Rabu, 13 Ogos 2014

Wanita: Dilema jadi ketua




Lepas habis belajar dulu saya pernah kerja kontrak di sebuah syarikat penyiaran terkenal yang juga memiliki stesen radionya sendiri. Boss saya; seorang perempuan. Dikategorikan agak tegas dan jika ada yang tidak kena memang dia akan tegur secara terang-terangan. Kerja saya memang banyak kerana ada masa saya ditempatkan di bahagian berita televisyen dan pada masa sama diarah buat promo radio dan sunting slot saya sendiri untuk selingan info di radio.
Terus-terang, saya suka dengan kerja-kerja yang dilakukan. Maklumlah baru lepas daripada suasana belajar sepernuh masa yang menekan. Apabila dah dapat kerja, saya kerja dengan penuh semangat.
Namun, saya pasti perasaan ini dirasakan kebanyakan kakitangan di luar sana, iaitu tidak suka apabila boss ada di pejabat. Kalau boss cuti atau bertugas luar kawasan, alangkah indahnya rasa dunia kita. Walhal, boss ada atau tidak, kita tetap bekerja dengan baik dan sesungguh hati. Hanya ketika boss ada kita rasa kurang selesa dan selalu diperhatikan. Lebih-lebih lagi boss perempuan saya ini memang suka tawaf dari satu departmen ke satu department. Kalau dia  tak ada pendek kata boleh berkerja dangan gembira. Pernah tak? Betul tak?
Kenapa ya? Saya pasti, ada sesetengah sikap dari boss sebegini yang kita tidak senangi. Bukan sepenuhnya tapi mungkin seperkara yang sulit untuk kita jelaskan. Kakak senior saya di unit berita pernah berkata, saya boleh dikategorikan sebagai manusia yang bertahan kerja di situ. Sebelum saya masuk sudah ramai pekerja kontrak berhenti kerja kerana tidak tahan malah, ada antara mereka yang berpakat untuk berhenti serentak.
Perempuan vs lelaki
Pengalaman saya berhadapan boss lelaki di sebuah syarikat pengurusan majlis lain pula kerenahnya. Dia lebih garang dan tegas soal kerja tapi lembut dan prihatin soal kesihatan. Kalau setakat lempar fail dan kertas depan muka staff itu perkara biasa. Salah eja atau salah info sedikit pun memang kena maki sampai keluar pejabat dengan tangisan!
Nah, mana satu yang sanggup kita hadapi? Lelaki mahupun perempuan; jika dinilai semula dengan mata hati, tidak ada manusia yang sempurna. Cerewet, tegas, pemarah, rasional, manis, lembut atau bengis, itu semua fitrah kejadian manusia. Hanya kita yang gagal menterjemah atau mengadaptasikan perangai dan sikap-sikap tersebut di hadapan orang lain.
Jika tidak, kenapa ada orang menyukai seseorang yang kita benci? Dan kenapa pula kita suka pada seseorang yang orang lain benci? Anehkan? Tapi itulah hati manusia.
Seseorang pernah berkongsi cerita dengan saya mengenai boss perempuannya yang cerewet. Sampai  sampah sekecil biji sawi pun dia nampak contohnya staple atau bullet stapler yang melekat di celah karpet. Kalau dia jumpa, habis satu pejabat dia membebel. Bossnya juga bersikap kalut sampai semua orang bawahan pun jadi kalut.
Tapi bab kerja atau kecemasan melibatkan rumah tangga dan anak-anak, bossnya sangat prihatin pula. Kiranya tidak semua sikap boss perempuan membebankan mereka. Wanita sarat dengan emosi. Jika anda pandai mengambil hatinya, mendekatinya, tentu masalah besar tidak mudah timbul. Minggu ini, WOW membawa isu Wanita; Dilema menjadi ketua. 
-tamat-


Tiada ulasan: