Rabu, 22 April 2015

Kisah mama dan Aisyah...

Sekadar nak kongsi kisah ini….

Sejahat-jahat mana pun manusia, apabila dah ada anak-anak sebagai amanah ALLAH yang dipertanggungjawabkan, kita tetap nak didik yang terbaik dan mahu mereka jadi soleh / solehah bukan?

Begitulah aku...

Kadangkala aku menangis tengok wajah-wajah mulus dan polos anak-anak ketika tidur. Seorang berumur tujuh tahun... seorang lagi lima tahun...

Menangis sebab ‘Terpukul’ diorang tu satu hal, tapi menangis sebab aku tak tahu macam mana nak jaga dan macam mana nak didik diorang menjadi orang berguna, mengamalkan agama dan taat pada perintahNYA, serta tidak mengejar dunia pada zaman duniawi ini.

Ha... aku nangis sebab aku bukan orang yang banyak ilmu macam orang lain. Aku kurang sabar. Kurang ilmu, kurang warak, kurang segala-galanya... tapi terpaksa tempuh waktu-waktu sebegini sorang-sorang...

Aku takut kalau diorang membesar tanpa ilmu yang akhirnya membawa diorang kepada jalan dunia semata-mata, tanpa bekalan cukup untuk ke akhirat yang nyata lebih kekal abadi. Sedangkan aku sendiri tercari-cari...

Terasa beratnya tanggungjawab menjaga anak-anak. Balik kerja kita penat. Kita memasak. Kita basuh pakaian. Kita angkat jemuran dan lipat pakaian. Siap memasak kita suapkan mereka makanan.  Lepas tu pantau kerja sekolah... kemaskan kerja seni yang dia tak siap masa kat sekolah... ajar mengaji... iron baju... kemas beg sekolah... buat susu... prepare untuk tidur... sesi menghafal surah lazim...

Ya Tuhan... ampuhnya hati aku kadang-kadang... hilang masa untuk diri sendiri. Tahu-tahu dah tertidur sama.

Bila gagal kawal perasaan... aku marah... aku menangis dan aku tak endahkan diorang.

Apalah sangat akal yang diorang ada selain nak main, nak gelak, nak nangis, nak usik-usik dan bergaduh. Abang buli adik, adik buli abang... bingit... tengah ajar mengaji pun sempat jugak diorang bergaduh... haishhh...

..........................

Teringat perbualan aku dengan Aisyah (lima tahun) masa dalam perjalanan nak hantar dia ke rumah pengasuh.

Waktu tu jam 7.30 pagi. Baru lepas hantar abang Iman (tujuh tahun) ke sekolah.
Sememangnya waktu pagi; iaitu waktu perjalanan hantar anak-anak baik ke sekolah mahu pun ke rumah pengasuhlah menjadi ruang dan kesempatan terbaik yang aku gunakan untuk bersembang dengan anak-anak.

Selalunya setiap kali aku berpesan kepada abang Iman, Aisyah akan diam saja kat seat belakang sambil nyonyot botol susu dia tu. Tapi tak tahu entah angin apa yang merasuk dia, hari itu dia kerap menyampuk...

“Kalau mama lambat jemput, ingat pesan mama, abang tunggu sahaja dalam sekolah ya. Jangan lari-lari kawasan parkir, nanti cikgu undur kereta tak nampak abang, sebab abang kecil lagi...”

“Okey mama...” Jawab Iman

"Yelah mama..." Aisyah mencelah...

“Sebelum masuk kelas baca doa ya. Minta pada ALLAH supaya abang faham apa yang abang belajar hari ini. Balik nanti boleh share dengan mama.”

“Okey mama...” jawab Iman.

"Ha betul tu. Nanti ajarlah adik pulak..." Aisyah menyampuk lagi.

“Kalau dengar cakap mama dan cakap cikgu nanti ALLAH sayang... dengan kawan pun kena berbaik-baik. Kalau kawan main kasar-kasar cakap dengan kawan abang tak nak main dah.”

“Okey...”

Kali ni Aisyah diam...

Lepas abang confirm melepasi pintu pagar, aku tekan pedal minyak dan teruskan perjalanan sambil intai Aisyah dari cermin pandang belakang.

Si kecil tu diam tak berkutik. Puting masih dalam mulut. Lagak dia macam boss yang tengah berkhayal entah fasal apa.

“Adik!” Seru aku. Dia berdiri di tengah-tengah antara dua kerusi hadapan. Tiba-tiba dia bersuara.

“Mama ni asyik cakap fasal ALLAH je. ALLAH sayang ALLAH sayang... mananya ALLAH tu? Ada ke? Hah takde pun! Takde pun!”

Dia pusing-pusing kepala buat lagak macam tengah
cari ALLAH.

Haishhh... serta-merta aku tekan break kereta. Aku park tepi jalan then aku duduk dengan posisi pandang ke belakang menghadap dia. Nak ku ketuk kepalanya terasa kasihan tapi memang rasa marah datang mendadak. Aku cari idea. Budak lima tahun ni kena bagi faham macam mana ya?

Lepas tu aku dapat idea! Ni semua idea dalam buku ke internet entah aku tak ingat mana aku baca. Terus ku picit hidung Aisyah sambil cakap,

“Ha boleh bernafas tak? Boleh bernafas tak?”

Dia mengeliat.... sambil tepis tangan aku. Tak lama aku picit tapi cukup la buat dia tercungap-cungap dan terkejut dengan perbuatan aku. Bulat mata dia pandang aku. Air mata dah bergenang kat kelopak. Sikit je lagi nak berderai.

“Mama tutup hidung adik macam mana nak bernafas?!” Aisyah bersuara tinggi. marah betul dia dengan aku...

“Ha tau pun! Adik bernafas dengan apa?

“Dengan udaralah!” Time ni Aisyah masih main kasar. Kening dia berkerut pandang aku.
“Ye ke? Mana udara? Mana? Mana? Mama tak nampak pun...”

Aisyah diam...
Air matanya jatuh...

Aku tarik kepala Aisyah aku rapatkan ke dada aku. Aku cium ubun-ubun dia. Mak aku pesan baca Fatihah dan tiup ubun-ubun anak masa tidur. Ha aku selalu buat macam tu supaya dia dengar kata. Menjadi atau tidak aku tawakal je.

Aisyah menangis tapi tak bersuara. Aku tahu dia ketakutan tapi sikap Aisyah ni kental. Aku faham sangat...

“Mama tak suka adik cakap macam tu. ALLAH tu ada. Sama lah macam udara. Kalau adik tanya mama, mama tak tahu macam mana nak jawab. Tapi macam mana adik rasa udara tu ada... macam tu lah ALLAH ada. ALLAH yang ciptakan kita...” aku nasihat dia.

Tak tahulah perumpamaan aku boleh difahami atau tidak. Rasa macam bercakap dengan orang dewasa. Tapi jawapan Aisyah selepas itu buat aku pula yang nak menangis.
“Okey mama. Adik minta maaf...”

Dan aku sambung pandu kereta...

:( :( 


Tiada ulasan: