NOR KHALILAH GUSTI
nor.khalilah@sinarharian.com.my
Dalam era moden ini pemerdagangan manusia
adalah satu bentuk perhambaan. Ia merentasi sempadan dan menjatuhkan maruah
serta martabat bangsa dan negara yang terlibat. Isu wanita dijadikan mangsa
pemerdagangan seakan tidak pernah berkesudahan. Sejak beberapa tahun dahulu,
Malaysia nampaknya bukan lagi semata-mata menjadi transit pemerdagangan wanita,
malah dapat dilihat dengan mata kepala sendiri, betapa bersepahnya warga asing
yang entah legal entah tidak di muka bumi Malaysia bertuah ini.
Ketika saya ditugaskan di Meja Mahkamah dan
Jenayah, setiap hari ada sahaja pendakwaan dilakukan di Mahkamah Sesyen Klang
dan Shah Alam bersabit kes mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang
atau Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670). Menyedihkan apabila mendengar
pertuduhan dibacakan, mangsa adalah kaum sendiri.
Apabila diperdagangkan, mangsa tidak diberi
sebarang pilihan dan tidak dapat melaporkan penderitaan rentetan menerima
kawalan ketat oleh sindiket. Ada yang mengakui didera, diberi makan kertas jika
melawan dan tidak kurang juga yang dikerah tanpa bergaji serta diperlakukan
seperti hamba seks.
Menurut Kajian Kesatuan Eropah dan Jabatan
Negara Amerika, pemerdagangan manusia ini dapat menjana keuntungan yang lumayan
dan dianggarkan sebanyak USD33 bilion setahun (angka tidak rasmi ).
Pemerdagangan manusia bukan saja berlaku di negara-negara mundur tetapi juga di
negara-negara maju. Persoalannya kini siapakah dalang di sebalik semua ini? Dan
bagaimanakah pemerdagangan manusia ini berlaku?
Menurut Artikel 3 Protokol Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) telah mendefinisikan Pemerdagangan Manusia sebagai; perekrutan,
pengangkutan, pemindahan, penampungan atau penerimaan orang dengan cara ancaman
atau penggunaan kekerasan atau bentuk paksaan lain. Ia termasuklah tragedi
penculikan, penipuan, penyalahgunaan kuasa atau kedudukan, atau memberi atau
menerima bayaran atau manfaat untuk mencapai persetujuan seseorang yang
mempunyai kawalan ke atas orang lain, untuk tujuan eksploitasi iaitu pelacuran,
buruh paksa atau perhambaan dan pemindahan organ-organ.
H: Hubungan baik antara negara
Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan
Indonesia, Vietnam, Filipina, Amerika Syarikat dan sebagainya. Hubungan baik
ini sangat penting kepada sektor ekonomi namun, ia juga telah menyumbang kepada
satu masalah sosial yang amat ketara iaitu pemerdagangan manusia.
Kerjasama antara negara ini dengan negara luar
telah menyebabkan warganegara luar diambil bekerja di sini dalam pelbagai
sektor seperti sektor pembinaan, perindustrian dan sebagainya termasuklah
perhambaan dari sudut seks dan pekerja rumah urut.
Hasil kajian dari badan-badan bebas dan
beberapa kes, Malaysia khususnya Sabah adalah destinasi persinggahan untuk
wanita dan kanak-kanak diperdagangkan untuk eksploitasi seks secara komersial
manakala lelaki dijadikan sebagai buruh paksa.
Kita menyaksikan setiap hari di media massa
betapa penguatkuasaan undang-undang telah diperketatkan oleh kerajaan. Pihak
Polis Diraja Malaysia, Kastam, Imigresan dan Maritim Malaysia (APMM) telah
beusaha kuat mengembleng tenaga untuk membanteras jenayah penyeludupan manusia
ini.
Kewujudan Pelan Tindakan Nasional (NAP) di
bawah Majlis Anti Perdagangan Orang (MAPO) serba sedikit telah dapat
mengurangkan aktiviti ini. Kerajaan mengambil inisiatif melatih lebih 3000
pegawai yang merangkumi bidang penguatkuasaan, pendakwaan dan kehakiman untuk
menangani isu ini.
SH: Penguatkuasaan undang-undang
Kerjasama dengan International Organization of
Imigrant (IOI), Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian
(UNHCR) dan Amnesty International Malaysia turut dijalankan.
Oleh sebab terdapat segelintir kakitangan
kerajaan yang mengambil kesempatan terhadap isu sosial ini dengan menjadi orang
tengah dan menerima rasuah, maka kempen untuk meningkatkan kefahaman dan
profesionaslisme jentera kerajaan dalam penguatkuasaan Akta Pemerdagangan Orang
2007 turut diperkenalkan.
Memang tidak dapat dinafikan, pemerdagangan
atau penyeludupan wanita adalah satu mimpi ngeri yang menakutkan. Lewat
kebelakangan ini. Anak –anak kecil pula menjadi mangsa.
Minggu lepas, kita dikejutkan dengan
kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang diculik dan diberikan ubat
pelali. Mujur pihak polis berjaya mengesan mangsa jika tidak, apakah
natijahnya? Apakah yang bakal berlaku dengan kanak-kanak perempuan itu? Dijual?
Dijadikan mangsa eksploitasi seks atau? Tiada siapa yang tahu.
Selain wanita, kanak-kanak merupakan mangsa
utama pemerdagangan manusia. Mereka lemah, senang dikawal dan tidak berupaya
melawan. Mereka mungkin dimanfaatkan untuk kegiatan mengemis atau penjualan
dadah.
Sebahagian besar daripada empat juta pekerja
asing yang sah dan tanpa izin di Malaysia menjadi mangsa pemerdagangan orang, demikian
menurut Laporan Pemerdagangan Manusia 2011 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara
Amerika Syarikat.
Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan
Masyarakat, menerusi menterinya Datuk Seri Rohaini Abdul Karim juga telah
menjalankan pelbagai program khusus menangagi masalah ini. Dalam operasi Ops
Qaseh yang dijalankan bagi membanteras gelandangan di ibu negara, terdapat
wanita warga asing yang turut berjaya ditahan dan dibawa ke Kompleks
Perlindungan Sementara (Pusat Sehenti Bina Diri) Sg Buluh.
Semoga kita sama-sama menggembleng tenaga
mengawal kegiatan tidak bermaruah ini. Selamatkan bangsa kita, wanita kita.
Hentikan rasuah, kezaliman terhadap wanita dan kanak-kanak.
-tamat-
PETIKAN AKHBAR
Disember 2012
Seorang pengurus besar sebuah agensi pekerja
asing direman bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia yang dibongkar
oleh Jabatan Imigresen di Bandar Baru Klang.
Perintah tahanan reman terhadap suspek yang
berusia 49 tahun itu dikeluarkan Majistret Suhaimah Mohd Nor mengikut Seksyen
117 Kanun Tatacara Jenayah di Mahkamah Majistret Klang.
Lelaki terbabit merupakan suspek ke-13 yang
ditahan berhubung kes pemerdagangan manusia yang melibatkan 105 wanita warga
asing yang 95 daripadanya rakyat Indonesia, Filipina (6) dan Kemboja (4).
Mangsa diperdaya sebuah agensi pekerja asing yang berpejabat di Bandar Baru
Klang berjaya diselamatkan oleh Jabatan Imigresen Selangor.
Mereka yang diselamatkan mendakwa hidup
terseksa apabila bekerja tanpa dibayar gaji, dikurung, kadangkala tidak diberi
makan dan dikasari. Kesemua mangsa telah bekerja dengan agensi terbabit antara
sebulan hingga enam bulan.
-tamat-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan