Selasa, 9 September 2014

Wanita gempal; fesyen, jodoh dan karier

H: Wanita gempal; fesyen, jodoh dan karier

NOR KHALILAH GUSTI HASSAN nor.khalilah@sinarharian.com.my

Dilema wanita berbadan besar atau gempal bukan lagi suatu yang tidak asing dalam kalangan masyarakat. Keupayaan mereka sering kali diperlekehkan dan dipersendakan oleh sebilangan yang tidak punya nilai sensitiviti.


Walaupun wanita sejenis makhluk tuhan yang boleh multi-tasking, sebenarnya wanita zaman sekarang banyak berdepan dengan pelbagai dilema.


Ada wanita berpengaruh, punya kerjaya besar dan berpangkat tinggi. Hidupnya mewah dan penampilannya elegen. Memiliki gaya dan petah melaungkan hak namun hakikat, hidupnya sunyi kerana tiada lelaki yang berani mendampingi. Ternyata, hidup gah duduk di kerusi boss atau ketua dalam syarikat belum tentu memberikan kebahagiaan naluri bagi wanita di pihak ini.


Kedudukan dan pengaruh dalam jawatan tinggi seorang wanita boleh membuatkan lelaki berasa rendah diri untuk mendampingi wanita dalam kategori ini. Bimbang dikatakan mengikis wanita pula.
Walau pun wanita di kategori ini sebenarnya tidak memilih soal pasangan kerana telah memiliki segala-galanya, saya percaya, sedikit sebanyak dalam perhubungan antara pasangan, ada ketika ego mereka akan terserlah. Wanita berasakan mereka punya ideologi tepat dalam menentukan hala tuju rumah tangga. Ketahuilah sebenarnya, wanita tidak pernah memandang rendah jodohnya, hanya mereka sudah terbiasa memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar dan baik.  Apa nak dikata, sikap mereka sering disalah tafsir. Dan itulah yang menjadi dilema golongan ini untuk mencari pasangan hidup. Dilema juga kepada lelaki yang berkira-kira untuk menyunting mereka.


Dari sudut lain pula, ramai juga wanita berusia yang masih single dan belum punya kekasih hati. Kalau pun jodohnya sampai, kemungkinan apabila kitaran haidnya sudah hampir sampai ke penghujung atau menopause, sudah tentu masalah lain bersabit zuriat atau kedinginan terhadap seksual pula timbul. Dilema usia.

SH: Imej dan penampilan

Kepelbagaian dilema inilah sebenarnya yang menjadikan wanita suatu bentuk ciptaan yang amat kompleks. Perasaannya, fizikalnya, psikologinya, merupakan suatu sistem yang unik. Dari segi rupa paras dan fizikal, juga mendatangkan dilema bagi wanita. Yang kurus dengan dilemanya, yang gemuk perihal lain pula. Ada juga disebabkan situasi dan jika kita tarah sehingga ke akar umbi, ia sebenarnya bergantung pada diri sendiri.


Tidak semua wanita gempal menjadi gemuk secara tiba-tiba. Ada yang sudah sedia dilahirkan comel dan begitulah cara mereka dibesarkan sehingga apabila mereka sedar dan celik akal, badan sudah bersaiz XXL. Ketika di peringkat ini, sulit sekali untuk mereka menguruskan badan melainkan dengan cara yang amat drastik atau menggunakan kos yang mahal. Kita tidak tahu, mungkin ada ibu bapa yang memang suka anak mereka bertubuh gempal dan sihat sehingga mereka terus dibesarkan sebegitu. Bukan kehendak mereka sendiri atau bukan kehendak kita.
Inilah manusia. Fitrahnya berbeza.


Wanita moden hari ini lebih bersikap terbuka baik dari segi pemikiran, pemakaian dan cara hidup. Jika dahulu wanita gempal tidak mengekspresikan diri, kini ternyata dunia berubah. Mereka tampil bergaya malah diterima menjawat jawatan meski pun dalam bidang berkaitan imej dan penampilan. Ya, sesiapapun memerlukan imej dalam kerjaya. Pendek kata, yang membentuk diri dan peribadi bukanlah saiz fizikal semata-mata, tetapi terletak kepada cara kita mencorak perwatakan diri. Biarlah keikhlasan kita yang berbicara.
-tamat-

Tiada ulasan: