NOR KHALILAH GUSTI nor.khalilah@sinarharian.com.my
Jari telunjuk kanan menggosok-gosok alis mata
yang seakan liat untuk terbuka. Tangan satu lagi pula masih memintal anak
rambut yang mengurai ke bahu. Kusut masai. Malam tadi tidur lewat. Kalau boleh
tak mahu tidur langsung selepas dengar pengumuman raya di televisyen tadi.
Entah bila tertidur pun tidak sedar. Tahu-tahu, bersama sepupu sepapat enak
tergolek tidur bergelimpangan di ruang tamu.
“Bangunlah anak-anak bertuah oi, hari ini
raya!” jerit mak dari dapur. Tangan kanan mak dan siap pegang kain batik untuk
dilibas ke arah kami yang liat bangun Subuh. Belum sempat emak sampai,
masing-masing melompat sambil menjerit “Yeay!!!” langsung berasak-asak lari ke
dapur, berebut bilik air.
Ahh, itulah momen indah zaman kanak-kanak saya
menyambut hari raya Aidilfitri. Anda juga tidak terkecualikan? Masa kecil,
lazimnya setiap kali musim perayaan keluarga saya sudah balik kampung di Sungai
Burong Kuala Selangor sehari atau dua hari lebih awal. Sepupu-sepapat saya juga
begitu.
Emak dan ibu-ibu saudara akan sibuk membantu
nenek buat ketupat sebelanga. Periuk besar dan kawah turut digunakan untuk
memasak rendang dan ketupat. Kami orang Banjar keluarga besar. Adik-beradik
emak yang tujuh orang semuanya beranak ramai. Keluarga saya sahaja dah 12
adik-beradik! Kami berkumpul di rumah nenek ibarat sebuah kampung. Meriah!
Saya, kakak-kakak dan abang- abang sepupu pula
akan ambil lebihan buluh yang digunakan abah dan bapa saudara untuk buat
lemang. Kami buat jamung, buat meriam dan lampu pelita guna buluh. Susun
banyak-banyak dan nyalakan. Terang benderang halaman rumah nenek.
Lepas
main mercun dan bunga api warna warni, tenaga kami dikerah pula untuk tunggu
lemang di bara sampai jam 2,3 pagi. Walau pun nenek tahu kami cuma main-main
dan bukan tunggu sangat pun, nenek arah juga. Sekurang-kurangnya esok bolehlah
nenek kata, ini lemang Lala, ini lemang Khairil, ini lemang Angah.
Tersengeh-sengehlah kami kerana dipuji. Hihihi...
SH: Berubah setiap tahun
Terlalu rindu momen itu. Sekarang, nenek dah
tiada. Bapa saudara dan ibu saudara pun ada yang dah kembali ke rahmatullah.
Al-Fatihah untuk mereka yang pernah membahagiakan. Raya saya pada zaman kanak-kanak
tidak pernah sepi dari keriuhan dan gurau senda saudara mara. Dan saya percaya
pembaca juga begitu. Punya kenangan masing-masing.
Seiring perjalanan waktu, sesungguhnya saban
tahun, sambutan dan persiapan Aidilfitri itu berubah mengikut perkembangan
teknologi dan kemajuan infratruktur negara.
Kalau dahulu biskut raya dan juadah utama seperti
rendang dan ketupat dimasak sendiri oleh ibu bapa dan keluarga, namun kini ia
lebih senang dibeli kerana kemajuan negara menuntut setiap ibu juga bekerja.
Masa itu menjadi amat berharga bagi setiap
wanita berkerjaya. Di saat-saat akhir Ramadhan, kaum ibu bekerja mula mencuri
masa dan tumpuan untuk persiapan raya. Membeli pakaian untuk anak-anak dan diri
sendiri serta suami. Juga ada yang berbelanja untuk biskut raya. Jalan Tuanku
Abdul Rahman, Masjid India dan sekitar Chow kit pastinya menjadi lokasi tumpuan
paling popular di ibu kota setiap kali musim perayaan.
Murah, cantik dan segala-galanya ada! Tapi,
punyalah sesak. Nasib baik pada zaman millenium ini corak dan gaya perbelanjaan
berubah merentasi sempadan. Masyarakat mula membeli belah menerusi talian maya.
Kaedah membeli barang-barang persiapan hari raya menjadi mudah dan pantas
apabila membeli belah menerusi internet.
Banyak laman web perdagangan diwujudkan bagi golongan
yang memilih untuk berbelanja menggunakan kaedah ini. Terpulang anda
menyesuaikkan diri dengan kaedah mana yang menjadi pilihan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan