami sudah retak menanti belah. Saya sudah memfailkan penceraian di mahkamah tetapi prosiding masih berlarutan kerana suami enggan melepaskan saya secara baik.

Hati ini sudah tawar, hati ini sudah jemu... apa salah saya sehingga saya diduakan. Bagi saya, punca keretakan rumah tangga kami amat mudah dan ia boleh selesai jika suami mempunyai sikap terbuka dan berterus-terang terhadap saya, tidaklah sehingga berlaku curang dan menghancurkan hati saya.
Demu Tuhan, saya sayangkannya. Tapi saya sudah lelah menjaganya sepenuh hati dan cinta. Saya isterinya yang amat setia. Para isteri perlu tahu apa yang tersirat di fikiran sesetengah suami dengan mengetahui bagaimana mereka melihat kita isterinya. Di hadapan kita mungkin dia berlagak baik, tapi di belakang kita, ada wanita lain yang lebih menghiburkan hatinya.

Saya tahu kerana saya melaluinya. Suami saya amat baik. Dia lelaki yang boleh dikatakan warak dan mempunyai sikap seorang pemimpin. Tegas dengan anak-anak dan berlembut dengan saya dalam soal rumah tangga. Mudah dibawa berbincang jika bertelagah tetapi sedikit pendiam soal peribadinya.

Dia tidak pernah komplen apa-apa tentang perwatakan saya tetapi jauh di sudut hati, rupa-rupanya dia menilai saya dan membandingkan saya dengan perempuan lain di tempat kerjanya. Bengkak hati saya bila mengetahui suami curang dengan rakan sepejabatnya hampir dua tahun kebelakangan ini.
Saya berumur 29 tahun dan sedikit gempal setelah melahirkan tiga anak, zuriatnya. Dari segi rupa paras, saya bukan dalam kategori tidak cantik tetapi biasa-biasa sahaja. Maklumlah badan berisi kerana anak ada yang masih menyusu badan. Saya bekerja sebagai eksekutif syarikat swasta tetapi sejak mempunyai anak saya sudah kurang bergaya seperti zaman bujang dek kerana kekangan waktu dan ada masa, sudah tak berminat untuk bersolek lagi.
Tambahan pula, wang haru dijaga demi kemaslahatan rumah tangga. Saya sudah tidak boleh suka-suka hati membelanjakan duit ke arah perkara yang kurang penting, seperti alat solek dan wangian. (Ingatlah, sebenarnya kurang penting bagi kita para wanita, tetapi amat penting bagi sesetengah lelaki). Upah menjaga anak-anak, belanja sekolah, insurans dan lain-lain keperluan ditanggung oleh saya. Manakala suami membayar keperluan asas seperti rumah, ansuran kereta, barang dapur dan bil-bil rumah.

Suami saya boleh dikatakan menarik dan berkulit cerah dan saya tahu, pasti ada wanita mudah terpikat dengannya. Namun atas dasar percaya dan setia, saya mengabdikan seluruh hidup untuknya dan anak-anak. Memasak, menyediakan keperluannya untuk ke pejabat, dan menyediakan dan menyiapkan segala keperluan rumah tangga walau pun seharian penat bekerja. Saya pasti ramai perempuan seperti saya.

Saya seorang yang bertudung dan berpakaian biasa-biasa sahaja. Di rumah saya perasan suami bukan jenis yang suka memeluk atau mencium saya pada bila-bila masa. Kami akan bersama pada waktu malam sahaja dan pada waktu dia perlukan saya. Kecewa ini amat dalam bila mengetahui skandal suami berusia lebih tua daripada saya. Suami sering ke rumah wanita itu semasa waktu bekerja. Hubungan mereka telah sampai ke tahap yang terlarang.

Saya ingin tahu kenapa dia menjalinkan hubungan. Apa kekurangan saya yang menjaganya sepenuh hati. Terus-terang, suami mengakui saya tiada kekurangan dan menjaga rumah tangga dengan baik namun, dia tiada rangsangan bila melihat saya.

Saya dilihatnya tidak menarik, memiliki rambut yang berbau busuk saat menanggalkan tudung dan bentuk badan gempal. Sedangkan teman wanitanya kelihatan bergaya, memiliki kuku yang cantik dan tangan yang lembut. Ketika berjalan dengan teman wanita, dia dapat merasakan lelaki lain cemburu kepadanya.

Dia dengan berani memberitahu saya tidak menarik di rumah dan hanya mengenakan baju Tshirt. Tiada apa-apa yang boleh dia banggakan tentang saya. Dengan teman wanitanya, dia merasa seperti lelaki bijak dan berjaya kerana teman wanitanya boleh bersembang soal politik, isu semasa dan kareer sednagkan saya hanya tahu minta perbelanjaan rumah dan bil.

Begitulah hati budi lelaki. Hati saya hancur kerana telah berbakti sebaiknya untuk dia tetapi dia lebih mementingkan fizikal. Kini dia menyesal atas perbuatannya tetapi, saya rela meninggalkan dia dan berharap dia akan bernikah dengan teman wanitanya. Biarlah dia tahu membezakan mana intan mana permata. Apakah fizikal cantik yang boleh membahagiakan dia, atau ketulusan hati dan cinta sebenar yang mampu menjaganya hingga ke akhir hayat.

-          SALMI, 29, EKSEKUTIF SWASTA.


Tiada ulasan: