Rabu, 13 Ogos 2014

H: Dilema bermadu


SH: Wanita banyak pendam rasa

NOR KHALILAH GUSTI

DIA wanita kental yang semangatnya amat saya sanjungi. Ketika mengunjunginya yang baru sahaja melahirkan anak kedua, madunya Ina, sibuk di dapur menyediakan makanan berpantang dan air mandian herba. Dari riak wajahnya yang polos bertempelkan pilis di dahi, saya lihat sebuah duka yang amat kencang berputar di fikirannya. Mata kami saling bertaut. Siti ada sesuatu yang ingin diluahkan.
“Itulah Ina, madu Ti yang Ti ceritakan dulu. Sejak kahwin dengan abang lima bulan dulu, terus tinggal dengan Ti. Baik budaknya. Baru 20 tahun.” Siti membetulkan duduk. Entah marah entah simpati, saya seakan mahu mencekik leher Ina yang sedang sibuk di dapur tanpa mempedulikan kami berdua.
Ketika Siti menceritakan dilema hidupnya lima bulan dulu, marah penulis lebih meluap. Tapi hari ini, melihat tindak tanduk Siti yang tenang dan bersahaja, penulis sabarkan diri untuk tidak beremosi di hadapan kenalan rapat yang sedang berpantang itu.
Ina gadis Melayu berketurunan Kedah yang asalnya bekerja di restoran suami Siti. Rambutnya merah, lehernya jinjang dan kakinya panjang persis model. Dibandingkan dengan wajah Siti, Ina tidaklah cantik tetapi Siti bertubuh gempal. Mungkin kurus itu yang menjadi aset dambaan suami Siti sehingga memilih Ina untuk dijadikan isteri kedua.
Dilema Siti menyentuh hati wanita saya. Kisah cinta suaminya dengan ramai gadis selalu diceritakan kepada saya setahun dulu.
“Apabila suami ada masalah dengan teman wanitanya, dia akan telefon Ti dan meluahkan perasaan sedihnya. Apabila putus cinta, Ti jugalah yang menjadi tempat suami meluah rasa. Bayangkan betapa remuk hati Ti saat suami tercinta meluahkan rasa sedihnya kehilangan kekasih hati.
“Bayangkan betapa terlukanya jiwa Ti saat mendengar suami menangisi pemergian perempuan lain, yang bukan isterinya. Sebagai isteri, hak apakah yang Ti ada? Ti sedih. Ti berduka sepanjang masa. Anak dikandung seakan mengerti dan menendang-nendang dinding rahim saat Ti merintih hiba. Tapi apa nak buat, ini nasib Ti dan Ti terima Ina seadanya.” Sambung Siti lagi. Air mata sudah tak dapat ditahan.
Saya dan Siti sedar, selepas habis berpantang ini, dugaan Siti lebih berat. Hati Siti mungkin juga akan lebih hancur dan terhimpit, namun hati ini mendoakan, Siti mendapat ganjaran pahala yang melimpah ruah. Sebagai sahabat doa saya juga mahukan Siti beroleh kebahagiaan di penghujungnya nanti.
Begitulah kisah wanita bermadu. Ada yang dapat menerima kehadiran orang ketiga, dan ada pula yang mungkin memilih untuk berpatah arang, berkerat rotan. Apa pun pilihannya pasti ada kesan dan natijahnya tersendiri. Hidup mesti diteruskan. Semoga bertemu hikmahnya.



Tiada ulasan: