Aduhai lelaki... akalnya beribu, nafsunya
satu. Apabila sampai pada peringkat umur tertentu, perangai miang mula
menonjol. Barat kata, Life begin at 40. Ketika peringkat inilah kaum lelaki
mula berada pada kedudukan kewangan yang paling stabil malah berlebihan. Mereka
ada kuasa di tempat kerja dan tidak kurang juga yang mencapai taraf hebat dalam
perniagaan masing-masing.
Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan
tahap ‘macho’ dan kegagahan lelaki. Apabila kuasa dan kestabilan hidup berada
di tangannya, hormon testosterone yang mendorong dia menjadi sang pemburu mula
berlebihan. Minat memburu semakin membara tidak kisah ke arah apa pun baik dari
segi hobi memancing, mengumpul barangan antik, motor kuasa besar dan
macam-macam lagi termasuklah memburu nafsunya yang satu, iaitu wanita.
Dia akan memburu wanita cantik dan muda
terutama sekali yang paling sukar untuk ditawan. Jika perkara ini tercapai, dia
akan merasakan kepuasan yang tidak terhingga. Dia akan berbangga menceritakan
kepada kawan-kawan mengenai kejayaannya memburu wanita-wanita cantik di luar.
Ini kerana, sang pemburu akan jadi lebih
bermotivasi apabila dia berjaya meletakkan diri melebihi pencapaian
saingan-saingannya. Dia akan berusaha untuk menangkap mangsa dengan pelbagai
cara dan taktik. Dengan semua kelebihan ada terutama sekali kewangan dan hormon
yang tinggi, maka mudahlah dia melakukan pemburuan. Dorongan untuk
bermiang-miang juga semakin hebat, meski pun ada isteri cantik di rumah!
Itulah lelaki. Lelaki miang setepatnya. Bagi
kaum wanita, belajarlah cara menangkis usaha golongan ini. Usah hairan jika
anda salah seorang mangsa gangguan-gangguan lelaki miang di tempat kerja.
Mereka hanya perlu ditebak dengan sikap tidak ambil peduli. Jika perlu,
laporkan kepada pihak berkuasa atau majikan.
Dan bagi para isteri, ketahui bagaimana
mengawal lelaki miang. Pelajari dan buat persediaan melangkah ke satu peringkat
di mana suami anda bakal berada di tahap paling stabil dalam kehidupannya.
Apabila perubahan mula berputik, mulakan pelan kawalan anda. Tawan hatinya dan
tenteramkan dia di syurga rumah tangga anda.
Jika segala-galanya telah anda lakukan namun
tidak menampakkan jalan, muhasabah diri dengan kenyataan ini;
Tak perlu teman sehebat Sulaiman, andai tidak
secantik Balqis; tak perlu diharap yang setampan Yusof, andai kasih tak setulus
Zulaikha; usah damba seteguh Ibrahim, andai tak sekuat Siti Hajar; Mengapa mahu
bak Rasullullah, andai hati tak sesempurna Siti Khadijah.
Hargai apa yang kamu ada. Cari kebaikan dan
kelebihan yang tersembunyi. Ada sebab mengapa dirimu dijodohkan dengan dia,
meskipun fitrahnya mengejar sesuatu yang lain.
-tamat-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan