Rabu, 13 Ogos 2014

SH: Wanita perlu sedia



Kasihnya ibu
Membawa ke syurga
Kasihnya saudara
Masa berada

Berkorban raga
Rela binasa
Berkorban nyawa
Tanda kasihnya

Terasa luluh benar mendengar Datuk Sharifah Aini mengalunkan lagu Kasihnya Ibu.  Baitnya begitu ringkas tetapi liriknya penuh dengan pengertian yang mendalam. Ia bagaikan manifestasi betapa agung dan tingginya kasih ibu yang sanggup bergadai nyawa demi anak-anak tercinta.

Pernah dengar kisah ibu muda bernama Rafidah Ismail, 36? (kini Allahyarhamah). Ibu muda ini terkorban ketika mengharungi dugaan luar biasa menyelamatkan anak-anaknya dalam satu kebakaran di kediamannya di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, Kelantan.

Ketika kebakaran, dia tidak dapat membuka jeriji besi pintu rumahnya sehingga memaksanya memecahkan cermin tingkap dan menggunakan seluruh kudrat membengkokkan besi penghadang demi menyelamatkan tiga anak. Kisah tragis itu berakhir apabila mayat Rafidah ditemui dalam keadaan rentung di hadapan pintu rumahnya sementara tiga anak berusia tujuh, enam dan dua tahun berjaya dikeluarkan dari rumah.

Begitulah tingginya naluri kasih seorang ibu. Tidak lari daripada bait lagu itu. Lihatlah pula ibu kita. Sesungguhnya, ibu kita pada zaman dahulu bukan seperti kita yang menjadi ibu pada zaman serba moden ini. Ibu kita bukan hidup dengan wang ringgit dan kemewahan. Dia hidup dalam serba kekurangan dan kesederhanaan dikelilingi anak yang ramai. Dia tidak bekerja sebaliknya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Menghulur kasih dan menyemai cinta kepada anak-anaknya. Tetapi, adakah dia mudah mengalah dan berserah sehingga tega meninggalkan kehidupan dan anak-anaknya?

Dia kuat. Dia bangkit, melawan dan melawan segala kesusahannya. Dia menjadi isteri yang paling setia di sisi suaminya. Menjadi penasihat rumah tangga dan pendamai kepada jiwa anak-anaknya. Namun, apabila usia menjengah senja, pernahkah kita menyoroti kisah perih jerihnya lalu menghadiahkan selautan kasih sebagai tanda menghargainya?

Sedangkan kita yang masih  berbakti dengan mereka belum terbanding dengan pengorbanannya; inikan pula dengan mereka yang terang-terangan membiarkan ibu menderita dan tersisih.

Ramai wanita yang pada awalnya punya anak ramai dan keluarga bahagia hidup melarat di usia senja. Di dada-dada akhbar pernah tersiar kisah wanita terbiar, warga emas ditinggalkan anak-anak tanpa perhatian dan berbagai-bagai ragam manusia. Ada juga yang tidak diabaikan anak-anak, tetapi mengalami ujian dalam bentuk lain, seperti kehilangan suami atau kerugian besar setelah menjalani kehidupan bahagia di usia muda tanpa memikirkan kebarangkalian yang berlaku di usia tuanya.

Tidak ada wanita yang mahukan hidupnya berakhir dengan penderitaan, namun, apa yang dirancang oleh kita tidak semestinya berlaku dengan sempurna. Rancang dan susunlah kehidupan anda pada hari ini. Zaman kita tidak sama dengan zaman dahulu. Telah banyak contoh yang berlaku di hadapan mata. Justeru, bersedia dan lakukan perancangan awal, baik dari segi mental, emosi, kewangan dan sebagainya.

Begitu pun, jika apa yang dirancang tidak menjadi berbaliklah kepadaNya; kerana manusia merancang dengan cita-cita, tetapi ALLAH merancang dengan cintaNya.


-tamat-

Tiada ulasan: