Rabu, 13 Ogos 2014

Wanita bekerja & Kerja Sampingan


O: NOR KHALILAH GUSTI nor.khalilah@sinarharian.com.my

Rentetan peningkatan kos sara hidup masa kini yang semakin menghimpit, fenomena kenaikan harga menjadi igauan menakutkan rakyat jelata. Meskipun pelbagai bantuan dan mekanisme dilakukan kerajaan bagi mengawal kenaikan harga barang, apa yang hendak berlaku, tetap berlaku.
Sebilangan rakyat tidak merasa apa-apa, namun sebilangan lagi begitu terkesan.  Golongan miskin mendapat bantuan pelbagai, golongan kaya semakin kaya dengan keuntungan berganda, sedangkan yang terhimpit adalah mereka di kelas menengah yang terpaksa berkorban kiri dan kanan.
Disebabkan itu, rakyat Malaysia terpaksa berfikiran kreatif dan berdaya saing dengan mencari pelbagai alternatif melakukan kerja sambilan; baik di hujung minggu, ataupun lewat petang selepas habis waktu bekerja.

Kerjaya tetap bukan lagi satu-satunya jalan pergantungan yang menyokong kewangan, sebaliknya membuat kerja-kerja sambilan terpaksa dilakukan untuk menambah pendapatan.
Bagi kaum wanita, terdapat banyak faktor yang perlu difikirkan sebelum membuat kerja sambilan di hujung minggu atau selepas waktu bekerja. Pengurusan masa yang efisien perlu dilakukan agar wanita dapat membahagikan masa antara rumah tangga, tempat kerja, anak-anak, suami dan diri sendiri.

Ya, bekerja tambahan adalah solusi terbaik buat masa ini untuk menampung kos sara hidup yang semakin menekan. Tahniah kepada para wanita hebat yang mengambil tindakan membantu keluarga dengan cara sebegini. Memilih untuk bekerja lebih masa atau membuat kerjaya sampingan bererti anda memilih untuk mengorbankan masa rehat dan luang anda demi orang yang tersayang.

Bagaimanapun, faktor-faktor di bawah perlu dititikberatkan sebelum anda membuat tindakan:-
1.       Pilihan kerjaya: Membuat pilihan kerjaya apakah yang tidak mengganggu kerja tetap anda. Sebagai seorang kerani di sebuah syarikat swasta atau kerajaan, memilih menjadi ejen bagi suatu syarikat insurans mungkin memberi kesan dalam jangka masa panjang terhadap kerjaya anda sekarang. Ini kerana, apabila jumlah klien atau prospek anda semakin meningkat, komitmen penuh perlu diberikan kepada mereka sehingga dikhuatiri bakal menjejaskan kerjaya sekarang. Jika bersedia, pilihlah salah satu daripadanya di penghujung nanti.


2.        Jadual: Buat jadual kerja sambilan anda secara sistematik agar tidak mengganggu urusan harian dan kerjaya tetap anda. Fikirkan juga masa berkualiti untuk anak-anak dan suami agar hubungan anda dan anak-anak tidak renggang.
3.       Pengurusan waktu: Sekiranya memilih perniagaan online, anda perlu menetapkan waktu penghantaran pada hari-hari tertentu supaya anda tidak terkejar-kejar atau mengambil kesempatan ketika bekerja.
4.       Teliti kontrak tawaran kerja anda: Sebenarnya, perkara inilah yang perlu diutamakan sebelum anda membuat tindakan bekerja sampingan. Lihat dahulu kontrak kerja anda, sekiranya terdapat terma yang menghalang anda membuat kerja lain ketika waktu bekerja oleh syarikat anda sekarang, ada baiknya anda hentikan niat atau mendapatkan kebenaran majikan terlebih dahulu.
–tamat-


Tiada ulasan: