Rabu, 13 Ogos 2014

wanita dan gajet

Aplikasi Whatsapp penulis dengan Ketua Wanita Isma, Ustazah Norsaleha Mohd Salleh tidak pernah lekang dari kata-kata semangat dan nasihat berguna. Ustazah seorang yang amat mengambil berat mengenai rakan-rakan tidak kira sama ada beliau baru kenal atau sudah lama. Sesekali ustazah berbicara mengenai berita masa kini. Ustazah pandai bergurau, tapi pada hemat penulis, kata-kata dan gurauan ustazah kena dan tepat dengan apa yang berlaku pada hari ini.

Kegilaan berselfie, kisah rumah tangga muda mudi yang semakin berantakan, ditambah dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat membuahkan pelbagai masalah sosial. Lihat sahaja institusi kekeluargaan yang runtuh dek kealpaan individu itu sendiri. Salah satunya berpunca daripada tabiat masyarakast pada zaman ini yang serba canggih dengan penggunaan telefon pintar atau smartphone.
Smartphone ibarat suatu racun dalam rumah tangga. Kecurangan meruntuhkan kepercayaan sebelum akhirnya menarik kebahagian pasangan untuk sama-sama runtuh secara perlahan-lahan. Istana bahagia dicita-citakan tidak berakhir hingga akhir hayat, malah bercambah menjadi kudis dan dosa yang berulang-ulang.

Sesungguhnya curang dan cinta terlarang mengundang pelbagai cerita duka. Bagaimana ia berlaku? Punca curang terlalu rencam dan sukar diatasi sekelip mata. Salah satunya kerana kecanggihan teknologi smartphone pada masa kini. Dengan gaya hidup serba ranggi dan elegan, memudahkan seseorang berkomunikasi secara terus dengan hanya mengetik hujung jari pada papan kekunci telefon bimbit.
Inilah bahananya telefon canggih; apabila keadaan ini mendorong manusia menikmati keseronokan hidup yang tidak dinikmati semasa muda. Lelaki mempunyai akses mudah untuk menjalin hubungan dengan gadis lebih muda dan desperate. Wanita pula curang kerana didorong rasa kecewa dek perbuatan suami yang menduakan mereka. Mungkin si isteri pada mulanya hanya meluahkan rasa, namun kerana seringnya berhubung, dua hati pun bertaut menjadi satu dan akhirnya muncullah istilah skandal sehingga meruntuhkan rumah tangga yang bertahun-tahun terbina.

Lebih memualkan, masyarakat cenderung untuk bersifat terbuka menceritakan momen-momen rumah tangga kepada umum. Yang indah, yang ngeri, yang gaduh-gaduh sayang mahupun yang kelucahan melampau, semua itu dipos tanpa ada rasa bersalah mahupun janggal. Niat asal yang pada mulanya hanya suka-suka dan untuk meraih perhatian boleh menjadi serius apabila pasangan mula ambil hati. Rajuk-merajuk, dusta-mendustai, adu-domba, umpat-keji, rayu-merayu. Suami isteri mula bergaduh, rakan di laman maya menjadi akrab.


Rasa bencikan pasangan dikongsi di halaman, sahutan rakan-rakan maya menjadi umpat keji dan hinaan pasangan, yang akhirnya tanpa sedar, mereka menjerat diri sendiri. Kemudahan ini sebenarnya dieksploitasi menjadi penyakit di mana terhakisnya sifat malu dalam kalangan masyarakat. Jadilah ia satu racun yang berpunca dari kebodohan individu itu sendiri.

Tiada ulasan: