Rabu, 13 Ogos 2014

H: Wanita OKU dan ibu tunggal jadi inspirasi

NOR KHALILAH GUSTI nor.khalilah@sinarharian.com.my 


Tiada siapa pernah menafikan kehebatan kaum wanita. Ketabahan dan kegigihannya menjadi seorang anak, pelajar, isteri, ibu, sahabat dan pendidik dalam satu-satu masa adalah inspirasi mengagumkan. Di luar sana ramai nama-nama besar terdiri dalam kalangan wanita hebat yang telah mencapai kedudukan tertentu di mata dunia.

Tidak hanya wanita biasa, malahan Wanita OKU (orang kurang upaya), ibu tunggal dan miskin juga mampu mencipta nama dan populariti tersendiri. Siapa tidak kenal personaliti dunia bernama Oprah Winfrey? Dia adalah contoh wanita yang tidak mahu meratapi nasib. Dia berjuang keras untuk kejayaan hidupnya, dan perjuangannya berhasil. Dia telah mengubah nasibnya dari kehidupan nestapa menjadi bahagia, sukses dan punyai karektor.
Wanita ini antara wanita kulit hitam yang memiliki kekayaan jutaan dolar manakala rancangan telivisyen berbentuk bual bicara kendaliannya; “The Oprah Winfrey Show” telah diputar hampir seluruh penjuru bumi ini.
SH: Tahukah anda?
Lahir di Mississisipi dari pasangan Afro-Amerika dengan nama Oprah Gail Winfrey. Oprah diasuh oleh neneknya di lingkungan kemiskinan yang ketara. Pada usia sembilan tahun Oprah diperkosa oleh saudara sepupu ibunya serta teman-temannya berulang kali. Di usia 13 tahun Oprah harus menerima kenyataan hamil dan melahirkan, namun bayinya meninggal dua minggu setelah dilahirkan.
Oprah lari ke rumah ayahnya di Nashville di mana lelaki itu kemudian mendidiknya dengan keras ala tentera seperti pekerjaan ayahnya. Namun didikan itu menjadikannya sebagai wanita yang tegar, percaya diri dan berdisiplin tinggi.
Tidaklah artikel ini berkehendakkan wanita menjadi seperti beliau, sebaliknya ingin membawa anda menghayati akan kejayaan insan-insan yang mempunyai latar belakang menyedihkan sepertinya. Ada wanita ibu tunggal yang berjaya bangkit dari kejatuhan hidup, dan ada wanita OKU yang mampu mengharumkan nama negara dengan kejayaan yang tersendiri.
Tidak mereka pinta dilahirkan dalam kemiskinan, kesusahan, kecacatan atau bergelar janda. Akan tetapi kepayahan dan ujian yang diterima telah mereka jadikan sandaran menjadi kekuatan untuk terus mempertingkatkan diri.
Bagi mereka, kata nista dan cerca masyarakat dihadam lumat menjadi sindiran picisan yang tidak harus diambil pusing. Kekuatan dalam diri selalu berkata ‘aku tidak mahu terus jatuh seperti mereka dan aku tidak mahu orang yang gagal mengheret aku bersama kegagalan mereka!’
Hakikatnya, yang menata rias kehidupan anda adalah tangan anda sendiri. Pilihan dan kehendak itu milik anda. Tiada sesiapa boleh menentukan tanpa izin anda dan keizinanNya. Orang sekeliling boleh memaksa tetapi tidak menentukan. Hidup ini singkat dan hanya pinjaman. Hiasi dan nikmatinya dengan penuh pengisian bermakna.


-tamat-

Tiada ulasan: