Penemuan ini bukan penemuan biasa. Saat pintu
terkuak, dia mengesot dari kurungannya dalam keadaan terpinga-pinga. Bibirnya
ingin menjerit, tapi dia tidak bersuara. Dia memandang sekeliling. Kaku, bisu,
tiada satupun daripada wajah-wajah di ruang itu yang dia kenal. Suara-suara
beristighfar kerana terkejut melihat wajahnya berlegar-legar memenuhi suasana.
Penemuan apakah ini?
Menelusuri
setiap saat dan inci putaran video yang dikongsikan rakan di Facebook,
mengundang sarat remuk dan sentuhan pedih di naluri wanita ini. Adik Muhamad Firdaus
mungkin sekali dalam kadaan kelaparan, kesakitan, tertekan, asing dan hairan.
Pada minit-minit terakhir video terdengar jeritan lemah remaja itu sepertinya
memanggil-manggil perkataan emak. Aduhai... air mata siapakah yang tidak
menitis?
Betapa sebaknya melihat
seseorang dikurung sebegitu rupa. Kurus kering, baju rabak mereput dan busuk. Dikurung
pula di tempat kotor dengan najis dan sampah bergelimpangan. Bagaimana ya jika kita
ditempatkan dalam kurungan kedap udara sebegitu? Apakah kita bisa tidur bersama
najis dan air kencing sendiri? Apa kita punya kekuatan untuk bertahan selama
Muhammad Firdaus bertahan?
Tidakkah
kesabaran dimiliki remaja itu suatu keistimewaan yang tiada bandingan? Dan
apakah benar Muhammad Firdaus yang ditemui beberapa hari lepas adalah remaja
sama seperti gambar dalam Facebook Imashima Lola yang dikatakan milik ibunya?
Maaf jika
beremosi. Harapan WOW agar kita tidak mempertikaikan kekhilafan sesiapa. Kita
tidak berada di mana-mana posisi, lantaran itu kita tidak tahu apa yang
tersurat dan tersirat. Hanya tanam dalam diri agar kejadian serupa tidak
dilakukan dalam kehidupan kita
H: Bangkit kemarahan
Kisah remaja malang berusia 15 tahun yang ditemui
terkurung dalam sebuah bilik perumahan jenis flat beberapa hari lalu, begitu
menggemparkan rakyat Malaysia. Dari fizikalnya yang compang-camping menggambarkan
bahawa anak ini dibiarkan sekian lama tanpa perhatian dan tindakan, sehingga
dia kurus kering dan trauma.
Firdaus ditemui pihak
berkuasa yang menyerbu masuk ke rumah tersebut dalam usaha membanteras
pendatang asing. Penemuan Firdaus membangkitkan kemarahan seluruh rakyat
Malaysia yang bersimpati atas nasibnya. Banyak respons diberi lebih-lebih lagi
apabila mengetahui anak tersebut punyai ibu. Ada yang memaki, mengeji, memerli,
mengutuk tindakan ibunya malah, tak kurang juga yang bersimpati dan mengharap
orang lain untuk tidak menuduh sembarangan selagi siasatan pihak berkuasa tidak
selesai.
.
Dari mana-mana
sudut pun, baik ibu, ayah, tetangga dan orang lain yang ada berhampirannya; apabila
simpati mulai sirna dari sanubari manusia, maka itulah yang terjadi.
Ibu tidak lagi
mengulit anaknya dengan sentuhan lembut. Suami tidak lagi mendidik isterinya
dengan ilmu. Adik-beradik tidak lagi berkasih sayang sesama sendiri. Tetangga
tidak lagi punya sikap ambil tahu.
Saya bersembang dengan seorang kenalan yang punya
anak OKU. Katanya, perasaan seorang ibu yang punyai anak OKU begitu berbeza daripada
mereka yang punya anak sempurna. Persepsi dan dilemanya sukar diungkapkan
dengan kata-kata, lebih-lebih lagi jika dia ibu tunggal. Mungkin juga ada unsur-unsur
mental traumatize di pihak yang melaluinya.
H: Talian Nur 15999
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berkata, ibu remaja lelaki OKU jenis
'celebral palsy' itu berasal dari Sabah dan sudah berpisah dengan suaminya.
Bekas suaminya meninggal dunia pada 2012.
Beliau menzahirkan rasa dukacitanya kepada media
dan mengesahkan tindakan susulan KPWKM menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat
telah pun dilakukan.
Rohaini dalam lawatannya menemui Firdaus di
Hospital Tuanku Jaafar Seremban mengesahkan remaja tersebut akan terus dipantau
untuk diberikan makanan yang berzat, tempat tinggal yang selesa dan rawatan
fisioterapi serta terapi-terapi lain yang bersesuaian seperti yang disyorkan
pegawai perubatan.
Tidak ada sebab untuk kita kehilangan punca
sekiranya menemui kesusahan. Rakan-rakan, jiran tetangga dan banyak pihak lain
boleh dijadikan rujukan. Talian Nur 15999 adalah rujukan terbaik bagi
wanita-wanita yang menghadapi kesusahan. Cubalah hubungi dan dapatkan nasihat
atau pandangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan