Rabu, 13 Ogos 2014

H: Suka dan duka si anak emas




Melayani seseorang yang menjadi kesukaan dengan perhatian maksimum bererti memperlakukannya seperti anak emas.  Baik daripada seorang majikan kepada pekerja, mahupun ibu bapa kepada anak-anak; perlakuan sebegini memberi impak tersendiri.

Apa pun pilihan mereka yang mempunyai anak emas, pasti mempunyai persepsi dan tujuan masing-masing. Di rumah misalnya, ada ibu bapa yang memberi perhatian lebih kepada anak pertamanya kerana itu adalah buah cinta pertama dalam hubungan rumah tangga. Siapa tahu mungkin pasangan itu terpaksa menunggu lama untuk memiliki cahaya mata. Atau mungkin juga kehadiran anak pertama itu dipenuhi ranjau duri dan ujian maka setelah memilikinya mereka menghargainya sepenuh hati.

Ada pula yang melayani anak kedua mahupun ketiga melebihi segala-galanya atas faktor anak itu dilihat memerlukan lebih bimbingan dan perhatian. Sebagai adik-beradik atau anak lain, anda seharusnya memandang positif perkara sebegini. Kerana sebagai ibu yang melahirkan, atau sebagai ayah yang mendewasakan, mereka lebih tahu kelebihan dan kelemahan anak masing-masing.

Tiada ibu bapa yang mahukan anak-anaknya berasa kurang kasih sayang. Jikalau ada, WOW berani bertaruh bahawa jumlahnya terlalu kecil. Justeru, belajarlah untuk memahami tindakan ibu bapa anda.

S/h: Pasti bersebab

Usah berdengki jika ada kakak atau adik yang sehingga dewasa ibu bapa masih menelefon bertanyakan khabar, atau sehingga kini dikirimkan duit belanja; sedangkan anda pula tidak. Lihat dulu sejarah diri anda. Mungkin anda telah menonjolkan sikap matang dan berdikari semenjak kecil menyebabkan ibu merasa tenang dan tenteram membiarkan anda hidup sendiri di perantauan. Sedangkan kakak, abang atau adik anda itu sejak kecil tidak melihatkan kematangan dalam tindakan. Perkara sebeginilah yang perlu anda telusur sebelum membuat telahan membabi buta.

Nora (bukan nama sebenar) berkongsi cerita kepada WOW mengenai pengakuan bapanya yang mengaku sayang anak pertama melebih 11 anak yang lain. Ini kerana, anak pertama melalui susah payah kehidupan mama dan papanya sejak dari awal. Semenjak mama dan papa susah hingga kini, anak pertama itulah saksi segala-galanya.

Pengakuan papa itu akhirnya menjadi penutup kepada hasad dengki mereka adik-beradik kerana sebelum ini mereka melihat kakak selalu mendapat keistimewaan seperti dibelikan kereta, dibayar kursus yang pelbagai dan dibawa bercuti ke luar negara.

Status kakak sebagai bujang terlajak juga merupakan faktor utama yang menjadikan mama dan papanya lebih rapat kepada anak sulung.

S/h: Ada udang di sebalik batu

Cerita di tempat kerja lain pula kisahnya. Ada anak emas yang memperoleh kebaikan dan manfaat, namun ada pula yang menjadi sebaliknya. Bermula dengan menerima habuan dan layanan mesra, seseorang mula merasakan dirinya terlalu istimewa sehingga mudah sekali mendapat jawatan dan kenaikan yang diingini.

Namun awas, tindakan sebegini sememangnya mengundang pelbagai kebarangkalian. Ada manusia yang sabar menunggu bertahun-tahun untuk melembutkan hati seseorang hingga jadi percaya dan senang didekati; sebelum akhirnya menjerat diri.

Pengakuan Amira (bukan nama sebenar) mengesahkan kenyataan ini. Majikannya terlalu ambil berat dan sering kali membawanya masuk ke dalam mesyuarat syarikat yang tidak ada kena mengena dengan bahagiannya bertugas.

Sikap baik majikannya itu amat ketara hingga dirasakan kawan-kawan lain yang pernah menegur. Amira cuba menafikan namun suatu hari, sewaktu dibawa ke luar daerah untuk satu lawatan tapak projek, boss Amira membuat tindakan tidak bermoral dengan meraba tubuhnya di dalam kereta.

Amira melawan dan nekad berhenti kerja. Tindakan majikannya itu mengundang trauma sehingga lima tahun lamanya. Amira tidak berani mendekati majikan lelaki.

S/h: Terpulang kepada individu

Begitulah suka duka hidup si anak emas. Ada yang indah dan ada yang menakutkan.
Begitu pun, tidak semua individu yang memberikan layanan istimewa kepada seseorang atas niat jahat tersembunyi. Perasaan kasih dan suka terbit kemungkinan juga kerana diawalkan dengan sikap baik dan tertib yang ditonjolkan seseorang.

Fitrah manusia, suka kepada kecantikan dan kebaikan. Jika anda baik, tentu sekali ramai yang ingin mendekati malah bukan sahaja anak emas, lebih daripada itu pun anda layak terima.

Apa pun, tepuk dada tanya selera. Siapa anda dan siapa dia yang menjadi anak emas seseorang, kita bukan selayaknya untuk menilai dan membuat andaian.
-tamat-



Tiada ulasan: