Rabu, 13 Ogos 2014

Tidaklah manusia itu berkahwin demi penceraian

Tidaklah manusia itu berkahwin demi penceraian. Rumah tangga yang dibina atas dasar cinta pasti ingin dipertahankan waima masalahnya setinggi gunung mencakar awan. 
.
Baik pasangan muda mahupun dewasa, perkahwinan semestinya medan menguji kesetiaan dan keutuhan kasih sayang.
.




Perkahwinan juga mengajar manusia mengunci nafsu terhadap banyak perkara yang tidak mampu kita lakukan secara bersendiri. 
.
Bagi yang memandang ujian itu suatu tusukan positif dalam diri, pasti melihat perkahwinan sebagai platform melengkapi di antara satu sama lain.
.
Anehnya, kepincangan tetap juga berlaku. Puluhan tahun sekalipun perkahwinan itu dibina, manusia sering tewas dengan percaturan hidup sendiri. Jika sudah tersurat olehNya perpisahan, maka yang bermula dengan keindahan, akan ternoktah jua.. 
.
Dewasa ini, pasangan muda sering memilih tindakan mudah iaitu mengakhiri perkahwinan di awal usia. Kebanyakannya berpendapat; untuk apa ditunggu lagi jika sudah tidak sehaluan. Di tunggu sehingga tua pun, jika sudah tiada jodoh, tidak guna juga. Bernarkah telahan itu?
.
Isu kahwin-cerai dilihat seperti semudah menyalin pakaian. Jika mahu, ia dipakai. Jika tidak mahu, ia dibuka dan dibuang jauh-jauh. Kemudian bila rindu, merujuk semula. Tiada penyelesaian.
.
Kalau dikaji kadar penceraian di Malaysia, memang wajar untuk kita berasa gusar. Anda mungkin tiada contoh dari kalangan keluarga terdekat dan saya berdoa mudah-mudahan anda pembaca semua dijauhkan daripada cabaran berumah tangga sehingga membawa kepada penceraian ini. .
Kita masih boleh belajar dan ambil iktibar daripada berita-berita yang terpapar di akhbar mahupun di media elektronik.

Merujuk kepada statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2009, kadar perceraian di kalangan pasangan suami isteri Islam di negara ini berlaku setiap hari. 
.
Usaha untuk mendapatkan statistik terbaru dari jabatan itu tidak berhasil apabila pegawai dihubungi enggan bekerjasama dalam memberikan komen. Menurutnya, bimbang angka dan statistik penceraian negara ini disalah tafsir sesetengah pihak. Kami menghormati pendapat itu.

Tiada ulasan: