Rabu, 13 Ogos 2014

H: Derma rahim, bantu wanita hamil




Wanita yang mandul, tidak bisa melahirkan keturunan. Cintanya terjejas, dilemanya berpanjangan... Sulit sekali membayangkan perasaan mereka yang tidak mampu melahirkan anak meski bertahun-tahun mencuba untuk memperoleh cahaya cinta anugerah Ilahi itu.

Manisnya ketika menjejakkan kaki ke gerbang perkahwinan telah dia rasakan. Tinggal satu pelengkap hidup yang menjadikannya seorang wanita sempurna belum didapatkan, iaitu melahirkan anak sendiri. Sesungguhnya ini satu bentuk ujian kepada wanita yang bersabar.

Kebanyakan orang mengira bahawa ujian hanya datang dalam bentuk kesulitan. Mereka tidak menyedari bahawa melimpahnya nikmat dan kekayaan juga merupakan ujian yang diberikan Allah. Ramai yang dapat melalui dugaan dan bersabar ketika susah, namun sangat sedikit yang mampu melampaui ujian berupa kenikmatan dunia. Sesungguhnya bersikap syukur atau lalai saat kesenangan hidup menyapa adalah juga satu bentuk bala dan ujian dari-NYA.

SH: Banyak faktor

Begitulah saatnya ditakdirkan mandul atau sukar mengandungkan anak. Rahim adalah anugerah ALLAH kepada setiap wanita sebagai satu anugerah fitrah untuk mengandung dan melahirkan anak.
Sistem peranakan wanita terdiri daripada rahim, serviks, ovari serta saluran peranakan. Ketiadaan atau berlaku masalah pada mana-mana bahagian ini, boleh memberi kesan kepada wanita yang ingin hamil.
Kegagalan fungsi Rahim atau mandul selalunya dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit wanita antaranya fibroid.  Fibroid adalah salah satu jenis penyakit yang berkaitan dengan rahim. Kebiasaannya, fibroid terjadi kepada wanita yang berusia sekitar 30-an hingga 40-an, iaitu dalam lingkungan usia reproduktif dan akan kembali mengecut apabila seseorang wanita itu sudah mengalami menopaus atau putus haid.
Selain fibroid, penyakit yang mengganggu kestabilan kilang telur dan seterusnya menjurus ke arah kegagalan hamil adalah endometriosis. Memetik tulisan pakar sakit puan, Dr Hamid Arshat menerusi blognya di http://pakar-sakitpuan.blogspot.com; Endometriosis juga boleh menyebabkan kehamilan gugur di peringkat awal iaitu tiga bulan pertama kehamilan.
Bagaimana ia menyebabkannya kita tidak mengetahui, tetapi ada kemungkinan endometriosis menyebabkan gangguan dalam hormon wanita ataupun ia menimbulkan keadaan beracun yang boleh membunuh atau menganggu pertumbuhan janin. Kadang-kala wanita yang mengidap penyakit endometriosis boleh gugur berulang-kali.
SH: Derma rahim
Pernahkah anda mendengar atau mengetahui mengenai pendermaan rahim (wanita)? Isu pendermaan organ bukanlah suatu isu yang baharu, bahkan di negara ini ia telah pun diterima dan dipraktikkan demi kemaslahatan bersama.  Seiring pembangunan dan perubahan teknologi perubatan di Malaysia, kita telah menyaksikan banyak pemindahan organ bersabit kes hati dan buah pinggang, dan lazimnya, dua organ inilah yang sering diperkatakan apabila menyebut mengenai pendermaan organ.

Namun, satu lagi organ utama manusia, iaitu uterus atau rahim boleh didermakan. Begitu pun, ia belum popular dan tidak dilakukan di negara ini kerana masih menimbulkan pertikaian di bidang perubatan moden dari segi kesan sampingannya.

Laporan Sinar Harian ruangan Global bertarikh 15 April lalu, di Istanbul seorang wanita berjaya menjalani pembedahan menerima rahim daripada penderma di sebuah hospital selatan Turki. Derya Sert berusia 22 tahun dilaporkan telah hamil sekali gus menjadikannya wanita pertama berjaya menjalani pembedahan menerima rahim.

Derya Sert dilahirkan tanpa rahim dan diberi rawatan kesuburan IVF selepas menerima rahim daripada seorang penderma yang telah meninggal dunia pada 2011.

Kejayaan pendermaan organ ini boleh membuka mata masyarakat untuk sama-sama berikhtiar dan sebagai jalan keluar daripada masalah kesuburan. Ikuti pendapat dan pandangan para cendekiawan mengenai isu pendermaan organ berupa rahim ini. Semoga kita menemui jalan atas segala masalah dan ujian yang dihadapi.

-tamat-

Tiada ulasan: