Khamis, 3 Oktober 2019

Kerajaan Pahang bantah tutup UNITEN



KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang membantah penutupan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) untuk menutup Kampus Sultan Hj Ahmad Shah (KSHAS) di Bandar Muadzam Shah, Rompin.
Menteri Besar Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejak kemasukan 200 pelajar pertama pada tahun 2001 hinggalah kemuncaknya pada tahun 2015 universiti tersebut telah mendidik  4,300 pelajar dan jumlah ini turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti sosio-ekonomi Bandar Muadzam Shah.
“Sungguhpun kini jumlah pelajarnya menurun kepada 1,300 orang tetapi ini sebenarnya merupakan kesan daripada faktor ekonomi nasional dan dunia. Apabila keadaan ekonomi bertambah baik saya percaya, jumlah kemasukan pelajar akan kembali ramai.
"Kerajaan Negeri meminta pengurusan UNITEN serta pengurusan tertinggi TNB agar dapat menyemak kembali perancangan itu dengan mengambil kira bantahan oleh Kerajaan Negeri dan pelbagai pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan media.
Wan Rosdy berkata, di samping berjasa mendidik ramai anak bangsa di negeri ini, universiti itu juga mempunyai nilai sentimental yang amat bermakna kepada negeri Pahang kerana namanya mengambil sempena nama Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada keputusan Lembaga Pengarah UNITEN pada 24 September lepas mengenai inisiatif yang dikenali ‘Reimagining UNITEN’, bagi memusatkan kampus-kampusnya yang ada hanya ke Putrajaya.
Di bawah inisiatif ini juga, UNITEN dikatakan akan berganding bahu dengan Jabatan Real Estate Ventures (REVD) TNB untuk mentransformasikan UNITEN KSHAS di Bandar Muadzam Shah kepada premis TNB yang baharu.
“Walau apapun perancangan yang ada, dengan memberi apa juga istilah ‘bombastic’ kepada usaha tersebut; pucuk pangkalnya ialah UNITEN KSHAS di Muadzam Shah akan ditutup. Ini sememangnya Kerajaan Negeri tidak dapat terima lalu membantahnya,” katanya.
Beliau menambah, ketika Kerajaan Negeri meluluskan tanah seluas kira-kira 68 hektar (168 ekar) kepada UNITEN pada penghujung tahun 1990-an ialah bagi maksud pembinaan segala jenis infrastruktur yang diperlukan agar terbina sebuah kampus yang dapat menampung keperluan pendidikan dan penginapan ribuan pelajarnya.
Oleh itu katanya, sepertimana positifnya pandangan Kerajaan Negeri tentang kewujudan UNITEN KSHAS, begitulah juga diharapkan di pihak UNITEN dan TNB.
“Adalah diharapkan, daripada melakukan usaha untuk menutupnya, adalah lebih wajar berusaha untuk menyemarakkannya lagi dengan pengenalan lebih banyak kursus peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjananya, dengan tidaklah terhad kepada adanya Kolej Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (COBA) sahaja,” katanya.
Tamat

Tiada ulasan: