Rabu, 13 Ogos 2014

H: Pelaburan jangka panjang


SH: Wanita rancang masa depan

O: NOR KHALILAH GUSTI nor.khalilah@sinarharian.com.my


Wanita adalah perancang masa depan keluarga yang hebat. Simbiosis yang erat antara wanita dan keluarga menjadikan mereka satu tunggak utama dalam membentuk sesebuah mahligai bahagia.
Sering kali kita mendengar orang menyebut bahawa di sebalik kejayaan seorang lelaki adalah wanita. Ini kerana, di sebalik kejayaan seorang wanita adalah keluarga dan manusia di sekelilingnya. Wanita punyai sifat juang yang tinggi kerana pengaruh dan peranan mereka yang menjadi kesayangannya. Wanita cenderung mendahulukan kepentingan orang lain berbanding kepentingan peribadinya.
Justeru, sebagai perancang masa depan keluarga, wanita seharusnya membuat persediaan terutama dari segi keperluan rumah tangga dan keluarga, di samping membantu para suami dan bapa.
Rentetan daripada Isu Hangat Minggu Ini keluaran Ahad lepas, (Derita di Hujung Usia) WOW minggu ini membawakan isu terbaru mengenai Pelaburan Jangka Panjang buat mendidik para wanita di luar sana dalam mengharungi masa depan yang penuh pancaroba.
Dalam kesibukan untuk mempersiapkan keperluan orang lain, beringatlah untuk diri sendiri. Wanita perlu memahami dengan jelas apa yang perlu menjadi keutamaan dalam hidupnya. Suami, anak-anak, ibu bapa, adik-beradik, kekasih dan sesiapa pun. Ini penting untuk memenuhi hal-hal yang tidak terduga supaya nanti wanita tidak berada dalam kategori mereka yang menderita di hujung usia.
Ada banyak pilihan persiapan diri di masa hadapan. Insurans, pelaburan hartanah, Amanah Saham Bumiputera, Unit Amanah atau Public Mutual, sijil simpanan premium dan macam-macam lagi adalah contoh persediaan kewangan. Wanita boleh membuat pelaburan dalam pelbagai sektor dan cara. Tidak secara besar, kecil pun tidak mengapa. Yang penting, dedahkan diri dahulu dengan perkara-perkara sebegini.
Tambahkan ilmu kewangan anda dari semasa ke semasa. Rebutlah peluang ketika anda masih sihat dan mampu untuk melakukannya dengan kudrat yang ada. Terokai pelbagai peluang dalam menjana pendapatan untuk memaksimumkan keupayaan anda dalam mengukuhkan kedudukan kewangan.
Rancang kewangan untuk jangka masa panjang adalah strategi yang baik. Contohi mereka yang telah berjaya dengan cara memperbanyakkan membaca mengenai mereka. Buku-buku motivasi kewangan an dan pelaburan perlu dijadikan teman harian.
Semoga perkongsian pada kali ini dapat menjadi panduan wanita di luar sana dalam mempersiapkan diri ke arah masa depan yang lebih baik.

-tamat-

Tiada ulasan: