Rabu, 13 Ogos 2014

H: Seks berat sebelah


SH: Suami isteri terbuka berbincang


Bercerita secara terbuka mengenai seks mungkin sesuatu yang mengaibkan bagi sesetengah orang. Hakikatnya, ia satu fitrah dan tuntutan semula jadi manusia bergelar lelaki dan wanita yang dijadikan ALLAH S.W.T. Kita perlu menerima realiti dan tidak boleh menolak sesuatu fakta sedangkan semua nas-nas ini bertujuan untuk menyeimbangkan psikologi manusia apabila keindahan seperti seks dianugerahkan kepada manusia (dengan cara yang betul dan mengikut syarak).

Suami dan isteri perlu terbuka berbicara mengenai kepuasan seks masing-masing terhadap pasangan. Ketahuilah bahawa Allah menjadikan seks itu sebagai nikmat yang besar di atas muka bumi milikNya, dan Islam mementingkan keseimbangan dalam pembangunan lahiriah dan batiniah. Justeru, tidak menjadi kesalahan sekiranya seks dibicarakan secara terbuka antara suami isteri demi memastikan kepuasan dan rangsangan masing-masing agar wanita tidak menjadi hipokrit atau munafik tanpa disedari; akibat melakukan sesuatu kerana terpaksa.

Lalui nikmat itu bersama-sama. Bukan secara berat sebelah dan sekadar melepaskan batuk di tangga. Bukankah setiap perkara baik yang dilakukan dalam rumah tangga itu adalah pahala? Justeru kongsi pahala itu bersama-sama.

Banyak isteri yang memendam rasa, tidak kurang juga bagi suami yang terpaksa pejam mata dengan kekurangan isteri dalam melayani kehendaknya. Maka dari situ telah muncul istilah dan perbuatan kasih beralih arah, suami ‘makan luar’ atau isteri bela ‘anak ikan’.

Puncanya apa? Jika sebahagiannya menjawab kerana harta, wang ringgit, perhatian dan kasih sayang, sebilangan lagi pasti tidak dapat lari daripada mengakui bahawa seks pasangan tidak hebat. Bukan suami tidak sayang isteri, dan bukan pula isteri tidak mencintai lelaki agungnya tetapi, rata-rata tidak mahu menimbulkan isu seks kerana kasihan, menghormati pasangan dan rendah diri terhadap orang yang mereka cintai.

Fitrah manusia mempunyai fantasi seks berbeza. Tidak berbincang itu silap kerana perbincangan adalah untuk penyelesaian. Bukan mencari kesilapan dan kekurangan masing-masing. Sama sahaja seperti anda berbincang mengenai susunan kewangan sepanjang tahun, pilih sekolah anak dan beli rumah. Ia melibatkan kepuasan.

Kaji Selidik Baharu di Asia Pasifik Mendapati lebih separuh pasangan (terlibat kajian) tidak puas di bilik tidur. Kaji selidik Kepuasan dan Tingkah Laku Seksual Asia-Pasifik menunjukkan kesihatan hubungan dan seksual pasangan terjejas teruk akibat ejakulasi pramatang. Ia menyebabkan tekanan emosi dan kekecewaan yang serius terhadap golongan lelaki dan pasangan mereka.

Lebih 3,500 lelaki dan wanita dari sembilan buah negara di Asia Pasifik termasuklah Australia, China, Hong Kong, Korea Selatan, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan dan Thailand terlibat dalam kaji selidik tersebut yang dijalankan oleh Kantar Health dan dibiayai oleh Menarini - berlangsung di antara 18 Mac hingga 2 April 2013.

Keputusan kajian, menunjukkan bahwa berterus terang dalam isu ini adalah satu alternatif penyelesaian. Bukankah perkahwinan itu adalah perkongsian dua hati dalam melayari bahtera rumah tangga dan menghadapi gelombangnya? Jika sebelah pihak merasai keseronokan manakala pihak yang lain terpaksa makan hati dan beralah, apakah sesuatu bahtera itu boleh dianggap teguh sedangkan ia bergelora sendiri?


Penulis sendiri (sewaktu menjadi wartawan mahkamah syariah) pernah mendengar kes penceraian antara suami isteri yang menjadikan ketidakpuasan seks sebagai punca utama mereka tidak sehaluan dan ingin bercerai.

Tiada ulasan: