Rabu, 13 Ogos 2014

Wanita sedunia

NOR KHALILAH GUSTI, nor.khalilah@sinarharian.com.my

Bagai pohon tegak berdiri
Sentiasa kau tahan diuji
Bagai sungai yang terus mengalir
Pengorbanan tetap tak pernah berakhir

Wanita
Engkau bulan engkau juga suria
Wanita
Kerana keistimewaanmu
Terpikul segala amanah di bahumu

Demi kebahagiaan semua
Api kau genggam menjadi bara
Jasad lebur
Semangat tak luntur
Wanita mithali engkaulah obor

Semalam, 8 Mac setiap tahun, Hari Wanita Antarabangsa disambut di seluruh dunia dengan membawa tema berbeza. Tahun ini, “Equality for Women is Progress For All” dipilih sebagai tema oleh UN-Women. Ia merupakan hari di mana wanita diberikan pengiktirafan dan penghargaan ke atas sumbangan, pengorbanan serta perjuangannya.

Bagi wanita, selain Hari Ibu, sambutan hari istimewa ini membawa sejuta pengertian yang signifikan kepada diri masing-masing. Wanita adalah sumber kekuatan dan jati diri ummah.  Uniknya wanita kerana diciptakan ALLAH bersama air mata sebagai salah satu cara mengekspresikan kegembiraan, kegalauan, cinta, sepi, derita dan bahagia.

Wanita mempunyai kekuatan mempesona bagi lelaki. Senyuman dan ketawa berserta lenggok manjanya boleh meruntuhkan segenap keegoan dan kebencian. Dia dapat mengatasi beban bahkan mampu menyimpan kebahagiaan dan pendapatnya sendiri. Dia mampu tersenyum meskipun saat hatinya menjerit. Mampu menyanyi saat menangis, menangis saat terharu, terharu saat tertawa, bahkan tertawa saat ketakutan.

Dia berkorban demi orang yang dicintainya. Dia tidak menolak kalau melihat yang lebih baik. Dia menerjunkan dirinya untuk keluarganya. Cintanya tanpa syarat. Dia menangis saat melihat anaknya adalah pemenang. Dia girang dan bersorak saat melihat temannya tertawa. Dia begitu bahagia mendengar tentang kelahiran.

Dia selalu punya kekuatan untuk mengatasi hidup. Dia tahu bahawa sebuah ciuman dan pelukan hangat dapat menyembuhkan luka. Hanya satu kekurangan dari wanita; dia lupa betapa berharganya dia. Dia lupa bahawa dia diciptakan dengan kemuliaan, bukankah tidak lahir seorang manusia ke dunia melainkan lewat rahimnya...

Dari rahim seorang wanita lahirnya srikandi dan pejuang-pejuang agung. Dari tangan seorang wanita tercoraknya kehidupan bakal pemimpin dunia. Hanya dari seorang wanita, terbentuknya masa depan yang sempurna.
Lirik nasyid nyanyian kumpulan Saff One mengenai Isteri Solehah menyentuh jiwa penulis. Liriknya menyebut wanita sebagai penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran. Di rumah dia isteri di jalanan kawan, di waktu buntu, dia penunjuk jalan. Alangkah benar dan tingginya pandangan agama Islam terhadap seorang wanita.
Wanita pencetus ummah. Wanita juga penyambung legasi generasi baru.

Seiring perjalanan masa, wanita kini mendapat pelbagai pengiktirafan dan penghargaan di peringkat lokal mahupun antarabangsa. 

Tiada ulasan: