Khamis, 25 April 2013

NOVEL I LOVE YOU AYAM! KISAH PEMBUNUH



SEDUTAN Secebis kisah dalam NOVEL I LOVE YOU AYAM!

AKU belum puas memeluk anak-anak sewaktu lelaki itu mengheret mereka tanpa belas kasihan. Cinta bertukar benci. Kuteruskan langkah membawa diri ke tengah Kuantan. Aku bernekad apa sahaja kerja yang dapat aku lakukan, akan aku lakukan. Tiada klu, tiada maklumat mengenai Shamsul. Ke mana lagi hendak aku bawa diri selain mencari kehidupan untuk diri sendiri. Hanya naluri yang aku ada. Kuharap berbekalkan naluri seorang ibu ini mampu menemukan aku dengan Shamsul.
Aku kehabisan duit kerana tambang. Not RM30 yang disedekahkan warden penjara pagi tadi tinggal beberapa sen sahaja lagi. Tiada makanan, tiada air mahupun sekeping roti. Aku menyelongkar tong sampah di sebuah lorong sepi.
“Nyah! Kenapa kau kutip sampah nyah? Alahai badan kuat lagi janganlah jadi kucing kurappp” Pondan tua bernama Mona mendekati aku dan menarik tangan aku menuju ke rumahnya. Bilik sempit di celah-celah lorong itu begitu kemas biarpun tanpa perabot mewah. Hanya dua katil bujang yang dirapatkan menjadi satu dan satu set meja makan kelihatan tersusun dalam bilik itu.
Tanpa sepatah kata makanan yang Mona hulurkan aku lahap sampai licin. Mona memutar soalan.
“Apa kena kau ni nyah? Buruk betul pakaian kau. Kau datang dari hutan mana? Kau orang Indonesia ye?” tanya Mona. Aku masih berdiam diri selepas makan. Malu untuk aku memperkenalkan diri kepada Mona yang baik hati.
“Kau ni bisu ke. Aku tanya ni nama kau siapa? Panggil aku Mona je... kalau kau nak tinggal sini untuk sementara waktu tinggallah. Tapi aku ni nyah. Aku ni semuanya plastik bukan perempuan betul. Pandai-pandailah kau bawak diri ye...” cerita Mona mesra.
“Namaku Saerah. Aku baru lepas keluar penjara.”
“Aaa!!!” Mona menjerit kecil. Serta merta dia terloncat ke atas katil.
“Kau banduan ke? Kau buat apa nyah? Tak kan bunuh orang kot? Ke edar dadah? Lagi keji dari aku ke kau ni nyah?” Mona menyoal.
“Ye aku bunuh orang.”
“Aaaaa!!!” Lagilah kuat Mona menjerit.
“Pembunuh! Pembunuh! Keluar kau pembunuh,” waktu itu Mona sudah mencampakkan semua perhiasan yang ada. Aku menangis.
“Selepas kau kutip aku, sekarang kau nak buang aku Mona. Ke mana aku nak pergi? Aku bukan bunuh orang sembarangan... Biah madu aku yang aku bunuh. Dia rosakkan kebahagiaan aku...” Aku merintih untuk kesekian kalinya. Aku ceritakan segala-galanya pada Mona hari itu. Entah berapa baldi air mataku tumpah sampai bengkak biji mata ini kerana kisah silam. Mona mendekatiku. Dia juga bersungguh-sungguh menangis ketika mendengar kisah hidupku ini.
“Macam nilah Erah. Aku ni kerja tak halal. Kalau kau nak kerja aku boleh dandankan. Sedangkan aku ni yang tak original pun ada jantan nak inikan pulak kau yang versi original. Kau kerja macam aku je lah Erah. Tinggal dekat sini, tak payah pergi mana-mana. Fasal anak kau tu nanti kita cari sama-sama,” Mona memapah tubuhku dan membaringkan aku di atas katil.
Dia menjarakkan dua katil bujang itu. Satu ke arah tingkap dan satu lagi ke arah dinding. Aku tidak faham kenapa kerana mataku terlalu penat dan mengantuk. Mungkin kerana Mona sebenarnya bukan perempuan asli. Sudah seharian aku berjalan dan menangis. Mataku terasa amat berat dan aku hanya fikirkan untuk berehat.
Xxx
AKU dikejutkan dengan satu bunyi yang kedengaran agak rakus di cuping telingaku. Bunyi dengusan itu diselang seli dengan rengekan kecil suara si pondan. Aku mengiringkan badan dan membuka mataku sedikit. MasyaALLAH! Aku hampir menjerit melihat Mona ditindih seorang lelaki Negro. Takutnya aku kala itu hanya Tuhan yang tahu. Sekarang aku faham kenapa Mona menjarakkan katil kami. Rupanya bilik yang kami tinggal ini juga bilik tempat Mona mencari rezeki. Aku menutup mataku kembali. Di saat umurku 42 tahun, aku bakal menjadi begitu? Ya Allah ampunkan aku...
Xxx
SAKITNYA hanya Tuhan yang Maha tahu. Aku sedih... pedih dan terhina saat lelaki Bangladesh itu menghulurkan not RM50 kepadaku sebelum berlalu pergi. Sudahlah melayan lelaki yang bukan suamiku, hitam dan busuk malah di hadapan Mona pula tu. Kalau semalam aku tidur di katil satu lagi sambil mengintai-ngintai gaya Mona melayan pelanggannya. Hari ini Mona pula berbaring sambil melihat aksiku yang kaku.
Mona menghampiriku dengan lenggokan manja. Dia juga diberikan tips kerana menjadi penonton. RM20. Mona mengibas-ngibaskan not itu ke arah muka ku.
“Bangla tu pelanggan tetap aku. Perangai dia memang macam tu. Suka kalau orang tengok aksinya... lagi menjadi-jadi dia. Dia kata kau not bad. Dah tua-tua pun bergetah....” Ucap Mona padaku. Langsung tidak mengundang semangatku. Lirih suara hati ini menjerit hanya aku yang tahu.
“Agaknya sebab tujuh tahun kau kat penjara tak ada siapa pakai kau, sebab tu ketat... hehehee... bertuah kau nyah! Kalau aku sekali servis dapatlah RM30, kau dapat RM50! Tu dah kira macam ayam muda....” sambung Mona lagi.
Oh Tuhan... sudahlah aku bekerja sebagai pelacur. Tinggal pula dengan seorang lelaki yang bertukar wanita. Tingginya dosaku. Apa guna aku solat taubat di penjara kalau ini jalan pilihanku? Aku menekup bantal ke muka dan menjerit sekuat hati.
Malam itu juga aku lari meninggalkan Mona. Sewaktu terlanggar pasu kaca di tangga, aku sedar Mona terjaga dari tidur. Tapi Mona tidak mengejar aku? Mona tidak rugikah kehilangan pelacur yang mendatangkan untung kepadanya? Aku mendongak mencari wajah Mona. Mona sudah menghampiriku.
“Kau ada duit ke nak lari nyah? Nah!” Mona menghulurkan RM100 kepadaku.
Tuhan... makhluk apakah yang baik ini. Jika benar Mona baik, kenapa dia memilih jadi pelacur? Ya Allah pelihara Mona dan kembalikan dia ke pangkal jalan. Aku merampas not RM100 itu dan segera berlari meninggalkan bilik Mona.

Tiada ulasan: