Sabtu, 28 Disember 2019

SAM GLOBAL RESOURCES bimbing 250 usahawan aiskrim

KUANTAN, 28 Disember 2019 – Seramai 250 usahawan baharu telah dibimbing menerusi program keusahawanan aiskrim HALAL berasaskan durian “The Ice Cream Protege Programme” (TICPP) dan Ejen SAM 8005.

Ketua Pegawai Eksekutif SAM Global Resources, Mohd Hisham Zamri atau dikenali sebagai Sifu Sham berkata, bakal usahawan yang dikenali sebagai protégé yang telah menyertai TICPP diajar menguasai kepakaran menghasilkan aiskrim, ilmu kewangan, pemasaran, pengurusan bisnes, sumber manusia, penjenamaan dan juga cara mencapai standard industri.

Menurutnya, program ini merupakan inisiatif SAM Global Resources yang merupakan pemain utama industri dalam pembuatan aiskrim halal keluaran Bumiputera berpusat di Kuantan, sejak 15 tahun lalu.





“Lebih 15 tahun kami berkecimpung dengan dunia pembuatan aiskrim, bermula kaedah manual kepada mesin, maka tiba masanya ilmu yang dikumpul dicurahkan kepada mereka yang berminat untuk menambah dan menjana pendapatan.

“Apa yang lebih utama adalah penekanan aspek persijilan halal dan usahawan dibimbing menjana pendapatan sehingga empat angka meskipun bermula dengan modal yang sangat rendah.

“Pakej latihan dan bimbingan yang berstruktur disediakan kepada mereka bagi membantu mereka mengedar dan menjual Popsicle keluaran kami” katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Ejen SAM 8005, Produk Baharu Berasaskan Durian dan Kafe Dooyan oleh SAM Global Resources di Kompleks Dagangan Mahkota Indera Mahkota di sini, hari ini.

Beliau berkata, protégé TICCP berpeluang mengedar dan menjual popsikel keluaran mereka sendiri manakala pelancaran Ejen SAM 8005 pula bertujuan untuk membuka peluang kepada mereka yang tidak mampu menyertai program protégé. Mereka boleh ambil produk dan edar dari ibu pejabat.

Pada 2010 SAM Global Resources telah melahirkan lebih 500 usahawan aiskrim menerusi program Mentor Mentee yang kemudian dinamakan Saudagar Aiskrim Malaysia.

Hadir sama selaku perasmi majlis ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Menurutnya, produk baharu berasaskan durian oleh SAM Global Resources ialah Popsicle Durian Musang King yang akan diedarkan melalui Ejen SAM8005 yang mana mereka akan berada di lokasi- lokasi tumpuan ramai sekitar Kuantan.

Selain popsicle Durian Musang King, SAM Global Resources juga menghasilkan produk aiskrim lain antaranya soft ice cream dan hard ice cream berasaskan Durian Musang King yang mana orang ramai boleh menikmatinya di Kafe Dooyan yang akan dibuka dengan tagline “The Premium Durian Ice Cream Café”.

Untuk rekod, Kafe Dooyan boleh dikatakan sebagai kafe pertama yang menjual produk berasaskan durian halal berstatus bumiputera di Pantai Timur umumnya dan di Pahang, khasnya.

TAMAT-


Tiada ulasan: