Rabu, 30 Januari 2013

Orang kerajaan kedekut tandas

PERIHAL orang kerajaan kedekut senyuman selalu penulis dengar. Cogankata dan kempen-kempen menjaga tingkah laku dan air muka terhadap orang awam atau pelanggan sebilangan sahaja yang mengamalkan.

Pendek kata, semua jabatan begitu meskipun Sinar Harian pernah menjalankan tinjauan berhubung attitude kelompok manja kerajaan ini.
Tapi perihal satu ini amat kelakar untuk dikongsikan, apapun penulis nak hebahkan juga. Orang kerajaan rupanya kedekut tandas!

Kisahnya begini, penulis yang datang ke pejabat seawal pagi dikejutkan dengan berita sepupu yang kemalangan jalan raya dan dimasukkan ke ICU.

Terkejutnya penulis sampai tangguh rutin pagi, iaitu membuang segala sisa toksin dari badan yang biasa dilakukan sebagai permulaan hari.

Memandangkan semua keluarga berada di Pahang dan penulis ahli yang paling hampir dengan HKL, ibu saudara meminta penulis menunggu anaknya.

Penulis minta kebenaran boss dan bertolak ke Kuala Lumpur. Destinasi pertama menjemput suami di Kompleks Kerajaan Jalan Duta.

Awal tadi rutin tertangguh, makanya sampai di Kompleks Jalan Duta penulis jadi tak keruan. Penulis minta suami tunggu dalam kereta sementara penulis berlari mencari tandas paling hampir.
Masuk pintu depan, penulis nampak papan tanda arah ke tandas. Di pintu tertera ikon orang ber'skirt' yang biasa ditampal di tandas.

Penulis serbu saja sebab bom dalam perut itu kalau dah menggelegak tak boleh disimpan. Silap hari bulan orang kiri kanan boleh kena tempiasnya!

Masuk sahaja saja ke tandas, seorang perempuan gemuk berbaju merah sedang menyarung tudung bertanya kepada penulis, 'you dari mana?'. Wahh angkuhnya. Penjaga tandaskah? Penulis senyum saja dan terus masuk bilik kecil lantas melepaskan hajat.

Dari dalam bilik kecil penulis dengar dia mengomel. Wanita separuh usia itu berkata kepada seseorang "Orang luar mana boleh masuk tandas ini. Panggil jaga and tangkap halau!". Aduhh penulis rasa nak tembak wanita itu dengan peluru-peluru dari dalam perut ini.

"Tolonglah kakak, ini kes kecemasan!" Jerit penulis dalam hati. Nasib baik terlalu sakit perut maka penulis diamkan saja dan menyudahkan urusan dalam keadaan hati terguris.

Rupa-rupanya dalam tandas pun orang kerajaan tidak bertolak ansur...
Kepada pengurusan, penulis minta maaf kerana tidak sengaja masuk ke tandas kakitangan.
Sumpah! hatta di tepi sungai pun, penulis sanggup buang kalau dah sakit perut macam itu.
Lagipun penulis singgah sahaja. Ada urusan lebih penting yang penulis nak kejar di HKL. Sampai jumpa lagi...

Tiada ulasan: